JARUM jam tepat menunjukkan pukul 11 pagi. Keterujaan Hazelen Liana Kamarudin, 33, pada pagi Ahad itu semakin memuncak kerana dalam tempoh sejam sahaja lagi senarai destinasi menarik percutiannya di Negeri Di Bawah Bayu bakal sempurna dengan mengunjungi Tamu Pekan Kota Belud.

Ia merupakan sebuah pasar minggu tertua di negeri Sabah yang berpangkalan di Kampung Siasai, Kota Belud, kira-kira 76 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu.

Justeru, berpandukan navigasi aplikasi Waze dengan menaiki sebuah kereta sewa yang dipandu suaminya, Yatimin Abdullah, 33, pasangan itu menyusuri jalan raya dari arah Kota Kinabalu menuju ke destinasi tersebut.

“Selepas bersarapan ringkas di sini (Kota Kinabalu), kami segera bertolak ke Tamu Pekan Kota Belud kerana tidak sabar membeli oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Kelantan. Pada masa sama, ingin menikmati makanan tradisional yang dijual di sana.

“Jika melayari blog percutian dalam internet, Tamu Pekan Kota Belud antara destinasi pelancongan wajib dikunjungi khususnya buat pengunjung yang ingin menerokai budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini. Paling teruja apabila saya berpeluang melihat wanita yang memiliki telinga panjang dengan lebih dekat,” tuturnya kepada Kosmo! dalam nada teruja.

Rambang mata

Bicara anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu sebaik sahaja melangkah masuk pintu gerbang pasar mingguan tersebut, sepasang matanya pantas tertancap pada kepelbagaian produk yang dijual di bawah satu bumbung.

Selain tikar mahupun beg mengkuang, pengunjung juga berpeluang membeli variasi produk kraf tangan yang dihasilkan daripada kayu, besi dan rotan.

Ini termasuklah, sayur kampung, ulam-ulaman, kuih warisan yang popular dalam kalangan masyarakat di Kota Belud seperti kuih penjaram, penganan, kerepek ubit dan sapit serta berati.

“Menariknya mengenai Tamu Pekan Kota Belud, barangan dan makanan dijual pada harga murah dan berpatutan. Misalnya, biskut jenama Gary yang ditawarkan pada harga serendah RM2, walhal di pasar raya atau kedai runcit ia boleh mencecah sehingga RM3.50 sebungkus,” jelasnya.

Dalam pada itu, jika mengunjungi Tamu Pekan Kota Belud, jangan terkejut sekiranya melihat banyak gerai jualan kuih penjaram dibuka hampir di segenap sudut pasar berkenaan.

Lagipun tidak lengkap rasanya pulang ke rumah tanpa membeli sekurang-kurangnya sebungkus kuih penjaram yang merupakan kuih tradisional popular di daerah berkenaan khususnya dalam kalangan masyarakat Bajau.

Menurut peniaga kuih penjaram, Rosinah Salingi, 46, kuih yang diperbuat daripada tepung gandum, tepung beras dan gula itu lazimnya hadir dalam perisa asli, gula Melaka dan pandan.

Bicara wanita campuran Bajau dan Kadazan Dusun tersebut sejajar peredaran semasa, dia turut melakukan inovasi dengan menghasilkan Kuih Penjaram 1Malaysia iaitu sekeping kuih itu mempunyai tiga perisa.

Para pelanggan bebas untuk memilih kombinasi perisa asli, pandan dan keladi ataupun perisa gula Melaka, pandan dan keladi dengan sekeping berharga 25 sen.

Menyorot kewujudan tamu mingguan atau semio di daerah Kota Belud yang kini mencecah usia 138 tahun, ia diasaskan oleh William Pretyman pada 13 Disember 1878. Beliau merupakan Residen British pertama menjejakkan kaki di daerah Kota Belud atau nama asalnya, Tempasuk.

Mengikut sejarah, matlamat utama tamu berkenaan dibuka adalah untuk memudahkan masyarakat setempat bertemu residen dan pegawai daerah termasuklah berfungsi sebagai tempat bertemu, berdagang dan pusat menjana ekonomi oleh masyarakat di sekitar daerah berkenaan.

Pada masa sama, Tamu Pekan Kota Belud juga bertindak sebagai medan penyatuan tiga etnik terbesar di daerah itu, Bajau, Kadazandusun dan Iranun yang pada tempoh berkenaan dikatakan berbalah antara satu sama lain.

Bagaimanapun, selepas melalui beberapa fasa manis dan pahit kini Tamu Pekan Kota Belud yang beroperasi setiap hari Ahad, seawal pukul 6 pagi itu bukan sahaja menjadi lubuk berniaga dalam kalangan usahawan kecil malah merupakan lokasi ideal bagi masyarakat etnik Kadazan Dusun, Bajau, Irranun, Cina mahupun Murut bertemu.

Keunikan

Disebabkan dikelilingi masyarakat tempatan berbeza latar belakang secara tidak langsung ia memberi nilai tambah pada keunikan dan kemeriahan Tamu Pekan Kota Belud.

Buktinya, selain produk asas tani, ikan masin dan juadah tradisi, pengunjung juga berpeluang membeli barangan kraf tangan dan menyaksikan busana serta persembahan kebudayaan masyarakat Kadazan Dusun, Bajau dan Irranun.

Berbicara mengenai keistimewaan Tamu Pekan Kota Belud, Mahimah Rais, 45, menjelaskan bahawa pasar mingguan berkenaan merupakan platform terbaik untuk menjana pendapatan menerusi penjualan barangan kraf tangan yang diperbuat daripada tali kotak.

“Genap lapan tahun saya berniaga di sini. Bersyukur kerana sepanjang tempoh ini sedikit sebanyak saya dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

“Biarpun pasar ini hanya beroperasi setiap hari Ahad tetapi hasil jualannya amat memuaskan,” jelas anak kelahiran Kota Belud itu yang produk kraf tangan tali kotak pada harga RM5 hingga RM80.

Pesta

“Pelancong asing gemar membeli beg anyaman tali kotak untuk digayakan pada acara kasual atau bersantai manakala masyarakat tempatan selesa menggunakan beg ini untuk aktiviti harian seperti beg mengisi bekalan makanan atau barang ke pejabat, pasar mahupun ke sekolah,” ujarnya yang memperoleh hasil jualan dua kali ganda pada acara tahunan, Tamu Besar Kota Belud.

Bagi penduduk di Kota Belud, Suraya Acu, 39, Tamu Besar Kota Belud yang dianjurkan pada hari Ahad terakhir bulan Oktober setiap tahun merupakan acara tahunan yang paling dinanti-nantikan.

Ia berbeza dengan tamu mingguan yang dibuka pada 11 bulan lain kerana dalam ‘sekelip mata’ sahaja tapak pasar bertukar menjadi pesta jualan, kebudayaan dan kesenian secara besar-besaran.

“Pada acara inilah, orang ramai terutamanya pelancong dan generasi muda berpeluang mendalami budaya dan seni pelbagai etnik yang terdapat di Kota Belud.

“Selain pertandingan Ratu Sarimpak dan Tanjak Pahlawan, pengunjung juga akan disajikan dengan pertandingan tarian dalam persalinan pakaian tradisional pelbagai suku kaum di daerah ini yang berwarna-warna dan unik,” jelasnya yang tidak pernah ketinggalan menyaksikan pertandingan membuat kuih tradisional pada acara Tamu Besar Kota Belud.

Sementara itu, pelbagai acara turut berlangsung pada acara berkenaan seperti pertunjukan Kuda Bajau, Kicauan Burung Murai Batu, persembahan kesenian dan sukan rakyat.