Pemergian Almarhum yang selama ini setia mengungkapkan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ ditangisi rakyat jelata yang terkenangkan keperibadian baginda yang benar-benar menghayati kata-kata penuh makna itu. Sesungguhnya rakyat benar-benar kehilangan seorang raja yang berjiwa rakyat.

Almarhum yang juga merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dikhabar menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi semalam. Khabar duka cita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media.

Paduka Ayahanda yang mangkat pada usia 88 tahun adalah seorang raja yang sangat disenangi rakyat. Almarhum yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984) berkeperibadian merendah diri dan sering mendampingi rakyat terutama apabila berlaku sesuatu bencana.

Almarhum telah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu, ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan. Difahamkan, sejak 2016 lagi baginda telah gering.

Bahkan dikhabarkan baginda masih mencemar duli menziarah mangsa-mangsa musibah meskipun dengan berkerusi roda sewaktu gering.

Banjir

Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai seorang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah adalah antara orang terawal akan ‘menyingsing seluar’ mencemar duli melawat daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh-kesah rakyat.

Meskipun Pahang antara negeri yang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh, baginda bagai tidak mengenal erti jemu meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu mangsa. Pernah juga baginda mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.

Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamaan. Baginda yang lebih mesra membahasakan diri ‘saya’ juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak menegur pihak yang terbabit jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.

Ini terbukti apabila Almarhum menzahirkan kemurkaan dan rasa duka cita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands pada November 2014.

Dalam kalangan pengamal media pula, baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra selain tidak keberatan untuk ditemu bual setiap kali ditemui di satu-satu majlis.

Kongsi Presiden Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin, Almarhum sangat mengambil berat mengenai rakyat dan selalu segera tiba ke tempat kejadian apabila berlaku bencana atau musibah.

“Almarhum seorang raja atau sultan yang benar-benar berjiwa rakyat. Apa pun bencana atau musibah yang menimpa rakyat, baginda akan sentiasa mengambil perhatian. Sebagai contoh, pada 1995, sebuah bot nelayan terkandas di Kuala Pahang. Semua mangsa 10 orang dikhuatiri hilang. Ketika itu baginda mencemar duli tiba secepat berita yang tersebar dan bertemu keluarga mangsa.

“Pernah juga terdapat kes seorang budak 11 tahun yang terlantar lumpuh di rumah kerana kes langgar lari, Almarhum turut melawatinya. Semasa bencana banjir pada tahun 2002 pula, baginda ikut terlibat dalam memastikan kerja-kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir berjalan lancar,” ujarnya ketika dihubungi K2 semalam.

Tambahnya, baginda juga mesra dengan pengamal media apabila terus menyatakan perkenan untuk menghadiri majlis sambutan Aidilfitri media Pahang pada 2005 sebaik sahaja dimaklumkan kepada baginda mengenai majlis tersebut.

Pendidikan

Menyorot sejarah hidup Almarhum, tanggal 24 Oktober 1930 menjadi tarikh bersejarah buat rakyat negeri Pahang apabila baginda diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan.

Almarhum Sultan Ahmad Shah adalah anak ketiga Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah dan isteri baginda Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah, namun Almarhum menjadi pewaris takhta tunggal untuk memerintah negeri tersebut. Ia ekoran anak sulung Sultan Abu Bakar ialah seorang puteri, manakala anak kedua pula seorang putera yang meninggal dunia sewaktu kecil.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan, Almarhum kemudiannya meneruskan pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak. Namun, pendidikan formal yang diterima baginda pada waktu itu terganggu kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Ketika itu juga, Almarhum mengambil kesempatan untuk mempelajari bahasa Jepun semasa pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah.

Pada tahun 1948, Almarhum Sultan Ahmad Shah melanjutkan pengajian dalam pentadbiran awam di Worcester College, Oxford University dan Universiti Exeter, Devon di United Kingdom.

Pada umur 35 tahun, baginda berkhidmat sebagai Ketua Staf Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpusat di Kem 5 Batu, di Mentakab, Pahang.

Almarhum telah diisytiharkan sebagai Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974, berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Upacara penobatan telah disempurnakan di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.

Sultan Ahmad Shah mengahwini Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri iaitu Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella, Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Datuk Shahariah.

Selepas kemangkatan Tengku Ampuan Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Ahmad Shah mengahwini Sultanah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera, Tengku Fahd Mu’adzam Shah.

Almarhum Sultan Ahmad Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975 dan kemudiannya menjadi ketua negara apabila dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Ubat

Almarhum Sultan Ahmad Shah amat meminati sukan bola sepak dan pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 1984 hingga 2014 dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1994 hingga 2002.

Sumbangan yang dicurahkan oleh Almarhum khususnya dalam pembangunan sukan bola sepak di Asia membolehkan baginda dikurniakan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa pada 1982. Almarhum adalah satu-satunya warga Malaysia yang diiktiraf dengan anugerah berprestij itu.

Seorang doktor yang pernah menganggotai pasukan Diraja merawat baginda pada 2016, Fua Siang Wan berkongsi mengenai sifat rendah diri Almarhum menerusi laman instagramnya.

“Di depan awam baginda adalah raja. Di hadapan kita, baginda adalah seorang pesakit. Tidak pernah mengatakan tidak kepada mana-mana cadangan kami, semua ubat yang dihantar kepada baginda, baginda akan mengambilnya tanpa ragu-ragu,” ujarnya.

Pengerusi Masjid Felda Nurul Huda Jengka 18, Pahang, Mohd. Amin Shafie, 61, pula menyifatkan Almarhum seorang sultan yang sentiasa di hati rakyat.

Menurutnya, sikap mesra tanpa banyak protokol menjadikan baginda begitu dekat di hati segenap lapisan rakyat sekali gus keberangkatan baginda ke sesuatu majlis sentiasa ditunggu-tunggu.

“Masjid Jengka 18 akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat khas untuk baginda selama tiga hari berturut-turut sebagai tanda kasih sayang rakyat terhadap baginda,” ujarnya.