Anak perempuan yang berumur lapan tahun ke atas biasanya telah mahir dalam hal ehwal masak-memasak, membuat sulaman, pertukangan dan menjahit.

Apabila si anak telah mencapai satu tahap kebolehan yang memuaskan, ibu bapanya akan menyebarkan berita bahawa mereka sedang mencari bakal menantu.

Biasanya, orang tengah ditugaskan untuk mencari sebuah keluarga lain yang juga sedang mencari pasangan hidup untuk anak lelaki mereka.

Pada hari perkahwinan, kedua-dua pengantin berkenaan akan memakai pakaian perkahwinan tradisional Baba dan Nyonya yang sarat dengan perincian dan berwarna-warni.

Keunikan yang terdapat pada pakaian perkahwinan itu telah menarik minat seorang pereka fesyen yang popular pada zaman 80-an iaitu Adrian Ong, 57.

Namun, pakaian perkahwinan yang dihasilkan Adrian bukan dibuat dalam saiz manusia sebaliknya dibuat untuk patung.

“Sedekad lalu saya hanya menghasilkan baju perkahwinan Barat pada patung milik saya yang didermakan oleh masyarakat.

“Hanya empat tahun lalu saya mula membuat pakaian perkahwinan dan busana tradisional negara ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Subang Jaya, Selangor.

Adrian sebelum ini pernah mereka baju perkahwinan selebriti Datuk AC Mizal dan Datin Emylia Rosnaida serta Vanida Imran dan Rashidi Ishak.

Jelas anak kelahiran Kampung Lapan, Melaka itu bukan mudah untuk menghasilkan pakaian pada patung kerana saiznya yang kecil memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Dia telah menghabiskan masa hampir setahun untuk membuat kajian mengenai pakaian perkahwinan Baba dan Nyonya dari Melaka.

Kemudian menghabiskan masa hampir sebulan untuk melakar, mencari kain, memotong, menjahit serta mencantumkan baju tersebut.

“Menghasilkan baju perkahwinan Baba dan Nyonya negeri Melaka ini dilakukan dengan penuh ketelitian. Saya menjelajah ke beberapa buah muzium dan mencari buku-buku sejarah untuk memastikan baju tersebut menepati rekaannya.

Mencabar

“Sebetulnya terdapat tiga keturunan Baba dan Nyonya di negara ini datang dari negeri berbeza iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Setiap keturunan ini mempunyai rekaan baju perkahwinan yang berbeza-beza,” ujarnya yang turut mempunyai kacukan Baba dan Nyonya.

Baju perkahwinan Baba Nyonya Melaka yang direka Adrian itu merupakan baju utama yang dipakai pengantin.

Ada tiga baju pasang yang perlu dipakai pasangan yang diraikan iaitu sebelum majlis perkahwinan, kedua-dua pengantin dikehendaki berpakaian serba putih manakala sepasang baju lain akan dipakai ketika jamuan perkahwinan pada sebelah petang.

Kata Adrian, bahagian yang paling mencabar dalam menghasilkan baju berkenaan adalah ketika memotong dan menjahit lapik baju yang berbentuk ekor merak untuk dipakaikan pada bahu patung perempuan serta membuat hiasan mahkota pada rambut.

0leh kerana rekaan yang dihasilkan dalam saiz kecil, proses menjahit dan mencantum menjadi agak rumit.

“Terdapat beberapa lapik kain yang perlu dipasang pada baju pengantin perempuan Baba dan Nyonya, ia perlu dipotong mengikut bentuk dan ukuran yang tersendiri sebelum tepinya dijahit kelim.

“Selepas jahit, saya perlu lekatkan satu per satu pelapik tadi pada baju utama pengantin. Proses tersebut perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana jika ia sudah dilekatkan, agak payah untuk membukanya semula,” terangnya.

Baju perkahwinan

Selain itu, hiasan pada rambut juga perlu dilakukan dengan penuh perhatian, jika tersilap lekat manik-manik yang digunakan, rosak rambut patung itu.

Bukan pada patung perkahwinan Baba dan Nyonya sahaja, malah pada patung-patung yang lain juga Adrian perlu mengikut setiap rekaan asal termasuk aksesori seperti labuci, manik, bunga, rantai, sanggul dan mahkota.

Sehingga kini dia sudah mereka lebih 400 pakaian merangkumi busana tradisional masyarakat India, Punjabi, Cina dan Melayu seperti kebaya, baju kurung, ceongsam, baju Melayu, sari, kurta dan sudah semestinya pakaian Muslimah berhijab.

Malah dia juga boleh berbangga kerana walaupun berketurunan Cina, Adrian mampu menghasilkan baju perkahwinan bagi setiap negeri yang terdapat di negara ini termasuklah Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Ditanya mengapa dia beralih karier menjadi pereka fesyen bagi busana patung, Adrian memberitahu, dia ingin membuat kerja-kerja amal bagi membantu ibu dan bapa tunggal.

“Saya mula memperlahankan kerjaya dalam rekaan fesyen sejak sedekad lalu bagi memberi laluan untuk menumpukan perhatian pada kerja kebajikan ini.

“Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk membiasakan diri dan ternyata keputusan itu amat berbaloi,” ujarnya yang sanggup berjaga sehingga ke pagi sekiranya idea mereka baju sedang mencurah-curah.

Kesemua koleksi pakaian yang direka Adrian dijual dan wang hasil jualan itu disalurkan kepada badan kebajikan bukan kerajaan, Parent Without Partner Bhd. (PWP) tanpa mengira kaum.

“Menerusi PWP, kami menubuhkan sebuah kedai Jumble Station. Kedai ini menerima barang terpakai yang masih elok untuk diserahkan kepada ibu dan bapa tunggal.

“Ada juga sebahagian daripada barang-barang itu dijual dan hasil jualan berkenaan digunakan untuk golongan memerlukan,” ujarnya sambil memaklumkan Jumble Station mempunyai dua cawangan iaitu di Subang Jaya dan Jaya One, Selangor.

Menurutnya, semasa menerima barangan terpakai yang disumbangkan orang ramai, dia banyak menerima kain perca dan patung sekali gus memberikannya idea untuk menghasilkan pakaian anak patung.

Namun, ilham untuk menghasilkan pakaian perkahwinan tradisional dari setiap negeri diperoleh daripada anak angkatnya, Farah Nisha Mohd. Hafiz, 18.

“Saya sering melihat bapa menghasilkan pakaian pengantin Barat, bagi menambah kelainan saya mencadangkannya menjahit baju tradisional negara kita pula memandangkan Malaysia amat kaya dengan pelbagai pakaian tradisional mengikut etnik dan kaum.

“Ia mendapat sambutan yang baik apabila ada pelanggan dari Brunei dan Singapura yang ingin membeli koleksi berkenaan. Jadi bapa mengambil keputusan untuk menghasilkan lebih banyak baju tradisional negara ini,” jelasnya.

Pada masa akan datang, Adrian berhasrat mengadakan pameran bagi mempamerkan patung-patung yang telah dihasilkannya. Setiap pakaian patung yang direkanya mempunyai nilai sentimental kerana ia dibuat dengan kajian menyeluruh dan sepenuh jiwanya.

Adrian juga berharap akan ada lebih ramai masyarakat yang sudi mendermakan patung-patung yang masih boleh digunakan supaya dia boleh menghasilkan lebih banyak rekaan baju.

Sejak sedekad lalu, pereka fesyen, Adrian Ong lebih tertumpu mereka busana tradisional untuk patung sebagai platform melakukan kerja-kerja amal bagi membantu ibu dan bapa tunggal.