Suasana lebih mendamaikan apabila desiran dan gelombang ombak membelah pantai yang turut mencuri tumpuan peminat sukan air di Kabupaten Sumbawa Barat, Pulau Sumbawa, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Kabupaten Sumbawa Barat yang turut dikenali sebagai Bumi Undru iaitu sempena nama seorang panglima perang di Sumbawa Barat merupakan salah satu destinasi yang kaya dengan tarikan pelancongan terutamanya ombak tinggi.

Antara destinasi pelancongan laut yang boleh menarik kehadiran pengunjung ke kabupaten yang terkenal dengan moto Bariri Lema Pariri itu ialah Pantai Maluk di Kecamatan Maluk, Pantai Tropi di Sekongkang dan Desa Mantar di Kecamatan Poto Tano.

Ekonomi

Desa Mantar yang berada pada ketinggian 660 meter dari aras laut itu terkenal bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan tetapi turut mendapat perhatian pelancong luar negara.

Desa yang terletak di atas bukit itu juga sudah beberapa kali menjadi lokasi Kejuaraan Paragliding Dunia yang disertai beberapa buah negara.

Selain itu, kedudukan desa tersebut turut membolehkan para pengunjung menikmati dan menyaksikan keindahan pulau-pulau kecil yang terletak di sekitar perairan Poto Tano.

Berdasarkan tarikan itu, pemerintah Kabupaten Sumbawa Barat giat membangunkan lokasi tersebut sebagai sektor pelancongan terbaik dalam usaha meningkatkan ekonomi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pemerintah mengakui, terdapat beberapa halangan dan berharap penyertaan serta kesedaran orang ramai serta pihak berkepentingan untuk membantu merealisasikan hasrat tersebut.

Menurut wakil Bupati Sumbawa Barat, Fud Syaifuddin, perkembangan pelancongan di daerah itu tidak boleh disamakan dengan destinasi pelancongan di Bali yang sangat terkenal dengan budayanya berbanding Sumbawa Barat yang menganggap ia bertentangan dengan agama serta budaya masyarakat mereka.

Ujarnya, beberapa tarikan pelancongan pantai seperti Kertasari, Lalar atau Jelenga sudah cukup menarik, namun pelancong masih mahukan hiburan malam serta kafe dan ia bertentangan dengan agama serta budaya masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, Fud Syaifuddin berkata, pemerintah dan masyarakat perlu mencapai kata persefahaman untuk membangunkan destinasi tersebut.

Beliau berharap perbincangan fokus kumpulan (FGD) antara pemimpin dan masyarakat dapat mencari formula yang tepat dalam usaha memacu sektor pelancongan di destinasi itu.

Katanya, bukan sahaja kesedaran daripada semua lapisan masyarakat terhadap hasrat berkenaan perlu dipertingkatkan, malah pelabur dalam bidang pelancongan juga.

Beliau turut meminta ketua-ketua kecamatan yang mempunyai tempat-tempat menarik di kawasan masing-masing untuk sama-sama ke arah membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan.

Kewujudan Kumpulan Kesedaran Pelancongan (Pokdarwis) merupakan bukti penglibatan masyarakat dalam usaha membangunkan Kabupaten Sumbawa Barat sebagai salah sebuah destinasi pelancongan.

Konservasi

Salah satu Pokdarwis yang ditubuhkan ialah Pokdarwis Alam Asri di Pantai Jelenga, Kecamatan Jereweh.

Kumpulan masyarakat itu memainkan peranan penting dalam membangunkan destinasi tersebut agar ia menjadi tumpuan pelancong.

Ketua Dinas Pariwisata Kabupaten Sumbawa Barat, IGB Sumbawanto menyatakan, komitmen pihak pemerintah daerah untuk menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh Pokdarwis dalam usaha membangunkan pantai berkenaan.

Salah satu faktor penentu kejayaan pembangunan pelancongan adalah terletak kepada sikap masyarakat dalam memajukan tarikan pelancongan seperti keamanan, keselesaan dan keramahan mereka dalam melayani pelancong.

Selain itu, pembangunan dalam bidang masakan, kraf tangan, seni, tanah dan susun atur ruang juga akan menjadi perhatian pihak pemerintah Kabupaten Sumbawa Barat.

Sementara itu, Setiausaha Dinas Lingkungan Hidup Kabupaten Sumbawa Barat, Supiarno berkata, pihaknya memberikan komitmen penuh untuk meningkatkan aspek kebersihan dan kraf tangan sebagai salah satu faktor untuk menarik pelancong.

Katanya, pengunjung sudah tentu tidak mahu berada dalam kawasan yang penuh dengan sampah terutamanya plastik.

Disebabkan itu, Dinas Lingkungan Hidup Kabupaten Sumbawa Barat akan menyediakan tempat pembuangan sampah di kawasan pantai dalam usaha membantu menangani masalah tersebut.

Ketua Bidang Pengembangan Sumberdaya Pesisir Dinas Kelautan dan Perikanan, Agusman turut berjanji untuk membangunkan Kumpulan Masyarakat Pengawas (Pokmaswas) Batu Layar bagi menjaga kawasan laut daripada kemusnahan.

Beliau berjanji akan melakukan konservasi terhadap hutan bakau dan terumbu karang yang kini telah mengalami kemusnahan.

Katanya, masyarakat dibenarkan untuk mengoptimumkan penggunaan batu karang atau cengkerang untuk dijadikan bahan kraf tangan bagi meningkatkan sektor pelancongan.

Sokongan dan komitmen daripada semua pihak itu menyebabkan Ketua Desa Beru, Muhammad Sahril turut optimis dalam membangunkan potensi pelancongan Jelenga.

Pihaknya berharap Pantai Jelenga akan menjadi model destinasi pelancongan yang berasaskan masyarakat di Kabupaten Sumbawa Barat.

Antara tarikan di pantai tersebut ialah gelombang ombak yang sesuai untuk aktiviti sukan air seperti menyelam, meluncur dan snorkel.

Pemerintah Kabupaten Sumbawa Barat optimis hasrat untuk membangunkan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan dapat direalisasikan bagi merancakkan lagi industri berkenaan.