Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari berserta niat.

Justeru, mereka yang meninggalkannya dengan sengaja atau mempersendakannya akan mendapat seksaan yang pedih di akhirat kelak.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir umat Islam yang ingkar dan secara terang-terangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mereka dengan tanpa rasa bersalah sewenang-wenangnya makan, minum, menghisap rokok atau seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam pada waktu berpuasa di bulan Ramadan.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana golongan ini dikatakan memberi gambaran yang kurang baik kepada bukan Muslim.

Amanah

Pendakwah Da’i Luqman atau nama sebenarnya, Luqmanul Hakim Joohari berkata, tindakan segelintir umat Islam yang tidak berpuasa sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan dianggap mengkhianati tanggungjawab Allah yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Apabila seseorang yang mengaku muslim meninggalkan berpuasa dengan sengaja tanpa alasan yang kukuh maka dia telah kufur.

“Orang yang tidak berpuasa kerana malas atau lalai dengan tetap meyakini hukum wajibnya maka ia telah melakukan dosa besar dan kebinasaan kerana tidak melaksanakan salah satu rukun Islam dan kewajipan yang penting sebagai orang Islam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Da’i Luqman berkata, seseorang yang lemah imannya mudah tunduk dengan tuntutan hawa nafsu sehingga dirinya ingkar dengan perintah Allah.

“Golongan ini tidak takut kepada Allah kerana sudah terbiasa tidak melakukan ibadah wajib yang lain seperti solat.

“Kehidupan yang dikelilingi ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak berpuasa juga mendorong mereka untuk turut melakukan hal yang sama,” katanya.

Justeru, mereka yang tidak berpuasa dengan sengaja perlu bertaubat dan berusaha melawan hawa nafsu.

Setiap kali terasa lapar atau dahaga, kurangkan berkomunikasi sebaliknya perbanyakkan aktiviti yang bermanfaat seperti membaca al-Quran dan menunaikan solat sunat.

“Mereka juga sepatutnya bijak merancang aktiviti seharian supaya sibuk dan tidak sempat untuk memikirkan soal makan,” katanya. Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) musim ketiga, Mohd. Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau mesra disapa PU Amin berkata, mereka yang sengaja meninggalkan puasa akan menerima hukuman yang amat berat bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat.

Menurut PU Amin, tindakan berkenaan memberi kesan secara tidak langsung kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Implikasi

“Setiap kewajipan yang diperintahkan Allah adalah untuk memuliakan diri kita sendiri tetapi sekiranya ingkar ia akan membuatkan hati menjadi gelap dan menyumbang kepada kehidupan yang tidak harmoni.

“Selain itu, mereka tidak akan mendapat keistimewaan seperti yang dijanjikan Allah kepada orang yang berpuasa dan itu adalah kerugian yang paling besar,” ujarnya.

Malah, PU Amin memberitahu, ia turut memberi kesan kepada kesihatan seseorang apabila tubuh badan tidak dapat melakukan proses pembersihan kotoran.

“Sebenarnya puasa merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan toksin dan pembaikan dalam badan.

“Namun begitu, mereka yang tidak berpuasa akan menyebabkan organ-organ dalam badan tidak dapat berehat dan menjadi faktor wujudnya pelbagai penyakit,” ujarnya.

PU Amin berkata, budaya tidak berpuasa yang semakin menjadi-jadi merosakkan masyarakat itu sendiri.

Jelasnya, masyarakat sekeliling mengetahui wujudnya sesetengah pihak yang tidak berpuasa di sekeliling mereka tetapi takut untuk menegur dan mengambil sikap berdiam diri.

Oleh itu PU Amin berkata, apabila wujudnya sikap sebegini menyebabkan komuniti masyarakat itu akan terus berpecah belah.

Dalam pada itu PU Amin menasihatkan umat Islam mengambil tanggungjawab untuk menegur sesama sendiri sekiranya ada dalam kalangan mereka yang sengaja enggan berpuasa.

Hal ini menurutnya agama bukanlah hak individu perseorangan tetapi perlu dilaksanakan secara bersama kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab.