Hasil ujian yang dilakukan, ke­se­mua pekerja berkenaan dikesan berbohong ketika ditanya sama ada mereka pernah terlibat mencuri ubat-ubatan di gudang tersebut sepanjang perkhidmatan mereka di situ.

Seramai 18 orang daripadanya kemudian mengaku pernah mencuri ubat-ubatan di situ, manakala dua orang lagi mengaku bertindak sebagai orang tengah dalam kecurian ubat-ubatan berkenaan.

Ujian mengesan penipuan yang dijalankan itu kemudian membawa keputusan positif apabila kerugian yang dialami syarikat berkenaan pada tahun itu berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM150,000 sahaja.

Pemeriksa Poligraf Bertauliah, Datuk Akhbar Satar berkata, ujian poli­graf kakitangan gudang berkenaan dikendalikan oleh syarikatnya, Akhbar & Associates yang mempunyai poligraf iaitu alat pengesan penipuan selepas diminta berbuat demikian oleh syarikat farmasi tersebut.

Menurutnya, ketepatan ujian poli­graf yang dilakukan ke atas seseorang individu boleh mencapai tahap sehingga 98 peratus dan ia boleh menjadi 100 peratus tepat jika ujian poligraf dikendalikan oleh pemeriksa yang mahir.

“Keputusan yang diperolehi tidak perlu diragui memandangkan ujian tersebut dilakukan oleh mereka yang pakar dan bertauliah dalam membaca bentuk graf yang terhasil,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.

Menurut Akhbar, agensi penguatkuasaan di negara ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menggunakan poligraf bagi membantu siasatan mereka.

“Selain agensi kerajaan, ujian poligraf juga digunakan oleh beberapa syarikat swasta terkemuka dalam menentukan rekod lampau serta latar belakang seseorang sebelum mereka diambil bekerja.

“Syarikat minyak dan gas, per­cetakan, keselamatan, farmasi serta syarikat-syarikat mengeluarkan produk bernilai tinggi menggunakan ujian ini sebagai satu cara memastikan ­tiada penyelewengan, menyelesaikan masalah dalaman serta pengambilan pekerja baharu,” jelasnya.

Berisiko tinggi

Akhbar berkata, dalam pengambilan pekerja, bukan hanya individu yang memohon jawatan tinggi perlu menjalani ujian poligraf, malah jawatan rendah seperti pembancuh air dan pemandu juga pernah diminta untuk berbuat demikian.

Tambahnya, syarikat-syarikat yang terlibat dalam perniagaan berisiko tinggi seperti bank atau yang terlibat dalam kontrak-kontrak besar bia­sanya mewajibkan semua individu yang hendak diambil bekerja perlu menjalani ujian poligraf.

“Tidak semua yang pernah me­lakukan perbuatan jenayah seperti mencuri memiliki rekod jenayah kerana mereka tidak pernah disabitkan kesalahan.

“Ujian poligraf merupakan satu langkah pencegahan dalam pengambilan pekerja baharu bagi memastikan pekerja yang diambil benar-benar bersih,” katanya.

Menurutnya, adalah lebih menguntungkan dan kurang berisiko mengambil pekerja yang telah menjalani ujian poligraf daripada menggaji pekerja baharu hanya berdasarkan resume dan temu duga yang dijalankan semata-mata.

“Sekiranya pekerja baharu itu dikesan bermasalah selepas diambil bekerja, adalah lebih sukar hendak memecatnya berbanding tidak mengambilnya bekerja selepas ujian poligraf dijalankan,” katanya.

Akhbar memberitahu, penggunaan poligraf juga dapat me­ngurangkan risiko kecurian dalam sesebuah syarikat sekali gus dapat meningkatkan keuntungan syarikat tersebut.

“Salah satu pelanggan saya ialah sebuah syarikat membuat barangan kemas. Syarikat ini mewajibkan pekerjanya menjalani ujian poligraf setiap tahun yang dipilih secara rawak.

“Keuntungan syarikat ini me­ningkat selepas langkah ini diperke­nalkan ekoran pekerja syarikat itu tidak berani mencuri atau pecah amanah kerana bimbang akan tertangkap sekiranya diminta menjalani ujian poligraf,” katanya.

Menurut Akhbar, syarikatnya hanya me­ngenakan bayaran serendah RM3,000 bagi setiap kes atau individu yang diminta menjalani ujian poligraf sedangkan manfaat yang bakal dipe­rolehi syarikat itu boleh mencecah nilai jutaan ringgit.

Tiga fasa

Akhbar berkata, ujian poligraf dilakukan berdasarkan tiga fasa iaitu pre test, testing dan post test serta melibatkan beberapa indeks fisiologi seperti tekanan darah, pernafasan dan konduksi elektrik pada kulit.

Menurutnya, pemeriksaan po­ligraf biasanya dimulakan dengan praujian untuk mendapatkan butiran mengenai latar belakang, kisah lampau subjek atau individu yang ingin disiasat.

“Ketika ini, pemeriksa juga akan berbincang dengan subjek mengenai isu peni­puan atau kecurian yang dikaitkan dengannya untuk melihat keadaan emosi subjek,” katanya.

Tambahnya, alat pengesan khas yang dapat mengukur perubahan yang berlaku pada tekanan darah, pernafasan dan konduksi elektrik pada kulit. Ia disambungkan pada beberapa bahagian badan subjek seperti jari tangan, dada dan le­ngan.

Jelasnya, alat itu kemudiannya disambungkan kepada komputer dan setelah penyesuaian dilakukan terhadap subjek, dia akan disoal dengan soalan-soalan berkaitan kes.

“Jika subjek itu sedang berbohong, jari-jemari tangannya akan mengeluarkan peluh dan alat diberi nama galvanic skin resistance yang digunakan dapat mengukur subjek sedang menipu berdasarkan perubahan arus elektrik pada kulitnya.

“Kadar degupan jantung subjek juga akan berubah jika dia menipu dan pastinya tekanan darahnya turut berubah. Selain itu, kadar pernafasan juga akan berubah semasa seseorang itu menipu,” katanya.

Akhbar berkata, perubahan-perubahan berkenaan dapat dikesan alat pengesan khas tersebut dan semua perubahan itu direkodkan dan terjemahkan ke dalam bentuk graf jenis lekuk yang dipaparkan pada skrin komputer.

Tambah Akhbar, pada fasa akhir, pemeriksa akan mengkaji semula semua data ujian yang diperolehi berdasarkan graf dan akan membuat kesimpulan sama ada subjek bercakap benar atau menipu.

“Tempoh keseluruhan ujian po­ligraf boleh mengambil masa dua hingga tiga jam bergantung kepada jenis kes,” katanya.

Sementara itu, pemeriksa po­ligraf, Mohamad Zumairi Abdullah, 38, berkata, penentuan seseorang itu bercakap benar atau berbohong bukan terletak pada alat poligraf semata-mata.

“Alat ini hanya membantu, namun hasil yang diperolehi terletak pada pemeriksa poligraf untuk membaca graf yang terhasil.

“Sebab itu pemeriksa poligraf perlu menjalani latihan mencukupi bagi membolehkan dia mahir menggunakan poligraf,” katanya.

Ketepatan ujian poligraf boleh mencapai tahap 98 peratus jika seseorang pekerja bercakap bohong sekali gus dapat mengurangkan kes pecah amanah dan kecurian yang berlaku di sesebuah syarikat.