Mengambil contoh harga tuna yang dijual di pasar raya sedekad lalu adalah sekitar RM3.50 setin. Namun kini, ia melonjak sekitar RM5 hingga RM6.50 walaupun tanpa melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada tahun 2014.

Persoalannya, kenapa kenaikan ini berlaku? Penulis melihat lonjakan harga ini berlaku akibat peningkatan inflasi makanan. Dalam bahasa mudah, permintaan terhadap bahan makanan ketika ini melebihi penawaran dalam pasaran selain peningkatan kos bahan mentah.

Ranking universiti

Justeru, keputusan membatalkan GST kepada kadar sifar dan digantikan kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) harus disambut baik pengguna, walaupun kesan langsungnya masih perlu diperhatikan.

Kekurangan hasil kerajaan kelak boleh ditampung dengan hasil minyak serta tadbir urus yang mengurangkan ketirisan. Beberapa penganalisis ekonomi menjelaskan dengan terhapusnya cukai ini, harga barangan dijangka seakan-akan menyusut sekitar enam peratus.

Persoalannya, tidakkah penukaran GST kepada SST seakan keluar poket kanan, masuk poket kiri? Selain itu, sejauh manakah peniaga jujur dan bersedia untuk menurunkan harga atau bakal memberi alasan baharu untuk tidak menurunkan harga?

Dalam temu bual bersama Astro Awani pada awal pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik awal-awal lagi telah membangkitkan perkara sama. Penulis memandang positif terhadap pelantikan Maszlee bukan kerana beliau seorang ahli politik, tetapi kerana pengalamannya sebagai bekas pensyarah.

Seperkara yang boleh diambil kira dalam pembentukan dasar baharu di institusi pengajian tinggi (IPT) ialah semua IPT perlu kembali kepada pangkal matlamat iaitu memperkasakan sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam menjejaki era Revolusi Industri ke-4.

Usaha untuk menaikkan ranking IPT tempatan di mata antarabangsa dilihat bagus tetapi ramai yang masih ragu akan matlamatnya. Memburukkan keadaan, ramai pensyarah merungut kerana dikecamukkan dengan pelbagai urusan bukan matlamat teras seperti penjanaan dana, penyelidikan, penerbitan dan hal-hal pengurusan lain. Persoalannya, adakah jutaan pelajar dan dana penyelidikan antarabangsa datang mencurah ke universiti tempatan yang mempunyai penarafan tinggi ini?

Dengan jumlah dana penyelidikan kerajaan yang dilihat semakin terhad, cabaran untuk mengekalkan kedudukan penarafan ini semakin mencabar, sekali gus memberi impak kepada masa depan karier kakitangan IPT dan mahasiswa sendiri. Justeru, cadangan mewujudkan council of eldest untuk menyelaras semula sektor pendidikan negara harus dipertimbangkan oleh menteri baharu ini.

Hak bumiputera

Hak istimewa bumiputera terhakis antara polemik yang sentiasa timbul dalam kalangan rakyat khususnya ketika beberapa negeri jatuh kepada tangan pembangkang sejak PRU-12 lalu.

Malah, ada suara-suara kini cuba menyatakan hak tersebut bakal dimansuhkan. Penulis tidak menyalahkan golongan ini memandangkan mereka mempunyai tahap literasi Perlembagaan Negara yang rendah. Dalam temu bual bersama Astro Awani sebelum ini bersama Ahli Parlimen seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Ong Kian Ming dan Tony Pua secara jelas menyatakan hak istimewa Islam dan bumiputera yang tertera dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia tidak akan diganggu gugat malah akan diperkasakan.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyatakan persoalan hak istimewa bukan lagi isu memandangkan ia dijamin dalam Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu. Penulis melihat mungkin yang bakal terhakis ialah hak istimewa yang bernaung di bawah parti politik tertentu. Kini, tiada lagi mesin ‘ATM’ untuk alibaba Melayu, salah laku, rasuah, penyelewengan yang dihalalkan dan dilindungi atas nama hak keistimewaan Melayu.

Jika dilihat pada malam ucapan Himpunan Merdeka Rakyat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, hampir semua stesen media menyiarkan secara penuh. Keadaan ini jelas membuktikan media Malaysia secara perlahan-lahan menerima realiti semasa yang tidak membuta tuli menyokong parti politik tertentu. Penulis melihat media mampu memainkan fungsinya lebih jelas dan bebas daripada pengaruh kawalan dan pemilikannya, apabila tahap demokrasi sesebuah negara itu telah mencapai tahap matang.

Walaupun media penyiaran seperti Astro dan Media Prima, akhbar Utusan Malaysia, The Star serta Sin Chew Daily masih dimiliki parti politik tertentu, mereka boleh menyiarkan berita yang seimbang antara kedua-dua belah pihak dengan meletakkan slot untuk mana-mana parti politik.

Secara tidak langsung, ia bakal memberikan peluang perniagaan kepada organisasi terbabit melalui pembelian ruang iklan, advertorial dan peningkatan edarannya.

Kelihatannya juga pada masa akan datang, portal berita seperti Malaysiakini, FreeMalaysia Today dan lain-lain bakal menerima pesaing baharu seperti Utusan Online dan sebagainya, sekali gus berlumba-lumba menghasilkan berita dan karya yang lebih berinovasi, berkualiti dan diinginkan pembaca.