Situasi tersebut telah mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap pusat-pusat tahfiz di negara ini.

Bagi memenuhi permintaan tersebut, banyak pusat tahfiz telah dibuka sama ada milik kerajaan mahupun perseorangan.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Khairul Anuar Mohamad berkata, pusat tahfiz memainkan peranan besar dalam perkembangan Islam di negara ini.

Jelasnya, pusat tahfiz menjadi medium terbaik kepada Muslim dalam mendalami ilmu agama selain membaca dan menghafal al-Quran.

“Masyarakat Islam di negara ini berbeza dengan di Tanah Arab. Di sana, mereka boleh menghafal al-Quran di rumah atau masjid sahaja.

“Berbeza di sini, mereka mesti masuk ke pusat tahfiz kerana ia mempunyai guru berkelayakan selain suasana pembelajaran tersendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, reputasi pusat tahfiz di negara ini sedikit terjejas akibat daripada beberapa kes seperti kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada September tahun lalu.

Kejadian itu telah mengorbankan 21 orang pelajar yang kebanyakan berusia bawah 15 tahun serta dua guru.

Terbaharu, seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur pula telah didakwa di mahkamah kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun.

Memburukkan lagi keadaan, pusat tahfiz berkenaan dipercayai beroperasi secara haram.

Imej

Rentetan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Kementerian Wilayah dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan untuk menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram di ibu kota.

Langkah tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terus terpelihara.

Arahan itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat yang menilai berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Mengulas mengenai isu itu, Khairul Anuar berpendapat, pusat tahfiz di negara ini secara tradisinya beroperasi menggunakan dana yang disumbang oleh orang ramai.

Justeru, keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha pusat tahfiz enggan mendaftar kepada pihak berkuasa kerana bimbang terpaksa mematuhi syarat ketat.

“Saya tidak bersetuju penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar. Saya yakin, banyak pusat tahfiz enggan berdaftar kerana masalah dana.

“Kekurangan dana ini menyukarkan mereka memenuhi syarat-syarat ditetapkan kerajaan sama ada dalam aspek keselamatan bangunan, kemudahan asrama pelajar dan modul pembelajaran,” tegasnya.

Nada sama turut diluahkan oleh penceramah bebas, Muhammad Tajdid Hadhari Romli yang menyifatkan tindakan menutup pusat tahfiz tidak berdaftar sebagai tidak adil.

Tegasnya, pihak kerajaan seharusnya membantu pusat tahfiz mencukupkan syarat-syarat yang ditetapkan bagi membolehkan ia mendaftar dengan pihak kerajaan.

“Kerajaan sepatutnya mencari alternatif bagi membantu pusat tahfiz mendaftar dan meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa.

“Sekiranya pusat tahfiz itu kekurangan dana, kerajaan harus membantu menyediakan bantuan sewajarnya. Bukannya menutup terus,” ujarnya.

Kebaikan daftar

Pun begitu, Muhammad Tajdid yang merupakan bekas pelajar pondok di Pattani, Thailand menegaskan semua pusat tahfiz seharusnya mendaftar dengan kerajaan.

Ujarnya, ia bagi memudahkan kerajaan melakukan pemantauan dan menghulurkan bantuan kepada pusat tahfiz yang memerlukan.

“Ia juga dapat membantu mencegah daripada berulangnya kejadian-kejadian tidak diingini,” tegasnya.

Muhammad Tajdid turut mendedahkan, terdapat juga pusat tahfiz yang sengaja tidak mendaftar bagi memudahkan kerja penyelewengan dana yang disalurkan oleh orang ramai.

“Saya dapati, ada pihak mencari keuntungan mudah dengan mewujudkan pusat tahfiz. Mereka menggunakan wang sumbangan untuk kegunaan sendiri. Mereka ini juga sanggup menggunakan guru-guru agama tidak bertauliah untuk mengajar pelajar,” jelasnya.