Kebiasaan, dia dihantar oleh sepupunya yang tinggal serumah dengannya.

Bagaimanapun, pada suatu hari, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi ke hentian tersebut disebabkan sepupunya itu mempunyai hal lain.

Akmal kemudiannya menempah teksi melalui satu aplikasi pada telefon pintarnya.

“Saya jarang menaiki teksi, tetapi pada hari itu saya terpaksa menggunakannya.

“Apa yang mengecewakan saya ialah pemandu teksi itu menggunakan laluan yang agak jauh untuk ke Hentian Duta. Bila saya bertanya kenapa tidak menggunakan jalan biasa yang lebih dekat, dia memberi alasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas,” jelasnya.

Tambahnya, walhal ketika dia menggunakan perkhidmatan teksi itu bukanlah pada waktu puncak sehingga kesesakan lalu lintas berlaku.

Setelah sampai ke Hentian Duta, Akmal agak terkejut kerana tambang teksi yang perlu dibayar ialah sebanyak RM25 sedangkan jarak dari rumahnya di Jalan Ampang menuju ke Hentian Duta adalah sekitar 12 kilometer sahaja.

Selepas itu, Akmal serik untuk menggunakan perkhidmatan teksi dan memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing iaitu Grab.

Tegas Akmal apabila dia menggunakan Grab untuk ke Hentian Duta caj yang dikenakan pada waktu tidak puncak hanya RM15.

Kini, Akmal lebih selesa untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana harga tambang telah dipamerkan lebih awal sewaktu membuat tempahan.

Tidak dapat dinafikan orang awam memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana sikap sesetengah pemandu teksi itu sendiri.

Punca pendapatan

Sesetengah pemandu teksi cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna.

Keadaan itu, menimbulkan polemik dalam kalangan pemandu teksi yang dianggap mengganggu periuk nasi mereka.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, perkhidmatan e-hailing sedikit sebanyak mengganggu pendapatan pemandu-pemandu teksi.

Jelasnya, umum mengetahui punca pendapatan utama mereka adalah dengan memandu teksi.

“Perkhidmatan e-hailing ini memberi saingan kepada pemandu-pemandu teksi. Kebanyakan pemandu e-hailing ini mempunyai kerja lain berbanding pemandu teksi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tegasnya, kerajaan harus menyelesaikan masalah tersebut dan jangan biarkan ia berpanjangan.

Kerajaan harus melaksanakan peraturan dari segi pelesenan dan sebagainya terhadap perkhidmatan e-hailing sepertimana yang dikenakan terhadap perkhidmatan teksi.

“Jangan cakap sahaja hendak lesenkan tentang perkhidmatan e-hailing ini tetapi hitam putih mengenai peraturannya masih belum ada untuk dilaksanakan.

“Kewujudan perkhidmatan e-hailing sudah hampir lima tahun, tetapi dalam tempoh itu tiada usaha yang berkesan dilakukan kerajaan bagi membantu dan melindungi pemandu-pemandu teksi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aslah menjelaskan, tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah pemandu teksi yang mempunyai sikap tidak baik dan mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Baru-baru ini Kosmo! Online melaporkan operator perkhidmatan e-hailing harus meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai pemandu teksi mendaftar dengan platform mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, migrasi kepada perkhidmatan e-hailing adalah seiring dengan trend global dan berharap langkah itu juga akan menamatkan persengketaan antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing, sekali gus menambah baik industri pengangkutan awam negara.

“Saya merayu kepada penyedia perkhidmatan e-hailing agar lakukan yang terbaik untuk menggalakkan pemandu teksi sertai anda.

“Kita tidak mahu penyedia perkhidmatan e-hailing dan pemandu teksi terus berada dalam persekitaran yang menyaksikan masing-masing saling menganggap sebagai musuh dan pesaing. Sudah tiba masa untuk semua operator bekerja bersama,” katanya semasa berucap melancarkan perkhidmatan e-hailing baharu ‘Diffride’, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Loke berkata operator perkhidmatan e-hailing juga harus mengambil inisiatif mendekati dan bekerjasama dengan persatuan teksi dalam usaha memperkenalkan teknologi baharu kepada pemandu teksi.

Beliau berkata, persatuan-persatuan berkenaan arif tentang industri dan pada masa sama boleh membantu penyedia e-hailing menambah baik perkhidmatan mereka.