Begitulah konotasi pepatah Melayu yang menggambarkan betapa pentingnya mendidik anak sedari usia kecil.

Maka tidak hairanlah suatu masa dahulu, rata-rata ibu bapa memberikan kepercayaan kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka.

Guru-guru diberi kepercayaan untuk mendidik, menegur sehingga adakalanya diberikan izin untuk menghukum seperti merotan.

Ironinya, konsep hukuman itu kini tidak lagi dianggap norma dalam masyarakat.

Malah, para guru dihimpit rasa takut untuk menegur anak murid kerana khuatir ibu bapa akan memarahi mereka.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, Kesa­tuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan supaya mengkaji semula hukuman terhadap murid seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8 Tahun 1983.

Kajian semula itu adalah bagi memastikan sama ada tindakan itu masih relevan ataupun perlu ditambah baik.

Ia juga perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk mengambil kira kebajikan guru berikutan hukuman yang dikenakan bertujuan untuk memastikan kelancaran dalam proses pembelajaran di sekolah.

Kaedah hukuman yang akan dikenakan perlu bersesuaian dengan cabaran guru dalam era globalisasi dunia pendidikan yang sema­kin mencabar.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Kerja Sosial dan Polisi, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Ibrahim Wan Ahmad bersetuju hukuman terhadap murid itu dikaji semula.

“Hal ini kerana setiap peraturan perlu sentiasa dikaji semula selepas beberapa waktu berselang.

“Malah, ia juga sebagai usaha penambahbaikan kepada peraturan hukuman yang ditetapkan kementerian dan perundangan sedia ada.


Perilaku positif

“Ia juga sebagai respons kepada sesuatu isu yang timbul baik melibatkan isu disiplin murid ataupun kes-kes hubungan antara guru dengan murid berkaitan perundangan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, hukuman ialah sebahagian daripada proses pendidikan yang menanam nilai ikutan selari dengan kehendak budaya dan agama. 
Bagi memastikan nilai itu meresap dalam perilaku harian seseorang kanak-kanak, perkara yang perlu diperkasakan adalah pengukuhan ke atas sesuatu nilai yang diterapkan.

“Sekiranya pelajar berkelakuan baik, mereka perlu diberikan pengukuhan positif seperti pujian dan hadiah supaya perilaku harian kanak-kanak konsisten di atas pola perilaku positif yang ditunjukkan.

“Kalau mereka berkelakuan melencong daripada nilai dan menunjukkan perilaku negatif yang keterlaluan, mereka perlu diberikan pengukuhan negatif berbentuk larangan atau hukuman sebagai jalan membentuk semula akhlak.

“Hal ini kerana tidak semua pelajar akur dengan kehendak guru di sekolah dan semestinya ia suatu cabaran yang besar dalam mendidik generasi muda kini,” ujarnya lagi.

Jelasnya, dengan adanya hukuman, kanak-kanak yang cuba melencong akan dipaksakan kembali kepada pola perilaku positif yang sewajarnya.

Bagaimanapun jelas Wan Ibrahim, penggunaan rotan perlu dikaji semula seperti guru yang dibenarkan merotan, jenis kesalahan, bentuk rotan dan tempat merotan agar tiada penyalahgunaan kuasa sehingga akhirnya menjadi kes penderaan.

Malah, pelbagai bentuk hukuman lain boleh dilakukan seperti kerja-kerja amal di sekolah, membersihkan halaman kantin sekolah.

Wan Ibrahim menegaskan, asas kepada pembentukan akhlak bukan hanya terletak pada bahu guru namun faktor keluarga, persekitaran rumah, rakan-rakan, sekolah termasuk suasana fizikal bilik darjah turut wajar dititkberatkan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor, Nor Hisham Abdullah Sani menyambut baik saranan untuk mengkaji dan menyeragam semula hukuman murid.

“Hal ini kerana pihak sekolah sukar mengambil tindakan terhadap murid yang melanggar disiplin.

“Lebih malang, guru berdepan dengan tindakan undang-undang daripada ibu bapa jika melakukan tindakan seperti memukul atau merotan murid.

“Sekiranya pihak kementerian mengkaji semula hukuman murid ini, hak guru mewakili pihak sekolah dapat dipelihara sekali gus mewujudkan suasana harmoni antara ibu bapa dan guru,” jelasnya.