Individu itu merupakan kumpulan masyarakat yang banyak memberi sumbangan sama ada kepada komuniti atau negara sehingga layak mendapat pengiktirafan daripada pihak istana pada Hari Keputeraan Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Penganugerahan darjah kebesaran itu membawa kepada gelaran Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun.

Ia bukan sahaja menjadi lambang pengiktirafan kepada penyandang, malah turut membuatkan ahli masyarakat memandang tinggi kepadanya.

Namun, sejak akhir-akhir ini individu yang diberi darjah kebesaran bertambah.

Kredibiliti

Menurut Pakar Sosiologi, Dr. Ma’rof Redzuan, manusia banyak bergantung kepada persepsi dan impresi orang lain. Ia merupakan sebahagian daripada kupasan dalam teori sosiologi iaitu Teori Pengurusan Impresi.

“Apabila seseorang dikurniakan pangkat tertentu, maka secara tidak langsung individu itu telah membina persepsi yang baik terhadap orang lain.

“Mereka dipandang tinggi dalam masyarakat disebabkan sumbangan yang telah dicurahkan untuk kemajuan sesuatu aspek misalnya ekonomi, infrastruktur atau sosial,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Seseorang yang mempunyai sosial strata yang tinggi secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pengembangan karier sama ada dalam urusan perniagaan atau rundingan kerana masyarakat lebih meyakini kredibiliti mereka.

Selain itu, Ma’rof turut memberitahu bahawa pangkat yang diterima itu menjadi nilai tambah kepada individu tersebut untuk lebih komited menyumbang bakti.

Misalnya, menggunakan pengaruh yang ada untuk meraih lebih banyak sokongan bagi membantu komuniti seperti mengumpul dana membina masjid atau mengajak bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan.

Tegas Ma’rof, individu yang dikurniakan pingat juga perlu mematuhi etika dan norma-norma yang telah ditetapkan oleh badan pemberi darjah kebesaran negeri terbabit.

Mereka seharusnya menjaga tingkah laku yang boleh mencalar integriti penerima dan pemberi darjah kebesaran berkenaan.

Jika silap percaturan, pihak istana berhak untuk menarik balik gelaran itu.

Beliau turut menzahirkan kekesalan dengan sikap segelintir pihak yang sanggup mencari jalan mudah beroleh darjah kebesaran melalui sindiket-sindiket haram yang menawarkan darjah kebesaran negeri dengan sejumlah bayaran tertentu.

Latar belakang

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, kebanjiran individu berpangkat pada hari ini seolah-olah menjadi suatu polemik dalam masyarakat.

“Apabila berlaku lambakan individu berpangkat dalam masyarakat, secara tidak langsung ia mengikis nilai eksklusif darjah kebesaran tersebut.

“Individu yang menerimanya pula terdiri daripada kelompok masyarakat yang tidak dipastikan latar belakang dan sumbangan mereka, sedangkan jika dilihat ramai orang yang berjasa kepada masyarakat dan negara lebih layak mendapatnya,” ulasnya ketika dihubungi.

Fatimah berpendapat, pemilihan yang dibuat oleh badan berkaitan sepatutnya lebih selektif dan paling utama, perlu mengambil kira latar belakang calon penerima agar mereka benar-benar layak menyandangnya.

“Seseorang yang mendapat penganugerahan disebabkan pencapaian cemerlang dan sumbangan mereka akan menjadi teladan kepada orang lain. Jika baik acuannya, maka eloklah juga hasilnya.

“Selain itu, apabila telah dikurniakan pangkat tertentu, gunakanlah ia dengan ikhlas dan bukannya mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi,” tegasnya.