PANDANGAN lelaki berusia 32 tahun itu tertumpu ke arah bangunan berkembar Petronas, Kuala Lumpur yang berada betul-betul di depannya.

Sesekali Shahrul Ambri Samsuddin mendongak ke atas bagi melihat dengan lebih jelas menara berkembar tertinggi di dunia itu.

Malangnya, pandangan lelaki berasal dari Mentakab, Pahang itu terhalang oleh sinaran pancaran matahari.

Situasi ini membuatkan Shahrul Ambri berasa sakit kepala dan pandangannya menjadi kelam. Rentetan itu, dia terpaksa mencari tempat untuk berteduh seketika.

Dalam situasi cemas itu dia bergegas ke sebuah kawasan seluas 30 meter (m) persegi yang dipenuhi rimbunan pohon hijau.

Kawasan tersebut menempatkan kira-kira 50 batang pokok jenis merawan siput jantan atau nama saintifiknya hopea odorata setinggi 50 m.

Selepas memasuki kawasan berkenaan, lelaki berkulit sawo matang itu berasa lebih selesa selain dapat menghirup udara nyaman.

“Saya berasa umpama berada dalam sebuah hutan tebal. Suasana di sini berbeza sama sekali dengan kawasan lain di sekitarnya.

“Pokok-pokok yang rendang ini mewujudkan suasana redup. Malah, kawasan ini juga menawarkan udara yang segar kepada saya,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kawasan yang dikenali sebagai pocket park itu merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia bukan sahaja bertujuan mengindahkan dan menghijaukan landskap di ibu negara, malah berfungsi sebagai pengawal gas karbon dioksida.

Shahrul Ambri yang berkhidmat sebagai anggota keselamatan menyarankan supaya lebih banyak kawasan dan landskap hijau dibina di Kuala Lumpur.

Jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu langkah tersebut mampu menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar dalam taman.

“Saya selalu ke sini (Kuala Lumpur) apabila ada keperluan. Dalam setahun lebih kurang 10 kali saya datang ke sini.

“Sepanjang pengamatan, saya dapati bandar ini semakin hijau berbanding dua dekad lalu. Jika dahulu, ia penuh dengan hutan konkrit sahaja,” katanya.

Usaha menghijaukan Kuala Lumpur bermula sejak 2011 sebagai sebahagian daripada projek Transformasi Negara NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.

Ia bagi memastikan masyarakat ibu kota yang berjumlah empat juta pada sebelah siang dan dua juta pada waktu malam menikmati kehidupan lebih selesa, selamat serta kondusif.

Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Jabarilah Ja’afar berkata, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh pihaknya bagi memastikan kawasan hijau di Kuala Lumpur ditingkatkan.

Katanya, salah satu langkah dan kriteria yang diletakkan dalam program Greater KL ialah dengan menanam 30,000 batang pokok setahun.

Teduhan

Ia bertujuan bagi mencapai sasaran 100,000 batang pokok teduhan menjelang tahun 2020.

“Selain pokok teduhan, DBKL turut melaksanakan program mengindah dan menceriakan Kuala Lumpur melalui pokok berbunga.

“Pokok-pokok ini merangkumi projek pengindahan dan menaik taraf kawasan perbandaran seperti Heritage Trail, River of Life dan pocket park,” katanya.

Dianggarkan terdapat 12 kawasan pocket park di ibu negara.

Menurut Jabarilah, pihaknya turut melaksanakan program Adopt A Park bagi menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam menghijaukan Kuala Lumpur.

Jelasnya, menerusi program ini, DBKL menyerahkan ruang hijau di ibu negara kepada syarikat-syarikat swasta untuk dibangun dan diuruskan.

Selepas berakhir perjanjian, pihak swasta itu perlu menyerahkan kembali kawasan hijau tersebut kepada pihak DBKL.

“Sejak tiga tahun lalu dianggarkan sebanyak sembilan buah syarikat telah terlibat dalam program ini.

“Antara syarikat yang terlibat ialah Kumpulan Veritas Design, Think City, Tesco (M) Sdn. Bhd., Naza TTDI Sdn. Bhd. dan Dynamic Property Management,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sehingga kini, kawasan lapang hijau dan taman awam di ibu negara yang diuruskan oleh DBKL dianggarkan seluas 2,200 hektar berbanding 2,000 hektar pada tahun 2000.

Jabarilah menambah, penambahan itu ekoran langkah pihaknya mewajibkan agar setiap perancangan bandar yang melebih empat hektar supaya menyediakan 10 peratus kawasan lapang berpusat.

Katanya, perancangan bandar yang mempunyai ruang tanah terhad, pemaju boleh memilih untuk menghijaukan kawasan mereka secara menegak.

“Kawasan lapang ini boleh diserahkan kepada DBKL atau pihak pemaju bangunkan sendiri untuk kegunaan masyarakat umum.

“Malah, ada pemaju memilih menghijaukan bangunan mereka secara menegak dengan menanam pokok menjalar pada dinding,” katanya.

DBKL juga bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia untuk menubuhkan Panel Penilai bagi memberi nasihat kepada pemaju dalam menjayakan konsep hutan bandar.

Langkah lain yang diambil untuk menghijaukan Kuala Lumpur adalah dengan menguatkuasakan penggunaan produk biodegradasi bermula September tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, para peniaga diwajibkan mengguna pakai produk jenis biodegradasi.

Katanya, penggunaan produk mesra alam itu dalam menggantikan beg plastik dan polisterin mampu memberi manfaat kepada alam sekitar dan pengurusan pepejal.

“Berdasarkan kajian, produk biodegradasi boleh dilupuskan dalam tempoh empat bulan kerana ia dibuat daripada bahan organik seperti jagung dan ubi kayu.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal yang semakin tenat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, Selangor,” ujarnya.

Semua sampah yang dikutip di seluruh Kuala Lumpur akan dihantar ke tapak pelupusan Bukit Tagar.

Pengurangan jumlah beg plastik dan polistirena juga dijangka dapat membantu mengurangkan impak pencemaran dan bencana alam seperti banjir di ibu negara.

KWP turut bekerjasama dengan Sirim Berhad dan Bioeconomy Corporation dalam menetapkan dasar penggunaan produk biodegradasi dan mencapai piawaian antarabangsa.

Menurut Adnan, para peniaga yang ingkar atau gagal mematuhi arahan menggunakan produk biodegradasi akan dikenakan tindakan tegas.

Ttindakan tersebut termasuklah pembatalan lesen, denda, lucut hak deposit, penyitaan dan penjara.

“Pihak DBKL dipertanggungjawabkan bagi memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan program ini berjaya dan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Bagi memastikan usaha tersebut berjaya, penduduk di Kuala Lumpur tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan ke atas pembungkusan produk biodegradasi.