Pada 4 Disember lalu, PKNP FC mendapat berita gembira apabila badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M), Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengesahkan slot mereka dalam saingan Liga Super 2018.

Biarpun gagal menghuni dua tangga teratas Liga Premier musim lalu untuk mengesahkan slot secara automatik pada kempen Liga Super 2018, PKNP FC tetap dilihat masih layak untuk beraksi dalam liga elit negara itu berdasarkan merit.

Ia bersandarkan kepada kedudukan ketiga Liga Premier 2017 yang dihuni pasukan berstatus kelab itu yang menyaksikan mereka hanya dipisahkan satu mata dengan juara dan naib juara, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Selain PKNP FC, Negeri Sembilan turut mendapat ‘tiket percuma’ Liga Super musim ini. Kedua-dua pasukan itu mengisi dua kekosongan tempat selepas Felda United disingkirkan daripada Liga Super manakala T-Team (kini dikenali TFC II) memilih untuk beraksi dalam Liga Premier.

Kini berdepan dengan musim yang dianggap paling kompetitif buat mereka, PKNP FC ternyata tidak mahu dilabel sekadar pelengkap pasukan pada saingan Liga Super 2018.

Pengendali PNKP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan apabila anak-anak buahnya membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Super musim ini.

“Kita tidak mahu menjadi pasukan belasahan. Penyertaan PKNP FC dalam kancah Liga Super merupakan satu pengiktirafan dan tawaran itu tidak boleh dielakkan, malah ia bagus untuk meningkatkan motivasi pemain-pemain.

“Saya akui bahawa pemain-pemain pastinya gugup untuk beraksi pada saingan Liga Super tetapi kita harus realistik dengan kemampuan yang ada dan akan terus memberi saingan kepada pasukan lain,” katanya ketika ditemui Rembat Kosmo! di Padang Mini 1 Malaysia, Chemor, Perak baru-baru ini.

Peluang terbaik

Menurut Abu Bakar lagi, peluang beraksi dalam saingan Liga Super 2018 merupakan satu peluang terbaik untuk anak-anak buahnya mempamerkan bakat mereka yang rata-ratanya terdiri daripada barisan pemain muda.

“Jika kita meraih mata pada perlawanan pertama (menentang Negeri Sembilan), secara automatik moral para pemain juga akan semakin meningkat.

“PKNP FC akan terus memberi saingan sengit untuk membuktikan kemampuan kami bersaing dengan pasukan-pasukan elit Liga Super,” katanya yang pernah dilantik sebagai ketua jurulatih Perak sebelum membimbing PKNP FC.

Bagi memperkasa PKNP FC musim ini, Abu Bakar telah mendapatkan khidmat empat pemain import baharu iaitu Yeon Gisung dari Korea Selatan, Nikolv Luben Gueorguiev (Bulgaria), Anzite-Touadere Clovis (Republik Afrika Tengah) dan Keo Sokpheng (Kemboja). Khidmat tonggak pertahanan kental dari Latvia, Ritus Krjauklis masih lagi bersama PKNP FC musim ini.

Abu Bakar memberitahu, meskipun PKNP FC dibarisi rata-ratanya pemain muda tempatan, beliau tetap yakin dengan pengalaman yang ada pada tonggak utama seperti kapten, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

“Shahrel Fikri merupakan antara ayam tambatan skuad PKNP FC yang mampu memberi impak besar kepada pasukan tersebut terutamanya untuk menjaringkan gol.

“Bagi saingan Liga Super kali ini, sudah pasti saya mengharapkan sentuhan beliau untuk sekali lagi mengetuai jentera serangan PKNP FC,” jelasnya.

Terdahulu, pihak pengurusan PKNP FC telah melanjutkan kontrak Shahrel Fikri sehingga tahun 2020 sebagai persiapan untuk menempuh saingan Liga Super musim ini.

Lanjutan kontrak tersebut sekali gus menamatkan spekulasi berkaitan perpindahan Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) itu ke pasukan baharu tahun ini.

Dalam pada itu, Shahrel Fikri optimis PKNP FC masih mampu memberi cabaran dan saingan kepada pasukan-pasukan handalan musim ini.

“Kami sudah menjalani latihan yang intensif dan mengadakan perlawanan persahabatan pramsim sebagai persiapan awal untuk bersaing dalam Liga Super.

“Malangnya, saya tidak dapat beraksi selama dua bulan pertama Liga Super kerana kecederaan di bahagian paha kiri dan masih perlu berehat,” katanya yang meledak 20 gol dalam semua pertandingan musim lalu.

Shahrel Fikri yakin tempoh rehat selama dua bulan itu mampu memulihkan kecederaan yang dialami sebelum dia kembali membuat penampilan bersama PKNP FC.

“Secara peribadi, saya berazam mahu mengekalkan anugerah Penyerang Terbaik ABK 2017 pada tahun ini, sekali gus dapat mengangkat lagi nama pasukan PKNP FC,” ujar penyerang berusia 23 tahun itu.

Ditanya mengenai gelanggang tuan rumah PKNP FC musim ini iaitu Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, Shahrel Fikri berkata, ia bukan satu halangan untuk pasukan tersebut untuk menyinar dalam Liga Super.

“Sebelum bermain di (Stadium Perak) Ipoh pada musim lalu, kami juga bermain di Tanjung Malim tetapi ada penyokong yang sanggup hadir menyaksikan perlawanan kami.

“Dari aspek asas peminat (fan based), saya rasa ia tidak memberi masalah kepada kami meskipun stadium di negeri lain. PKNP FC akan terus memberi aksi cemerlang, sekali gus memberi impak dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya.