Tangkapan itu membolehkan pemuda berusia 35 tahun tersebut meraih hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 setelah berjaya menewaskan lebih 700 peserta lain.

Menurut Arzafri yang menetap di Bangi, kejayaan itu sangat bermakna kerana dia tidak menyangka dipilih sebagai pemenang memandangkan perbezaan berat ikan yang dinaikkannya dengan pemenang tempat kedua hanya sekadar 30 gram.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana semasa menaikkan ikan ini, saya tidak fikir pun ia merupakan (ikan) yang paling berat berbanding peserta lain sehinggalah keputusan rasmi diumumkan pihak penganjur,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Azmil Hanafi Saharudin, 14, yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 dengan hasil tangkapan ikan daripada spesies sama seberat 3.35kg.

Ikan patin seberat 3.14kg yang dijinakkan seorang lagi peserta, Mohd. Riduwan Bilal, 29, pula membolehkannya menduduki tempat ketiga dan meraih wang tunai berjumlah RM1,500.

Selain tiga pemenang utama, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai RM400 kepada peserta tempat keempat hingga kelima, manakala tempat keenam hingga ke-10 memperoleh RM200. Keseluruhan hadiah yang tunai yang ditawarkan adalah RM20,000.

Majlis penyerahan hadiah pada pertandingan yang dianjurkan bersempena aktiviti PJ Car Free Day itu telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain.

Acara tahunan

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan penganjuran acara berkenaan sambil berharap ia akan terus dijadikan sebagai acara tahunan.

“Lebih 700 kaki pancing dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka telah menyertai acara ini.

“Secara peribadi, saya sangat berpuas hati dengan penganjuran acara ini dan PJ Joran akan menjadi salah satu produk program pelancongan kelolaan MBPJ yang terbaik,” cerita Mohd. Azizi.

Dalam pada itu, ujar beliau, Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan meneruskan usaha untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya hijau dan mampan dengan menganjurkan program PJ Car Free Day 2018 yang diadakan di Taman Bandaran, Kelana Jaya.

“Kita menganggarkan lebih 6,000 pengunjung dan peserta telah memeriahkan PJ Car Free Day 2018. Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya ialah Purple Walk–Walk For Health, pertandingan PJ Joran, PJ Smart Ride, senamrobik dan pertandingan sukan tradisional.“Bagi menyemarakkan suasana acara tersebut, kita turut menganjurkan pertandingan mewarna, pertandingan busana tradisional kreatif, pertunjukan diablo (yoyo cina), persembahan kebudayaan, jualan makanan dan minuman melalui kendera saji dan banyak lagi,” katanya.