Menyedari hakikat tersebut, seorang petani dari Okayama, Jepun menerusi satu inovasi mencipta pisang dengan kulitnya yang boleh dimakan.

Pisang itu diberi nama Mongee yang membawa maksud ‘mengagumkan’ dalam bahasa Jepun. Dari segi rupa, ia tiada beza dengan pisang biasa.

Menurut saintis yang menguji serta menjalankan penyelidikan terhadap pisang Mongee, mereka mendapati bahawa rasa kulit pisang itu kurang pahit berbanding kulit pisang biasa.

Kulitnya juga lebih nipis dan mudah untuk digigit, khususnya oleh haiwan-haiwan yang gemarkan buah tersebut seperti monyet.

Memetik laporan laman web Oddity Central, Mongee sebenarnya bukanlah sejenis tanaman baharu. Ia sebenarnya sama dengan pisang lain cuma kaedah penanamannya diperbaharui dan membolehkan kulitnya dimakan.

Sejuk beku

Kaedah penanaman tersebut dikenali sebagai freeze thaw awakening.

Anak pokok pisang akan dibekukan pada suhu -60 darjah Celsius sebelum ditanam semula seperti biasa.

Menurut saintis di Ladang D&T, Okayama, kaedah tersebut sebenarnya pernah diamalkan kira-kira 20,000 tahun yang lalu di Jepun. Selepas musim sejuk, pokok-pokok yang beku akan tumbuh seperti biasa dan menghasilkan buah yang lebih berkualiti.

Kaedah penanaman tersebut dilihat sesuai dengan suhu negara itu yang sejuk dan ia juga membantu pokok pisang tumbuh dengan lebih cepat.

Pokok pisang tropika memerlukan masa sekitar dua tahun untuk besar sebelum buahnya boleh dimakan.

Pokok pisang Mongee pula hanya memerlukan masa sekitar empat bulan sebelum buahnya boleh dipetik.

Pisang Mongee mula dijual di pasaran pada November tahun lalu dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Begitu pun, bekalan pisang tersebut sukar untuk didapati.

Ladang D&T hanya menghasilkan 10 biji pisang seminggu dan pisang-pisang tersebut hanya dihantar ke sebuah pasar raya di Okayama iaitu Fruit Corner of Tenmanya.

Lebih manis

Harganya juga agak mahal kerana sebiji pisang Mongee bersaiz sederhana dijual pada harga 648 yen (RM23.20).

Memetik laporan agensi berita Sora News 24 di Jepun, rasa pisang Mongee sememangnya enak dan manis.

“Pisang ini lebih manis kerana kandungan gulanya lebih tinggi berbanding pisang biasa. Selain itu, baunya juga lebih kuat dan menyelerakan.

“Sebiji pisang Mongee mengandungi 24.8 gram gula, manakala pisang biasa pula mengandungi sekitar 18.3 gram gula,” kata seorang wakil agensi tersebut yang enggan didedahkan namanya.

Kelazatan pisang Mongee sememangnya dikagumi kerana kulitnya juga lazat serta kaya dengan vitamin B6 yang baik untuk perkembangan otak.

Selain itu, kaedah penanaman pisang Mongee juga membolehkan pisang itu berada dalam keadaan segar tanpa perlu disembur dengan penyembur serangga.

Begitu pun, berbeza dengan pisang biasa, pisang Mongee perlu benar-benar ranum dan masak sebelum boleh dimakan bersama kulitnya sekali.