Dari jauh, kelihatan dua orang lelaki yang mengenakan sut berwarna kelabu dengan bahagian muka tertutup sedang bersiap sedia untuk melakukan operasi menyelamat lebah di salah sebuah bangunan di Serdang, Selangor.

Pertama kali mendengar operasi menyelamat lebah, kru Panorama termangu seketika.

Mana tidaknya, pada kebiasaannya, sarang lebah yang wujud di bangunan atau di kediaman dihapuskan menerusi kaedah pembakaran kerana umum sering dimomokkan dengan persepsi bahawa serangga tersebut membahayakan individu melalui sengatannya.

Bagaimanapun, berbeza pula kali ini apabila lebah tersebut diselamatkan iaitu dengan dipindahkan ke santuari lebah Serdang yang terletak di dalam Universiti Putra Malaysia oleh sekumpulan penyelamat lebah dikenali sebagai MY Bee Saviour.

“MY Bee Saviour yang diwujudkan sejak tahun 2017 merupakan sebuah badan tanggungjawab sosial korporat yang ditubuhkan di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Kami berperanan untuk mengurus peningkatan populasi lebah dengan memindahkan dari kawasan kediaman ke tempat yang lebih sesuai,” jelas Izatul Lail Mohd. Yasar yang merupakan sekreteriat MY Bee Saviour.

Menurut pemuda berusia 38 tahun yang juga merupakan Pegawai Penyelidik di institusi itu lagi, inisiatif tersebut dilakukan selepas melihat spesies tersebut kini semakin diancam kepupusan.

Pendebungaan

“Malaysia kehilangan hampir semua lebah madu ternak sekitar 1996 hingga 1997 sehingga meruntuhkan industri penternakan. Pada tahun 2014 pula, populasi lebah tualang berkurang sekitar 50 peratus berbanding tahun 1993.

“Malah di Amerika dan negara-negara Barat, mereka menghadapi fenomena dipanggil colony collapsed disorder sejak tahun 2007 yang menyaksikan kehilangan berjuta-juta koloni lebah.

“Mungkin ramai yang tidak sedar kehilangan lebah menyebabkan tiada lagi buah-buahan, sayur dan buah masakan seperti mangga, durian, rambutan, belimbing, timun, terung, kekacang dan lain-lain.

“Ini kerana, sebanyak 75 peratus tanaman makanan dan hampir 90 peratus tumbuhan liar bergantung kepada haiwan pendebunga seperti lebah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kehilangan lebah banyak menjadikan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak dapat dihasilkan dan menyebabkan harga sumber makanan melonjak naik.

Bukan itu sahaja, kelestarian tumbuhan sumber biodiversiti seperti kayu-kayan yang berharga dan bunga-bungaan yang menghias landskap indah sekitar Malaysia juga terjejas dan tidak dapat membiak.

Justeru secara tidak langsung dengan kewujudan MY Bee Saviour ini, mereka dapat menyedarkan masyarakat mengenai kelestarian lebah dengan memperkenalkan semula serangga itu di kawasan pertanian yang tiada lebah dan menilai ancaman kepupusan dan keberkesanan inisiatif.

Bercerita lebih lanjut menurut lelaki yang mesra di sapa Lail ini lagi, kebiasaannya proses pemindahan lebah tersebut mengambil masa 30 minit bergantung kepada kecil atau besar sarang serangga tersebut.

Menerusi operasi yang melibatkan antara tiga hingga lima orang petugas itu, mereka akan memakai kelengkapan keselamatan seperti baju khas, but dan sarung tangan.

“Kerja-kerja pemindahan ini dilakukan tanpa mengenakan sebarang caj. Peralatan yang digunakan dalam operasi ini ialah kotak sarang lebah, pisau pemotong, klip perangkap ratu, pengasap dan penyembur air.

“Biasanya sebaik aduan diterima, kami akan meminta maklumat lanjut mengenai lokasi sarang lebah tersebut seperti gambar, anggaran ketinggian dari tanah dan anggaran tempoh masa bersarang.

“Mengambil contoh pemindahan lebah jenis Apis cerana di UPM pada hari ini, asap akan disemburkan di kawasan lebah bersarang dan dibiarkan dalam masa dua minit.

“Kemudian, sisir paling tepi sarang akan dipotong dan diikatkan pada bingkai lebah sebelum ia disusun dalam kotak seperti kedudukan asal. Langkah ini diulang sehingga semua sisir selesai dipotong, diikat dan dimasukkan ke dalam kotak,” jelasnya.

500 kes

Cerita Lail lagi, sewaktu dalam proses pemotongan sisir, mereka perlu peka dengan kewujudan ratu. Ratu yang ditemui akan ditangkap menggunakan klip perangkap ratu dan dimasukkan ke dalam kotak.

“Jika tidak dapat ratu, air perlu disembur ke arah kelompok lebah sebelum ia dikaut masuk ke dalam kotak sehingga kebanyakan lebah memenuhi ruang tersebut.

“Kotak kemudian diletakkan di luar bangunan, berhampiran kedudukan asal dan dibawa ke lokasi baharu yang lebih sesuai. Di MARDI, kajian sedang dijalankan untuk menghasilkan teknik pemindahan yang lebih efektif dan efisien,” jelasnya.

Biarpun lagi menurut Lail, kebiasaannya teknik pemindahan bergantung kepada spesies dan tempoh masa bersarang.

Jelasnya lagi antara lebah yang sering diselamatkan ialah jenis lebah kampung (Apis cerana), lebah tualang (Apis dorsata) serta lebah lalat (Apis florea dan Apis andreniformis)

Setakat ini, pihaknya berjaya menyelamatkan lebih 500 kes di seluruh negara.

Tiada sebarang caj dikenakan bagi operasi menyelamat yang dijalankan.

Bergelumang dengan serangga terbang sosial yang hidup berkelompok ini, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran MARDI, Mohd. Fahimee Jaapar, 35 berkata, haiwan tersebut sebenarnya merupakan spesies yang mesra.

“Lebah tidak berbahaya. Tetapi sejak dari zaman dahulu masyarakat kita mempunyai perspektif negatif terhadap serangga ini dan melihat mereka sebagai satu ancaman.

“Lazimnya lebah akan mengancam individu jika berasakan koloni terancam atau terganggu dengan bunyi bising atau persekitaran yang mengejut.

“Kita perlu sedar lebah bermanfaat dalam pendebungaan untuk hasil tanaman. Serangga ini memberi servis pendebungaan percuma kepada tanaman-tanaman yang diusahakan oleh manusia.

“Memang serangga lain seperti lalat boleh menjalankan pendebungaan tetapi ia tidak sehebat lebah,” jelasnya.

Jelasnya lagi, masyarakat hari ini perlu mengubah stigma mereka terhadap lebah.

“Kita perlu mengurangkan tanggapan bahaya serangan lebah kepada masyarakat. Kalau diikutkan, kita sebenarnya yang merosakkan habitat lebah.

“Menerusi MY Bee Saviour ini, secara tidak langsung mampu membuka mata orang ramai untuk melestarikan lebah demi kelestarian sejagat,” jelasnya.

Setakat ini inisiatif MY Bee Savior disertai oleh lebih 200 orang sukarelawan yang turut berkorban masa, wang ringgit dan tenaga menyelamatkan lebah di seluruh negara.