Atas alasan tersebut, pihak sekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Pasoh 2, Negeri Sembilan mengambil inisiatif mengadakan pilihan raya dalam kalangan pelajar bagi mengundi calon guru kegemaran mereka.

Menariknya dalam proses membuang undi tersebut, guru-guru di sekolah berkenaan telah menubuhkan stesen-stesen undi bagi membolehkan murid-murid tersebut mengundi.

Menjalani proses yang sama seperti pilihan raya sebenar, murid-murid itu juga perlu mencelupkan jari mereka ke dalam dakwat kekal berwarna merah selepas selesai membuang undi.

Menurut Guru Besar sekolah tersebut, Mazda Ujang, proses membuang undi dilaksanakan selama 1 jam 20 minit iaitu bermula jam 9.40 hingga 11 pagi.

“Idea itu dicetuskan oleh Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah untuk memeriahkan sambutan Hari Guru.

“Pendedahan pengalaman mengundi seperti ini boleh mendidik murid-murid sekolah tentang hak dan demokrasi dalam memilih pemimpin,” jelasnya.

Kisah pengundian pelajar sekolah ini mendapat perhatian netizen dan masing-masing melahirkan rasa bangga atas inisiatif guru sekolah berkenaan.