Tepat pukul 9 pagi, ibu kepada tiga orang anak itu sudah bersiap sedia dengan sebuah bakul dan sebatang kayu untuk memulakan kerja memetik daun teh secara tradisional di estet yang terletak di Dunkeld, Sri Lanka itu.

Estet teh di kawasan tanah tinggi itu mempunyai pemandangan indah berlatarbelakangkan kawasan tadahan air Castlereagh yang membiru. Dunkeld berada di kawasan berketinggian antara 1,200 hingga 1,500 meter iaitu 140 kilometer dari Colombo. Estet tersebut berkeluasan 220 hektar yang menghasilkan 350,000 kilogram (kg) teh setahun.

Fathima meletakkan kayu yang dibawanya itu di atas pokok teh dan kedua-dua belah tangannya pantas memetik pucuk teh yang lebih tinggi daripada batang kayu tersebut. Batang kayu itu berfungsi sebagai penanda bahagian pucuk kayu yang perlu dipetiknya.

Pucuk-pucuk teh yang dipetik dimasukkan ke dalam bakul yang diletakkan di belakangnya sebelum dikumpulkan untuk ditimbang di kilang Dunkeld yang terletak di ladang itu. Kerja-kerja tersebut dilakukannya sejak lima tahun lalu.

“Setiap hari saya mampu memetik daun teh yang beratnya antara 18 hingga 25kg. Saya antara pemetik teh yang cekap di ladang ini dan mampu memperoleh gaji sehingga 750 rupee (RM18) sehari.

“Selain itu, saya suka bekerja di ladang ini kerana majikan menyediakan kemudahan tempat tinggal, pelajaran dan kesihatan kepada saya sekeluarga,” kata penduduk asal Sri Lanka itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jenama Dilmah diasaskan oleh Merrill J. Fernando yang kini berusia 88 tahun. Dilahirkan di Colombo pada 6 Mei 1930 dalam keluarga kelas pertengahan, kecintaan Fernando terhadap teh amat tinggi.

Penglibatan Fernando dalam dunia teh bermula pada tahun 1950-an apabila beliau melihat penumpuan terhadap pemilikan dalam industri teh di tangan beberapa syarikat korporat gergasi khususnya dari luar negara.

Tradisional

Merrill mengambil masa hampir empat dekad dalam perjuangannya dan pada tahun 1988, beliau berjaya melancarkan jenama tehnya sendiri iaitu Dilmah.

Kecintaan Merrill terhadap teh dan keunikannya dapat dilihat di peringkat ladang lagi apabila proses memetik daun teh masih dilakukan menggunakan tangan.

Walaupun proses tersebut memakan masa, namun prinsipnya yang mengutamakan kualiti daripada kuantiti daun teh, sekali gus jenama Dilmah mampu menawan cita rasa penggemar teh dunia.

Proses menghasilkan teh berkualiti premium itu dapat disaksikan di salah sebuah kilang jenama iaitu kilang Dunkerd. Kilang setinggi tiga tingkat itu mampu memproses daun teh sebelum dibungkus mengikut kehendak pelanggan.

Pakar Teh Dilmah, Bernard Holsing memberitahu, kilang Dunkerd masih mengekalkan penghasilan teh secara tradisional walaupun mesin-mesin canggih telah berada di pasaran.

“Sri Lanka merupakan pusat penghasilan teh secara tradisional yang berskala kecil, penghasilan berasaskan buruh untuk pelbagai varieti daun atau gred. Amalan tersebut bagi memastikan pelbagai rasa dan aroma teh yang unik dapat dihasilkan. Pada peringkat global, majoriti pengusaha menggunakan kaedah CTC (potong, cerai, kering) yang direka bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran teh.

“ Proses CTC menghasilkan lebih banyak teh bersaiz kecil yang sesuai untuk dipek dalam bentuk uncang tetapi kurang dari segi rasa berbeza dengan teh Ceylon tradisional.

“Pemprosesan teh di kilang dilakukan secara tradisional merangkumi enam peringkat iaitu memetik menggunakan tangan, pelayuan, penggelek, fermentasi, pengeringan dan penggredan,” katanya.

Pada peringkat memetik, para pekerja hanya memetik dua helai daun di bahagian pucuk pokok teh sekali dalam tempoh lima hingga tujuh hari. Peringkat kedua iaitu pelayuan merupakan langkah yang paling penting apabila daun dikeringkan selama lapan hingga 12 jam bagi mengurangkan kelembapan.

Selepas itu, ia digelek menggunakan mesin penggelek untuk memecahkan tisu pada daun teh. Fermentasi pula, daun-daun nipis itu berubah warna daripada merah tembaga kepada coklat, manakala peringkat pengeringan teh berubah menjadi hitam. Peringkat akhir, teh dibahagikan kepada beberapa partikel saiz dan bentuk mengikut kehendak pelanggan.

Holsing berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 12,000 sampel teh setiap minggu bagi dibida pembeli yang dilakukan di Pusat Lelongan Teh Colombo yang merupakan pusat lelongan terbesar di dunia. Lelongan dilakukan setiap hari Selasa dan Rabu kecuali pada tahun baharu dan Krismas. Kira-kira 6.5 juta kilogram teh dijual setiap minggu di pusat berkenaan.

Ujian rasa

Menurutnya lagi, bagi menghasilkan teh premium, pihaknya turut menguji rasa setiap teh yang dihasilkan pihaknya. Pengujian rasa tersebut amat penting bagi mengenal ciri-ciri dan keunikan teh yang dihasilkan.

Justeru, jenama teh Dilmah berjaya menembusi pasaran lebih 100 buah negara dengan nilai perolehan tahunan sebanyak AS$60 juta (RM250 juta).

Antaranya, Arab Saudi, Iran, Britain, Turki, Lithuania, Poland, Rusia, Kanada, Chile, Afrika Selatan, Australia, Jepun, Malaysia dan New Zealand.

Di Sri Lanka, terdapat hampir 30 ladang teh Dilmah seperti di Kahawatte dalam daerah Ratnapura, lembah Dimbula di daerah Talawakelle/Lindula dan wilayah Nawalapitiya/Kotmale dalam daerah Kandy.

Sementara itu, Pengurus Ladang Teh Dunkeld, Udayal Jeyaraj memberitahu, pihaknya akan memastikan 60 pekerja di ladang itu memetik daun mengikuti spesifikasi yang ditetapkan bagi mendapatkan teh yang berkualiti tinggi.

“Memetik daun teh secara tradisional dengan menggunakan sebatang kayu antara kaedah yang kami guna untuk mendapatkan daun-daun yang berkualiti tinggi. Selain itu, ia memudahkan para pekerja untuk memetik daun teh sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.

“Di ladang ini, mereka bekerja bermula 9 pagi hingga 4 petang dan hanya berhenti rehat pada pukul 1 tengah hari. Sebelum rehat, mereka akan datang ke kilang untuk menimbang daun teh yang dikutip dan jumlah timbangan direkodkan dalam sebuah buku.

“Daun-daun itu kemudiannya dikumpulkan dan diangkat masuk ke kilang untuk proses yang seterusnya termasuk ditentukan grednya. Selepas itu, barulah ia dibungkus mengikut keperluan pelanggan,” katanya.