Kekurangan taburan hujan selama berbulan-bulan itu telah mengancam kehidupan penduduk Afghanistan yang sudah lama menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan.

Seperti beratus-ratus keluarga petani di kampung Charkint di wilayah utara Balkh, Ghulam, 45, an 11 orang anggota keluarganya berpindah ke ibu kota Mazar-i-Sharif untuk mencari pekerjaan.

“Sepanjang hidup, saya tidak pernah mengalami kemarau seteruk ini.

“Kami tidak pernah meninggalkan kampung apatah lagi menjual haiwan kerana kemarau,” kata Ghulam yang telah menjadi petani selama lebih tiga dekad.

Keadaan cuaca kering dan suhu tinggi yang berterusan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petani untuk menuai hasil tanaman pada musim bunga dan panas tahun ini.

Hasil gandum di Afghanistan pada tahun ini dijangka terus menurun sejak tahun 2012 dan ia menjadi amaran kepada masalah kebuluran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bekalan gandung akan berkurangan sebanyak 2.5 tan pada tahun ini dan dua juta orang diancam krisis kekurangan makanan.

Justeru, bantuan kemanusiaan selama enam bulan akan datang sangat diperlukan.

Beribu-ribu kambing dan biri-biri mati selepas sungai serta telaga menjadi kering-kontang.

“Sekiranya pihak berkuasa dan komuniti antarabangsa tidak menangani cabaran ini, Afghanistan akan mengalami malapetaka semasa menghadapi musim sejuk pada masa akan datang,” ujar Koordinator PBB di Afghanistan, Toby Lanzer.

Namun, beribu-ribu petani seperti Ghulam telah berputus asa dan meninggalkan tanah mereka bersama keluarga untuk berpindah ke bandar bagi meneruskan kehidupan.

PBB menganggarkan lebih 70,000 orang telah berpindah ke kawasan bandar akibat kemarau itu.

“Tiga tahun lalu, hujan dan salji turun dengan baik di kampung kami.

“Tanaman juga tumbuh subur dan saya memperoleh AS$4,300 (RM17, 681) hasil jualan itu tetapi kini, saya menjual kambing dan biri-biri dengan mendapat bayaran AS$1,400 (RM5, 756),” kata Ghulam.

Menurut Pengarah Wilayah Tanaman dan Pengurusan Penanaman, Zabiullah Zoobin, kekurangan usaha untuk penghasilan hujan di Balkh telah menyebabkan sebahagian besar tanah pertanian dan padang ragut menjadi kering.

“Lebih 450,000 petani dan pengembala nomad di wilayah Balkh telah menyembelih ternakan mereka seperti kambing serta biri-biri atau menjualnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Sementara itu, seorang pengembala dari daerah Dawlat Abad yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Sorab memberitahu, semua penduduk kampung tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan dengan ternakan tersebut kerana itu sahaja yang mereka ada.

Serangan militan

Kemarau itu telah menambah kesengsaraan kepada rakyat Afghanistan manakala pasukan keselamatan pula sedang berjuang untuk mematahkan serangan militan terutamanya Taliban yang mengganggu ketenteraman awam.

Menurut PBB, pertanian adalah tulang belakang ekonomi Afghanistan dan hampir 15 juta orang bekerja dalam sektor itu termasuk di 20 wilayah yang terkesan dengan kemarau tersebut.

Kadar pengangguran yang tinggi itu telah memburukkan keadaan apatah lagi sukar untuk mencari pekerjaan akibat konflik serangan militan.

Ujar jurucakap Kementerian Pertanian dan Ternakan, Akbar Rustami, harga kambing dan biri-biri menjunam apabila petani terburu-buru menjual haiwan mereka ekoran daripada masalah kemarau itu.

Pihak berkuasa Afghanistan setakat ini telah menyediakan bantuan terhad kepada petani manakala agensi bantuan antarabangsa sedang berjuang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

PBB telah menghantar bantuan makanan kepada lebih 460,000 orang di beberapa wilayah itu sejak beberapa bulan lalu.

Perjanjian bersama agensi antarabangsa dan kerajaan Afghanistan untuk melepaskan rizab 60,000 tan gandum dijangka dapat membantu negara itu.

Ghulam memberikan amaran, jika bantuan lambat tiba, mungkin petani akan beralih kepada penanaman yang tahan kemarau seperti pokok popi yang mampu menghasilkan candu.

Afghanistan merupakan pengeluar candu terbesar dunia walaupun berbilion-bilion dolar telah dibelanjakan untuk menangani pengeluaran dadah haram sejak pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 2001.

“Kerajaan tidak mampu menanggung pihak tentera untuk berjuang apatah lagi membantu rakyat yang menghadapi krisis kemarau.

“Keadaan ini akhirnya memaksa petani-petani itu beralih kepada tanaman haram,” tegas Ghulam. – AFP