Ada tugasan yang perlu diselesaikan bersama beberapa orang pelajar di bawah seliaannya.

Menariknya, setiap persoalan yang diajukan dijawab secara bersahaja wanita kecil molek itu. Riak wajahnya tenang dan bibirnya juga tidak pernah lekang mengukir senyuman.

Terma-terma sains yang rumit disimpulkan dalam bahasa mudah untuk difahami tanpa perlu ditanya berkali-kali.

Selayaknya, Dr. Siti Khayriyyah Mohd. Hanafiah, 33, dinobatkan sebagai juara dunia menewaskan 11 finalis dari seluruh dunia pada pertandingan FameLab International 2018 yang berlangsung di Cheltenham, Britain baru-baru ini.

Antara negara yang terlibat ialah Romania, Hungary, Switzerland, Bangladesh, Portugal, Jerman, Qatar, Cyprus dan Britain.

Pertandingan berprestij tersebut menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep sains secara kreatif kepada khalayak ramai dalam tempoh tiga minit.

Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM itu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi pembentangan penyelidikannya mengenai penggunaan antibodi antigen untuk diagnosis penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering yang bertajuk To Find a Hidden Killer.

“Sebenarnya, minat saya terhadap bidang sains bermula sejak di bangku sekolah lagi disebabkan hobi yang gemar menonton pelbagai rancangan televisyen menyeronokkan.

“Saya begitu teruja untuk mengetahui lebih mendalam fenomena alam dan tidak akan melepaskan peluang mempelajari pelbagai perkara baharu mengenai sains,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, Pulau Pinang baru-baru ini.

Cerita anak kelahiran Bangi, Selangor itu, antara rancangan yang menjadi kegemarannya ialah The Magic School Bas dan Di Mana Joe Jambul? yang banyak menambah pengetahuan am mengenai bidang sains.

Kedua-dua rancangan kartun tersebut bersiaran sekitar 1990-an berkonsepkan permainan yang menarik sehingga membuka minda Siti Khayriyyah untuk meneroka ilmu sains dengan lebih mendalam lagi.

“Setiap episod yang ditayangkan memberi ilmu yang berbeza sehingga saya dengan sendirinya akan mencari maklumat tambahan menerusi pembacaan untuk merungkai persoalan yang bermain dibenak fikiran,” ceritanya.

Identiti bapa

Sejak itu, Siti Khayriyyah amat meminati subjek sains dan sering memperoleh keputusan yang cemerlang.

Lebih membanggakan, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Kelantan itu berjaya meraih 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sekali gus melayakkannya mendapat biasiswa tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pengajian di luar negara.

Namun, anak sulung daripada lima beradik itu memilih untuk menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan sains bio perubatan.

Di sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Ketika menuntut pada tahun dua di universiti, bapanya Mohd. Hanafiah Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung.

Peristiwa itu memberi kesan dalam hidup Siti Khayriyyah kerana sekian lama bapanya menjadi watak penting yang menjadi pendorong kepada kejayaannya selain ibunya.

Beliau mula mendapatkan maklumat mengenai identiti bapanya untuk melihat sendiri sisi lain idolanya itu yang boleh dicontohi.

Cabar diri

“Saya menghantar e-mel kepada seorang rakan baiknya di Sweden untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai peribadi ayah.

“Ayah tidak pernah lokek ilmu, sentiasa positif dan banyak menyumbang dalam bidang penyelidikan sains komputer. Arwah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seseorang yang dikagumi,” ujarnya.

Antara pesanan bapanya yang menjadi azimat Siti Khayriyyah sehingga kini ialah tiada kesukaran yang tidak dapat diselesaikan melainkan ia sedikit kompleks.

Cerita Siti Khayriyyah lagi, beliau yang bercita-cita mahu bergelar pendidik mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat sebelum menamatkan doktor falsafah di Universiti Monash, Australia dalam bidang kesihatan awam.

Beliau menerima tajaan pengajian daripada USM di bawah Skim Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) kemudiannya berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kajihayat di universiti awam terkemuka itu.

Mengimbas penglibatannya dalam pertandingan FameLab International 2018, Siti Khayriyyah mengakui mahu mencabar diri mencuba perkara baharu.

“Setiap satu peringkat itu mempunyai cabarannya yang tersendiri tetapi Alhamdulillah berkat usaha dan sokongan pelbagai pihak saya berjaya melepasinya,” ujarnya yang gemar membaca buku.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah terpaksa menepis rasa gementar dan takut apabila berada di atas pentas.

Bagaimanapun, keyakinannya membara apabila melihat penonton teruja mendengar pembentangannya dan berusaha menjawab soalan yang dikemukakan sebaik mungkin.

Cerita Siti Khayriyyah, sebelum pertandingan berlangsung beliau berlatih beberapa kali untuk mendapatkan maklum balas bagi proses penambahbaikan.

Pada masa sama, beliau juga menjalankan penyelidikan menerusi internet dan mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak sebelum memilih konsep yang mahu diketengahkan.

Malah, Siti Khayriyyah turut mengambil pendekatan menggunakan peralatan tertentu seperti bola untuk memudahkan penonton memahami isu yang dikupas.

“Saya juga memulakan pembentangan dengan kata-kata hikmah untuk menarik perhatian penonton terhadap inti pati pembentangan,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, beliau memanfaatkan ilmu daripada kelas perkongsian teknik pembentangan seorang komunikator sains dari Britain yang dijemput khas pihak penganjur untuk menambah baik persembahannya.

Pengalaman menjadi sepuluh pendebat wanita terbaik pada pertandingan debat ketika menuntut di universiti turut menjadi resipi penting kejayaannya.

Berbicara mengenai perancangannya untuk beberapa tahun akan datang, Siti Khayriyyah mahu terus menyumbang ilmu untuk pembangunan bidang sains.

Platform sebagai penceramah dan tetamu jemputan pada forum-forum yang dianjurkan oleh pelbagai pihak membuka peluang kepada Siti Khayriyyah untuk berkongsi pengalaman sekali gus menjadi inspirasi kepada insan lain.

“Dalam dunia ini tiada yang mustahil untuk dilakukan melainkan ia sedikit kompleks. Sekiranya generasi muda mempunyai minat yang mendalam dan berusaha pasti mereka akan berjaya,” ujarnya.

Siti Khayriyyah berjaya membuktikan bahawa saintis Malaysia mampu menyampaikan teori sains pada pertandingan yang menguji kemahiran komunikasinya.