Kejadian yang berlaku di Kudus, Jawa Tengah, Indonesia itu terjadi selepas wanita tersebut ditahan seorang anggota polis trafik kerana didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Tindakan polis trafik itu yang hendak mengeluarkan saman terhadap wanita tersebut membuatkan dia menjadi bertambah berang.

Tidak cukup dengan memarahi polis itu, wanita tersebut turut bertindak menggigit tangan kanan anggota polis itu sehingga luka.

Anggota polis terbabit bagaimanapun tidak melawan tindakan wanita itu dan dilihat hanya membiarkan tangannya digigit sambil menahan kesakitan.

Wanita berkenaan kemudian mengeluarkan wang berjumlah 1 juta Rupiah (RM274) dari dalam beg tangannya untuk membayar harga topi keledar.

“Berapa harga topi keledar. Satu juta? Nah ambil satu juta,” kata wanita itu sambil memukul-mukul wang berkenaan pada dada anggota polis itu.

Rata-rata pengguna laman sosial menyelar tindakan wanita tersebut kerana mengganggu tugas anggota polis trafik selain turut mencederakan penjawat awam tersebut.