Berbekalkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, berkeyakinan tinggi dan memiliki personaliti menarik, masa depan gadis tersebut yang cerah dilihat sedang tersusun buatnya.

Sehinggalah pada hari kelahirannya yang ke-17 kira-kira tujuh tahun lalu, Beth mula terlelap di kerusi rehat dan bangun bukan pada keesokan paginya, tetapi enam bulan kemudian.

Gadis tersebut tidur dengan lena sehingga hampir 22 jam setiap hari dan hanya bangun untuk makan atau pergi ke bilik air dalam keadaan separa sedar.

Ibunya, Janine Goodier, 50, memberitahu, 75 peratus hidup anaknya itu kini hanya dipenuhi dengan tidur semata-mata.

“Pada mulanya Beth mengatakan dirinya berasa sangat penat dan saya menganggap ia kelesuan normal yang dilalui oleh kebanyakan remaja seusianya.

“Bagaimanapun, pada petang itu Beth tertidur di kerusi rehat dan tidak bangun walaupun beberapa kali dikejutkan.

“Apabila cuba dikejutkan, saya terperanjat melihat reaksinya yang membebel-bebel dan meraban tidak ubah seperti kanak-kanak berusia lima tahun,” jelasnya yang kemudian risau melihat keadaan anaknya itu.

Rentetan itu, Beth terlepas beberapa kali sambutan hari lahirnya sendiri, Hari Natal termasuk graduasi kerana disingkirkan daripada universiti akibat sindrom itu.

Apa yang boleh dilakukan Janine hanyalah menunggu anaknya itu untuk bangkit daripada mimpi lenanya.

Beth yang kini berusia 24 tahun merupakan seorang daripada 100 warga Britain yang didiagnos dengan sindrom Kleine-Levin (LKS) atau lebih popular dipanggil sindrom Sleeping Beauty.

Walaupun nama sindrom itu tidak ubah seperti cerita fantasi kanak-kanak yang indah, hakikatnya ia bagaikan mimpi ngeri bagi pesakit dalam dunia nyata.

Ia mampu menjejaskan kehidupan individu sehingga mencetuskan kekeliruan, kemurungan, kebimbangan melampau termasuk kecelaruan kognitif kepada pesakit.

Istilah sindrom tersebut diambil sempena nama pakar perubatan, Willi Kleine and Max Levin yang menemui kes penyakit berkenaan pada awal abad ke-20.

LKS kemudian disenaraikan dalam Klasifikasi Gangguan Tidur Antarabangsa pada tahun 1990.

 

Keletihan luar biasa

Pakar psikiatri, Dr. Santosh Ramdurg menjelaskan, sindrom LKS merupakan gangguan tidur ganjil yang berlaku dalam kalangan remaja sehingga menyebabkan kecelaruan kognitif, tingkah laku, peningkatan selera makan dan hiperseksualiti.

“Durasi sindrom tersebut berbeza mengikut individu dan kebiasaannya ia berlaku dari seminggu hingga mencecah dua bulan dalam satu episod.

“Episod tersebut dikatakan berulang dari satu masa ke satu masa lain dan berlarutan sehingga lebih sedekad,” katanya dalam artikel perubatan Annals of Indian Academy of Neurology.

Selain Beth, Hermione Cox-Denning, 18, dari Aberystwyth, Britain turut menghidap sindrom pelik berkenaan apabila dia tidur berterusan selama seminggu tanpa terjaga.

Kata gadis yang baru menamatkan pengajian peringkat A-Level itu, dia mula mengalami keletihan luar biasa secara tiba-tiba tiga tahun lalu sehingga membuatkannya menghabiskan sepanjang hari untuk tidur.

Doktor pada awalnya beranggapan kepenatan ekstrem yang dialami Hermione berpunca daripada virus musim sejuk iaitu demam selesema.

Bagaimanapun, selepas menjalani pelbagai diagnosis, gadis tersebut disahkan menghidap sindrom Sleeping Beauty pada November lalu.

“Saya mengambil masa yang lama untuk mencari punca ia berlaku.

“Saya tahu keadaan itu bukan disebabkan tekanan atau corak pemakanan.

 

Kemurungan

“Namun, saya mula menyedari apabila minum minuman beralkohol, saya akan berdepan episod tidur berpanjangan,” katanya yang langsung tidak terjaga untuk makan, minum atau membuang air kecil sepanjang tempoh lenanya.

Memetik laporan Prof. Isabelle Arnulf, Thomas J. Rico, Prof. Emmanuel Mignot yang bertajuk Diagnosis, disease course, and management of patients with Kleine-Levin syndrome dalam The Lancet Neurology, terdapat beberapa persamaan simptom dalam setiap kes LKS yang dilaporkan.

Katanya, penghidap sindrom LKS yang mengalami penyakit itu buat kali pertama akan menunjukkan simptom seakan-akan demam dan selesema.

“Sekurang-kurangnya 75 peratus kes LKS menunjukkan simptom yang diakibatkan oleh jangkitan virus pada saluran pernafasan.

“Selepas beberapa hari simptom tersebut ditunjukkan, pesakit secara tiba-tiba akan mengalami keletihan yang teruk.

“Rentetan itu, LKS akan mula dilihat seawal tiga hingga lima hari bagi golongan remaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, punca utama penyakit tersebut masih lagi menjadi tanda tanya.

Kata Pakar Neurologi Hospital Kanak-kanak Boston, Dr. David Urion, sindrom Sleeping Beauty boleh dikenal pasti menerusi beberapa siri diagnosis bersama pesakit.

Kebiasaannya, diagnosis tersebut dapat dilakukan selepas beberapa episod hibernasi kerana ia sukar untuk dikesan oleh masyarakat umum.

Katanya, disebabkan sindrom tersebut merupakan penyakit yang jarang berlaku, hanya dua kes sahaja yang berjaya ditemui sepanjang kariernya dalam bidang perubatan.

“Sindrom ganjil ini menghantui pesakit dengan menyebabkan mereka keletihan disebabkan tidur yang berpanjangan.

“Malangnya, tiada sebarang rawatan khusus bagi mengatasi masalah sindrom ini.

“Bagaimanapun, kebiasaannya sindrom tersebut semakin berkurangan secara sendirinya apabila usia pesakit semakin meningkat,” katanya ketika diwawancara oleh WSVN News Channel.

Sementara itu, Perunding Neurologi Guy’s and St. Thomas’ NHS Trust, Dr Guy Leschziner berkata, penghidap penyakit ganjil tersebut sedikit sebanyak akan menunjukkan perubahan personaliti akibat tidur yang berpanjangan.

“Penghidap sindrom LKS akan merasakan diri mereka terasing daripada realiti kehidupan dan sentiasa berada seperti di dalam mimpi.

“Ia memberikan impak yang sangat besar terhadap kehidupan mereka lebih-lebih lagi apabila mereka sedar betapa banyaknya perkara yang mereka tercicir sehingga akhirnya mengundang depresi dan kebimbangan melampau.

“Walaupun penyakit itu tidak membawa maut, penghidap sindrom terseksa dengan kehidupan mereka yang jauh ketinggalan selain tercicir momen-momen penting dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Sindrom Klein-Levin (LKS) atau sindrom Sleeping Beauty umpama mimpi ngeri bagi penghidapnya kerana ia mencetuskan kekeliruan, kemurungan, kebimbangan melampau, kecelaruan kognitif sehingga menjejaskan urusan kehidupan seharian.