Walhal, ibu bapa juga bergelar manusia biasa. Masyarakat sering terlupa bahawa pasangan bergelar ibu dan bapa juga sering alpa dan tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Bagaimana pula dengan kejadian seorang isteri menyembelih anak bongsunya yang berusia dua tahun sehingga menemui ajal di Felda Puteri Malu, Jengka 13, Pahang baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, mangsa Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal tidur di ruang tamu sebelum diangkat ibunya untuk dibawa masuk ke dalam bilik.

Bapanya, Muhammad Rizal Jusoh, 42, yang ketika itu sedang menonton perlawanan Piala Dunia terdengar anaknya menangis lalu masuk ke dalam bilik sebelum melihat isterinya mengelar anak bongsu mereka.

Menurut Muhammad Rizal, ketika kejadian isterinya berada dalam keadaan bingung selain hanya mendiamkan diri. Keadaan itu berlaku seperti isterinya berada di bawah minda sedar (halusinasi).

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, dari sudut perubatan mereka yang mengalami halusinasi atau delusi tergolong dalam gejala psikosis.

“Halusinasi berlaku apabila seseorang itu mendengar, melihat, menghidu, merasa atau terasa disentuh daripada sumber yang tidak wujud manakala delusi pula ialah percaya pada benda yang tidak berlaku.

“Contoh delusi ialah seseorang itu percaya ada orang lain yang berniat jahat terhadapnya walhal perkara itu tidak berlaku pun,” terangnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Rujuk pakar

Tambahnya, gejala psikosis berlaku disebabkan terdapat perubahan kimia yang berlaku di dalam otak. Ia boleh berlaku secara semula jadi kerana penyakit atau terdapat pengambilan ubat tertentu ke dalam badan.

Mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku, Hazli memberitahu, perkara itu dapat dielakkan, dikurangkan atau dihilangkan dengan melakukan pemeriksaan awal.

Jelasnya, dia faham apabila perkara seperti itu terjadi, sesetengah masyarakat akan merujuk kepada kaedah ritual terlebih dulu berbanding membawa pesakit berjumpa dengan doktor bertauliah.

“Namun dalam masa yang sama, saya sarankan pergilah juga membuat pemeriksaan perubatan di hospital. Lebih awal seseorang itu dibawa berjumpa pakar perubatan, lebih tinggi potensi untuk pulih,” katanya.

Kejadian menyayat hati itu bukan pertama kali berlaku di negara ini kerana terdapat banyak lagi peristiwa berdarah sehingga menyebabkan kematian direkodkan sejak beberapa tahun lalu.

Contohnya, dalam kejadian pada 4 Februari 2017 di Kota Bharu, Kelantan apabila seorang ibu membunuh anaknya yang berusia dua bulan dengan sebilah pisau pemotong sayur. Wanita itu disyaki mengalami gangguan emosi ketika dalam pantang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz berkata, antara penyebab yang boleh membuatkan seseorang itu bertindak di luar kawalan adalah disebabkan keadaan emosi yang tidak sihat sehingga berlaku khayalan.

“Ia juga melibatkan gangguan syaitan berdasarkan hadis yang syaitan mampu bergerak dalam pembuluh darah.

“Sabda Baginda SAW, sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim),” terangnya

Reda

Tambah Abdullah Bukhari, langkah awal yang perlu dilakukan oleh orang yang diuji adalah reda dengan ujian tersebut.

“Selepas reda, kita akan mampu melangkah ke tahap seterusnya iaitu menguruskan sakit dengan berubat dan sebagainya. Selepas itu apa pula?

“Berdoa. Doa sangat penting dalam menghadapi ujian sakit kerana Allah yang memilih kita dengan memberi ujian sakit, pasti mampu memberikan penyembuhan kerana hanya Dia yang Maha Penyembuh,” terangnya.

Abdullah Bukhari turut menegaskan, jangan jadikan ujian sakit mental orang lain sebagai bahan ejek dan tawa kerana kita tidak tahu siapa kelak akan diuji dengan sakit sedemikian.

“Mungkin diri kita, mungkin anak kita, mungkin adik beradik kita dan mungkin pasangan kita. Jangan ejek sakit atau bencana orang lain, sebaliknya doakan penyembuhan untuk mereka dan keselamatan kita sepanjang masa,” ujarnya.