Jika diperhatikan di hospital kerajaan mahupun swasta terdapat unit rawatan psikiatri yang menyediakan khidmat membantu pesakit mental. Kepada mereka yang berdepan dengan masalah ini ia merupakan sesuatu yang sukar untuk mereka tangani tanpa sokongan daripada keluarga dan masyarakat.

Malah, ada segelintir masyarakat di negara ini yang menyamakan pesakit mental ini sebagai seorang yang gila dan menjauhkan diri daripada mereka.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, masalah penyakit mental melibatkan gangguan pada fungsi otak yang menyebabkan perubahan pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang.

Jelasnya, masalah mental ini terbahagi kepada beberapa kategori seperti psikosis, neurosis dan kecelaruan personaliti.

“Bagi pesakit dalam kategori psikosis ini jika pengambilan ubat tidak diambil secara teratur mereka mempunyai kecenderungan untuk berkelakuan agresif sama ada mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

“Emosi mereka tidak akan stabil dan pesakit ini akan impulsif iaitu bertindak secara melulu,” jelasnya.

Adil

Bagi kategori psikosis, ia terbahagi kepada dua iaitu skizofrenia dan kecelaruan bipolar. Skizofrenia ialah penyakit mental yang mencetuskan halusinasi dan delusi. Halusinasi ialah situasi pesakit mendakwa dia mendengar bisikan-bisikan ghaib sehingga dia boleh bertindak agresif.

“Delusi pula pesakit akan percaya sesuatu yang tidak rasional sebagai rasional,”katanya.

Sehubungan itu, keluarga yang mempunyai pesakit seperti ini mereka perlu pastikan dia mengambil ubat secara berkala.

Jika pesakit jenis ini sukar untuk mengambil ubat secara teratur mereka perlu dibawa ke hospital sebulan sekali untuk mendapatkan suntikan.

Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi menjelaskan, bagi mereka yang berhadapan dengan masalah ini selain mengambil ubat mereka juga perlu mendapatkan terapi daripada pakar.

“Selain terapi dari pakar, sokongan sosial juga amat diperlukan oleh mereka yang berhadapan dengan masalah mental.

“Masyarakat perlu melayan mereka secara adil. Saya melihat masyarakat kita lebih gemar melabel pesakit mental dan kadangkala ia boleh menjadi faktor pencetus kepada mereka bertindak agresif serta impulsif,” tegasnya.

Kerajaan perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini dengan memperkukuhkan sokongan sosial dalam membantu pesakit mental.

Sejak kebelakangan ini beberapa insiden tragis dilaporkan oleh media seperti kes amuk, bunuh dan gangguan keselamatan yang membabitkan orang bermasalah mental.

Bom jangka

Sesetengah pesakit mental boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa sehingga bertindak agresif.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Khalidah Mohd. Darus mati disyaki dibunuh anaknya sendiri yang dikatakan mempunyai masalah mental sejak kecil.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah proaktif perlu dilakukan segera bagi menangani kes-kes jenayah yang melibatkan mereka yang mengalami masalah mental.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan dianggarkan seramai 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara menghidap pelbagai masalah mental.

“Ia merupakan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun 2006 dan apa yang membimbangkan ia turut melibatkan pelajar.

“Semua pihak perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengetahui kaedah untuk mengenal pasti mangsa,” katanya.