Di Malaysia, memandangkan tarikh tersebut jatuh pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, sambutan tersebut pada peringkat kebangsaan telah dianjak pada 14 Julai 2018 dan bakal diadakan di Terengganu. Mengetengahkan tema Hadirlah Untuk Mereka, Derma Darah, Kongsi Kehidupan (Be There For Somebody, Donate Blood, Share Life), sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada peringkat kebangsaan diharap menjadi satu aktiviti solidariti kepada masyarakat membantu antara satu sama lain.

Namun, sejauh manakah kefahaman dan kesedaran rakyat Malaysia dalam kepentingan mereka menjadi penderma darah di negara ini? Bagi mendapatkan kupasan terperinci mengenainya, ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI dengan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin di pejabatnya, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Dr. terangkan serba ringkas tentang fungsi dan peranan penubuhan Pusat Darah Negara (PDN)?

DR. NORYATI: PDN ditubuhkan pada tahun 2001 dan merupakan sebuah institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertanggungjawab untuk mengembangkan perkhidmatan perubatan transfusi. Perubatan transfusi ini merangkumi tiga komponen iaitu pendermaan darah, pemprosesan darah untuk dijadikan bahan terapi bagi kegunaan pesakit dan penggunaan darah di hospital-hospital. Selain itu, PDN turut bekerjasama dengan tabung-tabung darah melalui hospital-hospital KKM. Terdapat 145 buah hospital dan institusi di bawah KKM dengan 137 buah hospital mempunyai keperluan makmal untuk membuat pemeriksaan keserasian darah sebelum diberi kepada pesakit. Sebanyak 128 buah hospital di seluruh Malaysia membuat kutipan darah bagi memastikan bekalan darah berapa pada tahap optimum. Contohnya seperti di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah mempunyai tabung darah yang melakukan kutipan darah penderma, pemprosesan dan saringan darah, di samping makmal untuk kegunaan pesakit. PDN juga bertanggungjawab membekalkan produk darah dan bekalan darah bagi hampir keseluruhan hospital di Lembah Klang. Jika terdapat kekurangan darah di hospital-hospital tertentu, tabung darah akan berbincang untuk berkongsi darah dan disalurkan ke hospital tersebut bagi memastikan pesakit mendapat bekalan darah walau di mana sahaja mereka berada.

Boleh Dr. kongsikan keadaan bekalan darah di PDN setakat ini?

Buat masa ini jumlah stok bekalan darah berada pada keadaan yang baik. Cuma kita memerlukan darah daripada kumpulan A yang agak rendah berbanding kumpulan darah lain. Maka, kami berharap agar penderma darah kumpulan A tampil untuk menderma darah mereka. Memandangkan PDN juga membantu tabung darah lain, terdapat beberapa tabung darah di hospital masih belum mencapai stok yang secukupnya, tambahan lagi orang ramai masih dalam suasana menyambut hari raya, manakala bekalan darah pula diperlukan pesakit secara berterusan. Keperluan pesakit terhadap darah datang dalam pelbagai keadaan, termasuk keadaan kecemasan seperti ibu mengandung yang mengalami pendarahan serius sewaktu bersalin, bayi yang lahir tidak cukup bulan, mangsa kemalangan, pesakit yang menjalani pembedahan dan pesakit kanser.

Berapakah anggaran keperluan bekalan darah yang diperlukan pesakit setiap hari?

Berdasarkan statistik, sehari kita memerlukan lebih kurang 2,000 beg darah untuk keperluan pesakit di seluruh Malaysia. Di kawasan Lembah Klang sahaja, kita mensasarkan sebanyak 500 penderma mendermakan darah setiap hari. Oleh sebab itu, kita memerlukan penderma tampil untuk menderma darah secara berterusan daripada setiap kumpulan darah seperti O, A, B dan AB. PDN atau tabung darah di seluruh negara selalu berdepan masalah stok darah apabila tibanya musim perayaan dan cuti sekolah hujung tahun apabila masyarakat mula sibuk bersama keluarga dan kurangnya penderma yang hadir untuk menderma darah.

Bagaimanakah prosedur seseorang penderma itu untuk menderma darah?

Penderma disaran untuk pergi ke laman web PDN untuk mengetahui kriteria-kriteria seorang penderma kerana tidak semua individu layak untuk menderma darah. Apabila merasakan diri mereka layak sebagai penderma darah, mereka boleh pergi ke pusat menderma darah seperti di PDN untuk mendaftar secara manual dengan membawa bersama kad pengenalan. Seseorang penderma darah itu perlulah berumur lebih 18 tahun hingga 60 tahun bagi penderma pertama, manakala mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, perlulah mendapat persetujuan daripada ibu bapa. Penderma perlu melalui beberapa proses seperti membuat pemeriksaan berat badan kerana seseorang penderma darah itu perlu memiliki berat melebihi 45 kilogram (kg). Antara proses yang dilakukan ialah pemeriksaan kumpulan darah dan jumlah kandungan darah dalam tubuh penderma (hemoglobin) bagi memastikan ia mencukupi. Prinsip yang PDN amalkan mudah sahaja iaitu, adakah selamat untuk pesakit menerima darah penderma dan adakah selamat penderma untuk menderma darah? Penderma juga perlu mengisi borang penderma darah dan menjalani sesi soal selidik atau kaunseling prapendermaan untuk mengenal pasti sebarang masalah perubatan dan tahap risiko penderma. Seperti semua sedia maklum, darah boleh menyebarkan virus seperti hepatitis B, hepatitis C, HIV dan sifilis. Soalan-soalan yang ditanya adakalanya agak sensitif, namun kami memberi jaminan bahawa maklumat peribadi penderma adalah rahsia dan dijaga.

Berapakah jumlah darah yang akan diambil pada setiap penderma?

Ia bergantung pada saiz fizikal seseorang penderma. Jika mereka mempunyai berat kurang daripada 50kg dan lebih 45kg, jumlah darah yang diambil adalah sebanyak 350 milimeter (ml), manakala untuk penderma yang mempunyai berat melebihi 50kg dan tidak mempunyai masalah kesihatan, dia boleh mendermakan sebanyak 450ml darah. Kandungan darah dalam badan individu normal bergantung pada saiz tubuh seseorang iaitu antara 4 liter sehingga 7 liter.

Apakah kelebihan kepada seseorang penderma selepas menderma darah mereka?

Malaysia mengamalkan aktiviti menderma darah secara sukarela tanpa bayaran dan tanpa ganjaran untuk membantu pesakit yang memerlukan dan negara ini merupakan salah satu daripada 62 buah negara yang mengamalkan sistem sukarela sepenuhnya. Kelebihan yang dimiliki penderma, mereka akan mendapat kepuasan secara peribadi apabila menolong orang lain. Selain itu, seseorang yang berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah secara tidak langsung akan mengetahui tahap kesihatan mereka. Namun begitu, PDN tidak mahu pendermaan darah digunakan oleh orang ramai untuk mengetahui status HIV dan hepatitis kerana ia boleh dilakukan di hospital atau klinik kesihatan di luar sana yang turut memiliki fasiliti lengkap untuk menjalankan pemeriksaan.

Berapa lama bekalan darah yang diderma boleh disimpan?

Darah mempunyai jangka hayat tertentu. Apabila seseorang menderma darah merah, terdapat tiga komponen yang akan diproses iaitu darah merah, platelet dan plasma yang mempunyai fungsi berbeza. Selepas pendermaan, darah merah boleh bertahan antara 35 hingga 42 hari dan perlu disimpan pada suhu antara 4 hingga 8 darjah Celsius. Berbanding darah merah di dalam badan yang bertahan selama 120 hari. Platelet pula berfungsi untuk pembekuan darah dan bertahan cuma selama lima hari selepas didermakan serta perlu diletakkan di atas platelet agitator pada suhu antara 20 hingga 24 darjah Celsius. Plasma pula boleh disimpan antara dua hingga tiga tahun pada suhu -25 darjah Celsius.

Apakah harapan Dr. kepada masyarakat yang ingin menderma darah?

Saya mengharapkan lebih ramai penderma darah tampil dan menjadikan ia sebagai satu amalan dalam masyarakat. Malaysia mempunyai sistem perubatan transfusi yang mampan, mempunyai bekalan darah yang selamat, berkualiti dan mencukupi sepanjang masa. Mana-mana pesakit yang memerlukan darah boleh menerimanya dalam kuantiti yang diperlukan sepanjang masa tidak kira di mana mereka berada.