Ng Kei-hung merupakan salah seorang penduduk Kampung Tai O yang terletak berhampiran sungai.

Tai O merupakan perkampungan yang jauh dari pusat bandar Hong Kong dan tidak mempunyai bangunan pencakar langit.

Suasana desa itu menjadikannya sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong yang ingin lari dari hutan konkrit bandar.

Ekoran perubahan iklim dan pemanasan global telah meningkatkan paras air laut, membawa ribut yang kuat dan banjir lebih kerap di kawasan itu.

“Kami tidak pernah melihat banjir yang melanda berulang kali di kampung ini.

“Ini merupakan banjir terburuk dan kampung ini baru sahaja dilanda taufan Mangkhut pada September lalu,” ujar Kei-hung, 74.

Sebelum ini, pada tahun 2017 kampung tersebut turut dilanda taufan yang membawa banjir dan menyebabkan kerosakan besar di seluruh Tai O.

Taufan pada September lalu membawa banjir yang besar dan memusnahkan pokok, kediaman dan melumpuhkan rangkaian pengangkutan.

Ahli-ahli alam sekitar berkata, bandar-bandar pesisir pantai seperti Hong kong akan terdedah kepada perubahan iklim.

Terletak kira-kira dua jam dari pusat bandar Hong Kong, Tai O merupakan perkampungan nelayan terakhir di wilayah itu dan menjadi tempat tinggal kepada lebih 2,000 orang.

Perikanan merupakan industri utama di situ tetapi ia dihentikan selepas kerajaan mengharamkan kegiatan tersebut pada tahun 2012.

Begitu pun, penduduk masih bergantung kepada perusahaan garam, pes udang dan produk makanan laut yang lain untuk dijadikan sumber pendapatan.

Kampung yang mendapat julukan sebagai Venice Hong Kong itu menarik lebih ramai pelancong dan telah mendorong kerajaan untuk merangka perancangan bagi meningkatkan akses dengan memperluaskan sambungan kereta kabel dan membina kemudahan kawasan rekreasi.

Sebahagian besar penduduk kampung menentang perancangan kerajaan untuk membangunkan lebih banyak kampung kerana ia akan mengubah cara hidup tradisional mereka yang memberi cita rasa masa lalu Hong Kong.

Para saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim membuka ancaman yang lebih besar kepada Tai O memandangkan cuaca yang ekstrem itu bakal menjadikan kampung tersebut tidak selamat lagi untuk didiami.

Risiko banjir

“Ketika pemanasan global, pencairan ais di laut Artik dan kenaikan paras laut berterusan pada kadar lebih cepat akan membuatkan kawasan pantai yang rendah dilanda banjir.

“Ada kemungkinan bahawa tempat-tempat seperti Tai O tidak lagi boleh didiami pada masa akan datang sekiranya air laut terus meningkat,” ujar seorang profesor dari City Universiti Hong Kong, Johnny Chan.

Pihak berkuasa bandar telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko banjir.

Tahun lepas mereka menyediakan sebuah tangki simpanan air hujan yang besar di bawah trek lumba kuda terkenal di bandar berhampiran pusat bandar Hong Kong dengan menampung 24 buah kolam renang.

Tangki tersebut bertindak seperti span besar yang menyerap air hujan semasa ribut dan melepaskan air itu untuk kegunaan membersihkan tandas, pertanian dan taman-taman permainan.

“Hong Kong berada di landasan sama dengan siklon tropika yang mengalami hujan sangat lebat.

“Kami melakukan banyak pendidikan awam untuk memberitahu orang ramai bahawa jika tidak melakukan sesuatu terhadap perubahan iklim ini kita akan menghadapi banjir yang sangat serius,” tutur jurutera kanan di Jabatan Perkhidmatan Perparitan Hong Kong, Simon Lai.

Tai O mempunyai sistem amaran banjir dan beberapa tahun lalu kerajaan telah membangunkan tembok laut 220 meter di sepanjang sungai untuk mengelakkan banjir.

Namun, ia masih tidak menghalang air daripada mengalir ke kawasan kediaman berdekatan sungai itu lantas penduduk menggesa pihak berkuasa bandar untuk menambah tembok.

Pegawai Bengkel Pembangunan Pendidikan Lestari Tai O, Eddie Tse, berkata, Hong Kong perlu melihat bandar-bandar seperti Amsterdam untuk memperkuatkan pertahanan banjirnya.

“Tai O seperti muzium hidup yang mempamerkan warisan unik seperti kampung nelayan dan rumah-rumah tradisional.

“Kebanyakan orang di sini tidak mahu berpindah kerana takut budaya mereka hilang,” ujarnya.– Reuters