Lengkap berkain samping dan bertanjak, lagak lelaki itu tidak ubah laksana seorang pahlawan pada zaman dahulu ketika melakukan aksi memanah tersebut.

Kemahiran memanah yang dikuasai oleh Ahmad Jailani Abdul Aziz, 43, itu tidak dipendam seorang diri apabila dia turut berkongsi minatnya bersama orang ramai dengan membuka kelas latihan memanah untuk individu berminat.

Berdiri di atas nama Al Badar Archery Academy, Ahmad Jailani atau lebih mesra dipanggil Jai melihat aktiviti memanah sebagai sukan yang mempunyai banyak manfaat dan kelebihan jika mempelajari ilmunya.

Bercerita lebih lanjut, Jai memberitahu, keinginannya untuk belajar kemahiran memanah timbul selepas menghantar anaknya ke sebuah kelas memanah.

Sabar dan tawakal

Melihat aktiviti tersebut sebagai suatu yang menyeronokkan, Jai akhirnya turut mendaftarkan diri untuk belajar memanah selama le­bih kurang empat tahun.

Atas usaha dan ketekunannya, Jai seterusnya menjadi tenaga pe­ngajar memanah dan membuka kelas sendiri sekitar tahun 2010.

Melalui aktiviti memanah, Jai menggambarkan bidang tersebut mempunyai kaitan dengan laluan dalam kehidupan seseorang.

“Masing-masing mempunyai impian dan keinginan yang hendak dicapai dalam hidup dan menetapkan sasaran yang tepat agar keinginan tersebut mampu terlaksana,” tutur Jai yang bercita-cita untuk membuka kelas memanah berkuda suatu hari nanti.

Hal tersebut dapat dikaitkan dengan aktiviti memanah apabila setiap pemanah itu perlu sentiasa fokus dan yakin setiap kali melepaskan anak panah agar menepati sasarannya.

Pada masa sama, pema­nah perlu tawakal dan berserah sama ada anak panah yang dilepaskan itu mengenai sasarannya de­ngan tepat atau mungkin tersasar.

“Secara tidak langsung, aktiviti memanah ini juga mengajar seseorang itu erti sabar, reda dan berserah sebelum berjaya mencapai sesuatu,” kata Jai telah beberapa kali mewakili Malaysia dalam pertandingan memanah di luar negara.

Jai yang ditemui di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur baru-baru ini menambah, seseorang yang ingin menguasai sukan memanah perlu mengambil masa untuk betul-betul mahir dalam bidang tersebut.

Mengupas lebih lanjut, sukan memanah memerlukan latihan panjang yang berterusan kerana ia melibatkan beberapa teknik dan keupayaan untuk ketepatan panahan.

Melihat pada aksi lelaki itu sewaktu memanah, ia kelihatan tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan. Bagaimanapun, dakwaan itu di­sangkal oleh Jai kerana ia tidak semudah seperti yang dilihat.

Menurutnya, aktiviti memanah memerlukan teknik yang betul untuk mengawal busur agar anak panah yang dilepaskan mengenai sasaran dengan tepat.

Fokus tinggi

Melalui kelas yang dianjurkan, pelajar akan diberi tunjuk ajar tentang teknik-teknik memanah se­perti cara berdiri, menarik tali busur, postur badan, kedudukan tangan dan cara melepaskan anak panah.

“Ia boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja termasuk individu tangan kiri (kidal) kerana memanah melibatkan kekuatan tangan dan fokus yang tinggi,” jelas Jai.

Salah seorang pengajar di Al Badar Archery Academy, Zulhadi Alang Mohd, 42, sama seperti Jai, dia juga jatuh cinta dengan aktiviti memanah selepas anaknya yang berusia enam tahun dihantar ke kelas memanah oleh gurunya.

“Saya tertarik dengan aktiviti memanah dan melakukan carian kelas memanah melalui medium Facebook sebelum bertemu dengan Jai,” katanya.

Dalam tempoh hanya setahun setengah, Zulhadi telah menguasai kemahiran memanah sekali gus menjadi antara tenaga pengajar penting di Al Badar Archery Aca­demy.

Zulhadi mendakwa, aktiviti memanah menuntut tahap disiplin yang tinggi kerana ia sebenarnya melibatkan pengendalian senjata.

Pada masa yang sama, aktiviti memanah juga memerlukan seseorang itu sentiasa sabar untuk belajar sehingga berjaya selain ia dapat mengeratkan hubungan ukhuwah sesama pemanah.

“Memanah merupakan sukan Rasulullah dan seseorang itu harus berbangga apabila terlibat dengan aktiviti sukan ini,” jelas Zulhadi.

Al Badar Archery Academy yang menjalankan operasinya di Mutiara Damansara dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam dengan kadar bayaran RM5 untuk 12 batang anak panah atau RM150 untuk empat kali sesi latihan selama sebulan.

Aktiviti memanah tuntut tahap kesabaran dan fokus yang tinggi untuk mencapai sasaran tepat.