Beberapa ramalan yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan penganalisis politik tempatan negara itu seperti Lingkaran Survei Indonesia, Indikator Politik, Saiful Mujani Research and Consulting serta Kompas bagaimanapun menunjukkan Joko atau nama popularnya, Jokowi mengatasi Prabowo dengan margin yang agak besar.

Dalam Pilpres 2019 ini, Presiden Jokowi, 57, akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua dengan gandingan baharu, Ma’ruf Amin, 76, seorang ulama berpengaruh Indonesia sebagai Naib Presiden.

Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera daripada Parti Gerakan Indonesia Raya, Prabowo, 67, yang bergandingan dengan bekas Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno, 49.

Terdahulu, pada Pilpres 2014, Jokowi yang berpasangan dengan Jusuf Kalla menang selepas memperoleh 53.15 peratus undi, mengalahkan pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa yang memperolehi 46.85 peratus undi.

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU), terdapat 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) untuk Pilpres 2019.

“Rebutan adalah lebih 19,500 kerusi di lebih 2,000 daerah, perbandaran dan daerah pemilihan dewan legislatif.

“Di tempat mengundi pula, setiap pengundi akan memilih pegawai di lima peringkat pejabat politik termasuk Presiden dan Naib Presiden, anggota DPR, anggota DPD, anggota Dewan Undangan Provinsi (DPRD Provinsi) dan anggota Dewan Perwakilan Kota atau Kabupaten (DRPD Kota atau Kabupaten),” lapor KPU.

Pada pencalonan Pilpres 2019, Jokowi dan Ma’aruf Amin mendapat sokongan penuh daripada Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Parti Golkar, Parti NasDem, Parti Persatuan Pembangunan, Parti Solidaritas Indonesia, Parti Hati Nurani Rakyat, Parti Bulan Bintang serta Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia.

Sementara itu, pasangan Prabowo-Sandiaga disokong Parti Gerakan Indonesia Raya, Parti Berkarya, Parti Keadilan Sejahtera, Partai Amanat Nasional dan Parti Demokrat.

Kemungkinan yang dikhabarkan oleh penganalisis politik Indonesia bahawa Jokowi akan menang besar ke atas lawannya disebabkan Presiden berumur 57 tahun itu mendapat sokongan daripada sembilan parti sedangkan Prabowo hanya lima parti.

Sokongan padu tersebut disebabkan Jokowi sepanjang pemerintahannya satu penggal, beliau berjaya membangunkan pelbagai infrastruktur seperti jalan raya, lapangan terbang dan pelabuhan di Indonesia.

Penyelidik daripada lembaga Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Arya Fernandes berkata, hasil tinjauan pendapat menunjukkan Jokowi mendahului Prabowo dengan perbezaan 18 peratus.

“Pertukaran pemilihan Presiden juga diramalkan tidak akan banyak berlaku.

“Gandingan Jokowi-Ma’ruf unggul dengan 51.4 peratus, manakala Prabowo-Sandiaga 33.3 peratus dan tidak menjawab ialah 14.1 peratus,” katanya kepada media Indonesia di Jakarta baru-baru ini.

Pengajaran

Menurut portal The Conversation, biarpun mendapat sokongan ramai, namun tidak semudah yang diimpikan kerana pihak pembangkang mempunyai isu-isu untuk menjatuhkan Jokowi pada Pilpres 2019.

“Salah satu daripadanya adalah isu agama. Sebelum ini bekas gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahja Purnama tidak terpilih dalam Pemilihan Kepala Daerah 2017 disebabkan menyentuh sentimen Islam di Indonesia.

“Mengambil pengajaran dari situ, Jokowi yang sebelum ini bertanding dengan memperjuangkan isu pluralisme dan hak asasi manusia dalam kempennya pada tahun 2014, kini telah bertukar ke arah penekanan agama apabila memilih Ma’ruf iaitu seorang kiai yang merupakan bekas pemimpin utama Nahdatul Ulama (NU) sebagai pasangannya,” tulis portal tersebut.

Lebih kuat lagi, NU yang merupakan organisasi Islam terbesar Indonesia turut menyokong pimpinan Jokowi dan membuatkan isu keagamaan itu tidak berjaya diketengahkan oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan Jokowi.

Biarpun berjaya menepis isu keagamaan, Jokowi masih belum selamat apabila turut diserang dengan isu pertumbuhan ekonomi Indonesia pula.

Antara isu yang dimainkan adalah kejatuhan mata wang rupiah. Pastinya, hal tersebut boleh menggugat kedudukan Jokowi sebagai Presiden.

Dalam pada itu, memetik laporan Reuters, pembangkang menggunakan slogan atas talian #GantiPresiden2019 bagi menunjukkan tekanan ekonomi ketika rupiah menjunam sembilan peratus tahun ini.

“Perbezaan dalam undian tidak mengapa, tetapi jangan lupa perpaduan kita sebagai satu bangsa, sebagai satu negara.

“Apa yang penting jangan biarkan perpecahan berlaku antara rakyat, rakan dan komuniti,” kata Jokowi kepada Reuters.

Biarpun Jokowi dijangka sekali lagi memenangi pilihan raya pada Rabu ini dengan selesa tetapi Prabowo tidak akan memberi laluan mudah.

Salah seorang, Editor The Jakarta Post, Endy Bayuni, berkata, kadar pengangguran yang lebih rendah dan kadar kemiskinan yang merosot ke paras bawah 10 peratus buat kali pertama di bawah kepimpinan Jokowi adalah faktor positif yang bakal ditonjolkan beliau.

Bagaimanapun, katanya, sejarah menunjukkan bahawa Prabowo mampu merapat jurang sehingga menjelang Pilpres dan boleh mencetus keputusan yang tidak diduga.

“Memang hasil daripada tinjauan analisis, Jokowi begitu jauh di hadapan tetapi berdasarkan kiraan saya, masih ada 15 hingga 20 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan.

“Pada hari pilihan raya, ada orang yang mungkin memilih mengundi Prabowo dan mengubah kesudahan pilihan raya. Ia masih boleh berlaku,” tegasnya.

Golongan muda

Pada masa sama, Endy menambah, sejumlah 80 juta rakyat muda Indonesia, mewakili sekitar 40 peratus jumlah pengundi dijangka membuang undi April ini dan kebanyakannya pengundi kali pertama.

Justeru, Presiden Jokowi dan Prabowo telah menumpukan sebahagian penting kempen mereka di media sosial, ruang yang kerap digunakan golongan belia.

“Ruang media sosial amat penting bagi kedua-dua calon presiden kerana adalah sukar meramalkan corak undian golongan milenial ini.

“Pengundi muda tidak setia kepada sesuatu parti atau calon, mereka mengundi mengikut rentak cita rasa sendiri,” katanya.

Antara yang menjadi manifesto adalah seperti ketengahkan sukan, muzik dan filem.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu, baik Jokowi mahupun Prabowo juga mungkin berdepan satu ancaman lain apabila dilaporkan bilangan pengundi yang memilih untuk tidak mengundi dilaporkan semakin meningkat. Kumpulan yang dinamakan Golput (Golongan Putih) itu memilih untuk tidak menyokong kedua-duanya.

South China Morning Post melaporkan, 32 organisasi kebangsaan di negara itu melibatkan buruh, petani, alam sekitar dan hak asasi pribumi yang berjumlah kira-kira 30 juta menyuarakan mereka sebagai golongan Golput ketika tanda pagar #SayaGolput semakin membanjiri media sosial. Organisasi pelajar di lebih 25 wilayah turut menyatakan sokongan kepada Golput.

“Kami menolak untuk menyokong Jokowi. Beliau tidak menunaikan janjinya kepada kumpulan pribumi berhubung hak asasi, tetapi kami juga tidak akan menyokong Prabowo,” kata Erasmus Cahyadi yang mewakili satu kumpulan yang dinamakan AMAN.