Agenda Transformasi Negara (TN50) yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050.

Pelbagai inisiatif telah dirancang oleh pihak kerajaan untuk memastikan matlamat dan hasrat tersebut menjadi kenyataan. Walaupun ekonomi negara dan dunia pada hari ini tidak menentu, pihak kerajaan yakin segala matlamat yang tersenarai dalam agenda TN50 mampu dicapai dengan jayanya menjelang atau sebelum tahun 2050.

Hasrat mulia agenda TN50 ini mampu dicapai dengan jayanya disebabkan perpaduan dan keharmonian yang wujud di negara ini dalam kalangan rakyat dan masyarakat yang berbilang bangsa.

Sebab utama mengapa matlamat TN50 mampu dicapai adalah disebabkan perpaduan dan kerjasama yang wujud dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Perpaduan merupakan tiang seri kepada kestabilan negara sama ada untuk hari ini atau masa hadapan. Tanpa perpaduan segala kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai selama ini akan musnah dengan sekelip mata.

Justeru, adalah sangat kritikal kepada seluruh masyarakat di Malaysia untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan yang wujud agar segala kestabilan, kemajuan, kedamaian dan kemakmuran yang dikecapi oleh masyarakat di negara ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Ada tiga sebab utama mengapa perpaduan ini berfungsi sebagai tiang seri kepada kestabilan negara.

1) Kubu pertahanan utama negara

Perpaduan merupakan kubu utama untuk mengelakkan negara ini daripada dicerobohi oleh pihak musuh sama ada dalam aspek fizikal atau sosial. Perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat ini akan menggagalkan sebarang usaha daripada pihak musuh untuk memecahbelahkan masyarakat di negara ini.

Keadaan akan bertambah serius apabila negara akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi. Pihak musuh akan mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan masyarakat di negara ini supaya agenda mereka dapat dilaksanakan dengan mudah menjelang PRU-14 yang akan datang.

Namun, sekiranya masyarakat di negara ini terus bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran dan halangan walaupun banyak hasutan, penyebaran berita palsu dan fitnah dilemparkan kepada negara ini, namun perpaduan yang terbina selama ini tetap akan terpelihara.

Apabila keadaan sedemikian dapat dikekalkan, pastinya agenda pihak musuh atau kumpulan yang terlibat untuk memecahbelahkan masyarakat di negara ini akan menempuh kegagalan.

Justeru, adalah penting untuk masyarakat di negara ini untuk terus mengekalkan perpaduan melalui sikap berbaik sangka, tidak mudah percaya kepada berita palsu atau khabar angin dan cerita yang ditular melalui media sosial pada hari.

Budayakan sikap merujuk kepada sumber yang bertauliah untuk memastikan kebenaran informasi yang diterima. Apabila perkara ini berjaya dilaksanakan pastinya perpaduan yang wujud di negara ini akan kekal kukuh dan teguh pada masa akan datang.

2) Mengelakkan pembaziran wang negara

Memang tidak dapat dinafikan, apabila berlaku sebarang konflik atau rusuhan akan berlaku banyak kerosakan dalam negara sama ada kepada harta awam ataupun harta perseorangan.

Kejadian yang berlaku dalam negara semasa demonstrasi jalanan pada satu ketika dulu merupakan contoh yang terbaik untuk dijadikan teladan. Banyak wang kerajaan telah digunakan untuk membaiki segala kerosakan yang berlaku akibat daripada rusuhan tersebut.

Oleh itu, adalah sangat wajar kepada masyarakat di negara ini untuk mengekalkan perpaduan pada hari ini agar kerajaan boleh menggunakan peruntukan dan perbelanjaan yang ada untuk tujuan lain yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya seperti pembinaan sekolah, jalan raya dan sebagainya.

3) Pembangunan negara

Apabila masyarakat di negara ini sentiasa hidup aman dan harmoni, pastinya pihak kerajaan boleh memfokuskan segala usaha dan tenaga serta perbelanjaan negara untuk tujuan pembangunan.

Apabila ia berjaya dilaksanakan oleh pihak kerajaan, pastinya seluruh rakyat di negara ini akan menikmati kemudahan tersebut untuk kebaikan semua seperti pembinaan lebuh raya, hospital, lapangan terbang dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di negara ini.

Dengan adanya usaha sebegini, pastinya hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050 akan menjadi kenyataan.

Secara ringkasnya, civilization theory telah menerangkan bahawa kehancuran sesebuah bangsa dan negara bukan disebabkan oleh pihak luar tetapi masyarakat dan bangsa itu sendiri.

Perkara ini berlaku kerana perpaduan tidak wujud di negara tersebut. Justeru pihak musuh mengambil kesempatan daripada perpecahan yang wujud untuk mencampuri seterusnya menguasai masyarakat atau negara yang terlibat.

Apa yang berlaku di beberapa buah negara di Asia Barat merupakan kisah teladan yang wajar diambil iktibar oleh masyarakat di negara ini.

Untuk mengelakkan senario sedemikian daripada berlaku di negara bertuah ini, adalah penting kepada seluruh rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan yang wujud di negara ini.

Walaupun berlaku perbezaan di antara kumpulan atau organisasi, jangan jadikan ia sebagai penyebab untuk berpecah, sebaliknya jadikan perbezaan itu sebagai kekuatan untuk terus bersatu demi untuk kestabilan, kemakmuran dan keharmonian negara di masa hadapan. Semoga Malaysia akan terus cemerlang dan gemilang pada masa hadapan.