Perasaan kesal jelas terpancar pada wajah lelaki berkulit sawo matang itu.

Akui lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak tersebut, hampir setiap hari, dia akan mengunjungi pusara anak-anaknya bagi menebus kesilapan lampau.

“Saya sedar menangis air mata darah sekalipun, ia tidak akan mampu mengembalikan semula anak-anak dan isteri ke pangkuan saya.

“Tetapi sekurang-kurangnya, ia dapat mengurangkan kesedihan di relung hati saya. Memang saya gagal menjadi suami dan bapa yang baik. Disebabkan itu, Allah mengambil semula anak-anak saya. Isteri pula lari meninggalkan saya dan menuntut fasakh,” ceritanya sayu.

Menceritakan kembali kisah hidupnya, menurut Zaini, latar belakang pendidikan yang kurang memuaskan menyebabkan dia memilih jalan singkat dengan menjadi seorang perompak untuk hidup senang.

Pada mulanya, Zaini akui berasa takut-takut untuk melakukan rompakan pertamanya sewaktu berusia 25 tahun. Bagaimanapun, sebaik melihat kemewahan yang diperoleh hasil wang haram tersebut, dia menjadi seronok dan mula merancang modus operandi rompakan yang seterusnya.

Bodyguard

Malah akui anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, dengan menggunakan wang itu juga, dia mampu berkahwin dengan kekasih hati dengan wang hantaran berjumlah RM20,000 selain menganjurkan sebuah resepsi mewah di kampung.

“Sekarang ini kerja-kerja yang bergaji lumayan memerlukan individu yang berkelulusan tinggi. Saya pula hanyalah lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Kerja kilang yang bergaji kecil sahaja yang mahu mengambil saya untuk bekerja. Oleh kerana tiada pilihan lain, saya melibatkan diri dalam kerja kotor ini.

“Rompakan pertama yang dilakukan ialah di sebuah kediaman di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur. Pada waktu itu, hasil rompakan saya bernilai lebih RM5,000 termasuk barangan kemas dan sebuah motosikal,” jelasnya.

Menurut Zaini lagi, di awal penglibatannya dalam kerja-kerja kotor tersebut, tiada seorang pun daripada ahli keluarganya yang meragui pekerjaan yang dilakukan.

“Bayangkan bulan pertama berhijrah di Kuala Lumpur, saya sudah mampu membeli sebuah kereta dan membawa ia pulang ke kampung.

“Ibu pada waktu itu terkejut tetapi gembira. Apabila ditanya pekerjaan yang dilakukan, saya hanya menjawab diambil bekerja sebagai seorang pegawai pengiring rapat atau bodyguard keluarga orang kenamaan.

“Mereka tidak bertanya banyak. Sebaliknya gembira dengan ‘kejayaan’ yang digapai saya pada waktu itu,” jelasnya.

Hampir tiga tahun melakukan kerja terkutuk itu, Zaini kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin.

Tertangkap

“Sebulan berkahwin, isteri mula sangsi dengan pekerjaan saya. Mana tidaknya, siang saya akan tidur manakala malam pula saya akan hilang kononnya bekerja.

“Pelbagai alasan diberikan. Pada mulanya dia percaya. Tetapi lama-kelamaan, dia mula mendesak saya. Lebih-lebih lagi apabila dia pernah ternampak beberapa utas gelang dan rantai emas hasil rompakan.

“Rahsia yang disimpan hampir bocor. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana memperisterikan wanita yang senang diperdaya.

“Dia percaya apabila saya mengatakan bahawa barangan kemas tersebut kepunyaan anak majikan dan mereka mengamanahkan saya untuk menyimpannya sebelum pergi bercuti,” jelasnya.

Akuinya, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Pekerjaan sebenar Zaini terbongkar selepas dia ditangkap sewaktu cubaan merompak sebuah kedai emas.

“Perasaan malu dan takut pada waktu itu tiada siapa yang tahu. Saya terbayang wajah ibu dan isteri yang sedang sarat mengandungkan anak kembar kami.

“Ternyata, berita mengenai penangkapan saya memberi tamparan hebat buat keluarga. Lebih menyedihkan, berita tersebut membuatkan isteri kemalangan sehingga menyebabkan anak kembar kami di dalam kandungan pergi buat selama-lamanya,” jelasnya.

Sedar diri telah menghancurkan hati isteri, Zaini dengan berat hati terpaksa menceraikan isterinya sewaktu wanita tersebut menuntut fasakh ketika dia masih berada di dalam penjara.

“Perasaan bersalah masih lagi menyelubungi diri sehingga ke hari ini. Biarpun ribuan kemaafan telah dipohon, namun dia masih tidak mahu memaafkan apatah lagi bersua muka dengan saya.

“Saya kini memulakan hidup baharu dengan bekerja di sebuah kilang elektrik untuk menampung kehidupan harian. Walaupun tidak semewah dahulu, saya tetap bersyukur,” jelasnya.