Samra, seorang gadis berasal dari Filipina yang berusia 23 tahun telah berkenalan dengan Triston, 21, seorang pemuda Amerika Syarikat (AS) melalui permainan video itu.

Gadis itu yang bekerja sebagai seorang pembantu rumah di Arab Saudi dikatakan gemar bermain permainan video jika mempunyai masa terluang. Ia bagi mengurangkan kerinduan terhadap keluarga dan tekanan akibat majikan yang didakwa sering menderanya.

Melalui permainan video tersebut, Samra akhirnya telah berkenalan dengan Triston pada tahun 2017 hingga timbul bibit-bibit cinta antara mereka.

Berdasarkan kisah cinta mereka yang tular di laman sosial, Triston sebelum ini pernah beberapa kali cuba melamar Samra namun gadis itu menolak kerana masih terkenangkan bekas kekasihnya.

Bagaimanapun, pada September 2018, Samra yang beragama Islam akhirnya terbuka hati untuk menerima lamaran Triston dengan membuat kejutan pada ulang tahun kelahiran lelaki tersebut.

Pasangan kekasih itu akhirnya berkahwin pada Disember tahun lalu di Filipina selepas Triston memeluk agama Islam.