Video berkenaan menunjukkan seorang remaja menekan dada rakannya yang sedang bersandar di dinding. Beberapa saat kemudian rakannya itu kelihatan terkulai atau pengsan tidak sedarkan diri ke lantai.

Lima saat kemudian rakannya kembali terjaga dan mereka ketawa bersama-sama.

Melihat pada video berkenaan, mulanya ramai yang menyangka si rakan yang pengsan tadi hanya berkelakuan olok-olok dengan sengaja menjatuhkan diri namun, setelah mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa individu bertauliah, permainan mati lima saat itu sebenarnya betul-betul wujud.

Malah, kajian yang dikendalikan oleh Dr. Andrew MacNab dari Universiti British Columbia, Amerika Syarikat mendapati, 68 peratus kanak-kanak berumur 12 tahun pernah mendengar mengenai permainan itu.

Seorang doktor perubatan swasta, Dr. Khairul Faizie Mohamad Kamar berkata, permainan tersebut bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak awal 90-an.

Viral

"Cuma kebelakangan ini menjadi viral atas faktor media sosial. Nama lain bagi permainan seperti ini ialah Choking Game atau Fainting Game.

"Permainan ini secara mudah ialah untuk mencapai tahap pengsan sementara yang disengajakan dengan melakukan beberapa gerakan," ujarnya. Tetapi mengapa mahu pengsan?

Tambah Khairul, permaianan itu memberikan satu kepuasan tertinggi (euphoria).

"Saat kritikal iaitu beberapa saat sebelum mereka pass out, dikatakan individu terbabit akan rasa pening, berpusing, mengantuk, rasa cucukan jarum halus di hujung kaki, tangan dan mulut (tingling sensation).

"Atau lebih mudah difahami iaitu rasa yang membuatkan mereka lalok tanpa mengambil dadah," terangnya.

Menurut Khairul, aksi tersebut tidak hanya dimainkan oleh kanak-kanak atau pelajar sekolah sahaja, sebaliknya ada orang dewasa yang mengamalkan permainan berkenaan.

Cuma, kepada mereka yang masih mentah, terdapat faktor lain yang mendorong mereka melakukan permainan itu seperti tekanan daripada rakan-rakan atau rasa ingin tahu tanpa paksaan.

Selain menekan dada, terdapat satu lagi cara permainan iaitu dengan bernafas laju-laju supaya dapat menurunkan paras karbon dioksida dalam badan. Selepas beberapa saat, mereka akan menahan nafas secara dalam-dalam.

Kepuasan akan dicapai apabila salah seorang daripada pemain dapat menahan nafas paling lama.

Sementara itu, Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan Majlis Profesor Negara, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, pass out challenge merupakan permainan yang berbahaya kerana ia menyebabkan tekanan pada pembuluh darah dan menghalang pergerakan serta pengaliran oksigen.

"Apabila salurah darah ini ditekan, bekalan darah yang mengandugi oksigen akan berkurang atau tidak sampai otak.

"Jika keadaan itu berlaku secara berterusan dan pemain masih tidak sedarkan diri dalam tempoh 10 minit, dia akan mengalami mati otak," tuturnya.

Tambah beliau, jika keadaan itu dilakukan secara berulang, ia akan memberi kesan dalam jangka panjang seperti mengganggu pemikiran dan pergerakan badan atau lebih mudah akan terdedah kepada penyakit strok dan Parkinson.

Di Amerika Syarikat, dilaporkan terdapat lebih 80 kematian akibat bermain permainan pass out challenge sejak 1995.

Diharamkan

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengeluarkan kenyataannya bahawa permainan berkenaan diharamkan serta-merta.

"Pada saya, ini sesuatu permainan yang haram, tidak boleh dimainkan dan perlu diambil tindakan tegas kepada mereka yang berkenaan.

"Bagaimana jika pemain yang bermain benar-benar mati? Sebab itu kita perlu tegas dan ambil tindakan segera," katanya.

Netizen di laman Facebook turut memberikan komen bahawa permainan seperti itu tidak patut wujud kerana ia membahayakan sesiapa sahaja yang bermainnya.

Norehan Jamil memberikan komennya: 'Permainan begini pun ada, siapalah yang mencipta, ia tidak sepatutnya wujud'.

Sementara itu, Ahmad Rizal pula menulis: 'Menakutkan, ia adalah permainan yang membahayakan. Risaunya jika ada yang tersilap langkah, ia boleh membawa padah'.