Shazila yang merupakan salah seorang jururawat dewan bedah kardiotorasik yang bertugas di dewan bedah IJN kemudiannya mengajukan beberapa soalan kepada pesakit tersebut.

“Boleh encik berikan nama penuh. Semalam encik mula berpuasa pada pukul berapa?

“Encik boleh tidur semalam? Adakah kebenaran pembedahan ini encik tandatangani sendiri?” tanya Shazila kepada pesakit tersebut.

Kesemua soalan itu merupakan antara soalan yang sering diajukan oleh jururawat dewan bedah kepada pesakit yang akan menjalani prosedur pembedahan jantung.

Selepas itu barulah pesakit tersebut ditolak masuk ke dalam dewan pembedahan.

Sebaik sampai ke dewan bedah, Shazila yang berpakaian lengkap berwarna biru dan bertutup mulut serta hidung kemudiannya membantu doktor pakar yang sedia menunggu di dewan tersebut untuk menidurkan pesakit dengan ubat bius.

Shazila berkata, selepas itu pesakit menjalani pembedahan pintasan jantung bagi memulihkan pengaliran darah ke jantung kerana saluran koronari tersumbat.

Salah seorang doktor pakar akan membelah bahagian dada pesakit bagi membolehkan saluran koronari itu dipulihkan.

Selalunya pesakit yang melakukan pembedahan jantung di IJN adalah mereka yang merujuk terus ke pusat perubatan tersebut.

Selain itu, ada juga pesakit yang diarahkan oleh pusat perubatan lain untuk mendapatkan rujukan lanjut ke IJN bagi kes-kes yang sukar.

Seperti yang diketahui umum tugas jururawat kebiasaannya menjaga pesakit di wad.

Namun berbeza bagi Shazila kerana dia merupakan seorang jururawat yang bertanggungjawab secara langsung di dalam dewan bedah.

“Tugas sebagai jururawat di dewan bedah IJN memerlukan saya berada di sisi pesakit bersama doktor-doktor pakar yang lain. Tugas saya adalah menyediakan dan memberikan peralatan yang diperlukan doktor semasa sesi pembedahan dilakukan,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Tambahnya, dia harus sentiasa bersedia dan peka tentang peralatan yang diperlukan oleh doktor pakar.

Kebiasaannya, doktor pakar yang mengetuai pembedahan jantung akan menadah tangan dan jururawat di sampingnya sudah mengerti apa alatan yang perlu diberikan.

“Bila kerap terlibat dalam prosedur pembedahan ini, saya sudah tahu langkah-langkah dan alatan-alatan yang diperlukan oleh doktor pakar,” jelasnya yang telah berkhidmat selama 13 tahun dan kini berjawatan sebagai jururawat mentor di IJN.

 

Cita-cita

Mengimbau kembali penglibatannya dalam bidang tersebut, Shazila menjelaskan, tidak terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang jururawat kerana dia bercita-cita menjadi pramugari.

“Urusan permohonan untuk mengikuti bidang kejururawatan ini diuruskan oleh ibu dan arwah ayah.

“Arwah ayah, Rosli Ismail pernah berkata kalau saya tidak menerima tawaran menjadi jururawat ini saya akan menyesal,” jelasnya.

Akhirnya dia akur dengan kemahuan arwah ayahnya. Keputusan tersebut memberi hikmah kepada Shazila dan keluarga apabila ibunya Hasnah Othman juga menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN awal tahun ini.

“Saya rasa terharu menerima nasihat arwah ayah dan percaya takdir saya menjadi seorang jururawat ada rahmatnya,” katanya dengan penuh perasaan bersyukur.

Shazila mula mengikuti kursus kejururawatan selama tiga tahun di Kolej Kejururawatan Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Memandangkan dia mendapat biasiswa daripada IJN, setelah tamat pengajian Shazila ditawarkan untuk bertugas bahagian dewan pembedahan.

“Pada awalnya, ia sedikit sukar namun saya bersyukur kerana tidak semua orang melalui pengalaman ini.

“Sebagai orang baharu banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya pernah dimarahi oleh doktor pakar kerana gagal melaksanakan tugas seperti yang diharapkan.

“Bagaimanapun, pengalaman itu memberikan saya semangat untuk terus belajar menambahkan kemahiran,” jelasnya yang gemar melakukan aktiviti berbasikal pada waktu lapang.

 

Pengalaman

Sepanjang tempoh itu, Shazila telah membantu doktor pakar melakukan ribuan pembedahan jantung.

Rutin harian Shaliza di IJN bermula seawal pukul 7 pagi dan purata dalam sehari dia terlibat dalam dua kes pembedahan.

Sepanjang bergelar jururawat dewan bedah dia melalui pelbagai kenangan pahit dan manis.

Baginya, kenangan pahit baginya adalah apabila sesuatu pembedahan yang dilakukan itu gagal.

“Selalunya saya yang akan menyambut pesakit sebelum dia dibawa masuk ke dalam bilik bedah. Sebelum melakukan pembedahan saya akan berbual dan menenangkan mereka.

“Apabila pembedahan itu gagal dan pesakit meninggal dunia, ia adalah sesuatu yang pahit untuk diterima,” jelasnya yang memujuk hati supaya yakin bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan Sang Pencipta.

Lebih menyentuh hatinya jika pesakit yang meninggal dunia itu adalah kanak-kanak.

“Jika pembedahan yang melibatkan kanak-kanak itu berjaya ia akan memberi satu kepuasan kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Shazila berkata, sepanjang menjadi sebahagian daripada pasukan dewan bedah dia berpeluang ke luar negara bagi mendalami prosedur terbaharu pembedahan jantung seperti San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Selain itu, dia ke Jepun, Vietnam dan China bersama pasukannya untuk melakukan pembedahan jantung. Sepanjang berkhidmat sebagai jururawat dewan bedah Shazila juga terlibat dalam prosedur pemindahan jantung.

 

Pemindahan jantung

“Pemindahan organ jantung ini melibatkan dua individu iaitu pesakit yang telah mati otaknya tetapi organ jantung masih berfungsi dan dipindahkan ke pesakit lemah jantung.

“Kes sebegini perlu dilakukan dengan pantas kerana organ jantung hanya berfungsi dalam tempoh antara empat hingga enam jam setelah dikeluarkan dari badan penderma sebelum dipindahkan ke pesakit yang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi jururawat dewan bedah kardiotorasik IJN, Muhamad Hafizuddin Abd. Razak, 28, berkata, dia gembira bekerja di situ kerana dapat membantu pesakit-pesakit jantung untuk sembuh dan terus hidup.

Bagaimanapun, dia ditempatkan di dewan bedah yang lebih fokus kepada kes yang melibatkan kanak-kanak.

“Kebiasaannya, kebanyakan kanak-kanak yang akan menjalani pembedahan jantung pasti menangis. Apabila melihat mereka menangis saya turut sayu dan kasihan.

“Sebagai jururawat yang menyambut mereka masuk ke dalam dewan bedah, saya berperanan untuk menenangkan kanak-kanak ini. Saya sering mengatakan kepada mereka bahawa pembedahan ini tidaklah menyakitkan umpama digigit semut sahaja,” jelasnya.

Mengimbau kembali saat-saat pertama kali bertugas di dewan bedah, Hafizuddin yang telah berkhidmat di IJN selama lima tahun berkata, pada ketika itu dia berasa berdebar sekali.

Tegasnya, selepas enam bulan bertugas di bahagian dewan bedah IJN, dia ditugaskan untuk menjadi pembantu kepada doktor pakar bagi prosedur pembedahan jantung yang melibatkan kes kanak-kanak.

“Selepas dua minggu bekerja di IJN saya sudah diberi peluang untuk memasuki dewan bedah dan melihat senior bekerja membantu doktor dan dari situ saya mula belajar.

“Enam bulan kemudian saya ditugaskan untuk berada di sebelah doktor pakar dan membantunya melakukan satu prosedur pembedahan jantung. Ketika itu saya berasa begitu berdebar, namun dengan tunjuk ajar senior saya dapat laksanakan tugas itu dengan baik,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.