“Saya menunggu hari ini selama enam tahun. Saya begitu bersemangat apabila berpeluang untuk memegang semula papan kawalan kereta api ini,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.

Tugasnya pada hari itu adalah untuk melakukan satu pandu uji kereta api yang bermula di stesen Qadam walaupun berhadapan dengan ancaman kumpulan militan Daesh.

Selepas tujuh tahun bersengketa, pihak kerajaan menguasai semula hampir dua pertiga wilayah di Syria daripada kumpulan pemberontak tersebut.

Rejim kerajaan melihat mereka perlu memulihkan semula perkhidmatan kereta api kerana ia sangat penting untuk dasar pembinaan negara itu.

“Apabila saya memandu kereta api, saya berasa seperti membawa kapal terbang,” katanya.

Dicuri

Dia berasa gembira kerana kembali mengawal kereta api selepas enam tahun tidak berbuat demikian.

Sebelum perang melanda Syria, Abu Abdo memandu kereta api selama dua dekad. Kereta api menjadi antara pengangkutan utama di Syria selama lebih daripada satu abad untuk membawa penumpang, bahan binaan, minyak serta gas merentasi laluan sejauh ratusan kilometer.

Perkhidmatan kereta api menghubungkan Damsyik ke bandar kedua di Syria iaitu Aleppo dan pusat-pusat bandar lain seperti Homs, Latakia yang terletak di pantai barat serta Deir Ezzo di timur.

Namun, perkhidmatan tersebut tidak dapat beroperasi pada tahun 2012 setelah negara itu terjerumus dalam perang saudara.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan menjelaskan, daripada 2,450 kilometer (km) landasan kereta api yang melintasi Syria, kira-kira 1,800km akan dibaiki.

Bagi landasan kereta api di wilayah Latakia dan Tartus, keadaannya masih baik kerana kawasan itu agak terhindar daripada kancah peperangan.

Antara laluan yang akan dibaiki semula ialah landasan yang menghubungkan kawasan utara dan selatan antara Damsyik, Homs serta Aleppo. Selain itu, laluan di timur negara tersebut yang bersempadan dengan Iraq juga akan dibaiki.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kereta Api Wilayah Damsyik, Radwan Tikriti berkata, banyak laluan telah rosak akibat perang dan trek landasan turut dicuri.

Dia bekerja dengan perkhidmatan tersebut selama 30 tahun dan pernah tinggal berhampiran stesen Qadam.

Dagangan

Setiap pagi, dia akan dihidangkan dengan bunyi kereta api ketika bangun daripada tidur.

Namun, semua itu berubah pada awal tahun 2013 setelah pemberontak menguasai kawasan tersebut.

Stesen Qadam kemudiannya jatuh ke tangan pemberontak dan Radwan meninggalkan tempat itu untuk menyelamatkan diri.

“Kami kini sedang berusaha untuk menghubungkan bandar-bandar ini kembali untuk perkhidmatan kereta api,” kata Radwan.

Setelah tujuh tahun berada dalam kancah peperangan, banyak kemudahan awam dan bandar di Syria musnah termasuk infrastruktur paip air serta stesen jana kuasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan, konflik di negara itu telah menelan kos hampir AS$400 bilion (RM1,658 bilion).

“Kami kini dalam perlumbaan mengejar masa untuk memulihkan semula perkhidmatan kereta api. Kami benar-benar mahu mendengar semula bunyi kereta api,” jelas Radwan.

Pada bulan Julai lalu, Presiden Syria, Bashar Assad memperuntukkan sejumlah dana untuk membina semula negara itu dan menghidupkan perkhidmatan kereta api. Menteri Pengangkutan, Ali Hammud berkata, pihak berkuasa berhasrat untuk memulihkan semula laluan kereta api pada akhir tahun ini.

“Kereta api memainkan peranan penting dalam pembinaan semula negara ini.

“Kereta api kargo membawa bahan binaan dengan lebih pantas dan murah berbanding lori,” katanya.

Ali juga menambah, pembaikan semula perkhidmatan kereta api juga boleh menghidupkan kembali perdagangan dan menambah baik ekonomi Syria yang rosak.

“Kami adalah pintu masuk ke Mediterranean untuk negara Teluk, Jordan dan Iraq,” katanya menunjuk pada peta Syria.

“Objektifnya adalah untuk menghubungkan pelabuhan Syria ke negara jiran dan kami akan menyambung semula semua sempadan,” tegasnya. 
– AFP