Begitulah dialog dalam filem Masam-Masam Manis lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang masih berbekas di hati masyarakat sehingga kini.

Sekiranya Cikgu Syaari terus berkelakuan sedemikian meskipun sudah bergelar guru besar pastinya sekolah akan kucar-kacir seperti dalam filem tersebut.

Sebagai pemimpin tertinggi di peringkat sekolah, pengetua dan guru besar bertanggungjawab sepenuhnya dalam memandu organisasi mencapai visi serta misi pendidikan yang telah digariskan.

Kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab dengan berkesan akan mengundang pelbagai masalah seterusnya menggugat keharmonian sekolah tersebut.

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat pelbagai kes guru menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menukarkan pengetua atau guru besar di sekolah mereka atas pelbagai alasan.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan kira-kira 30 orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan mengangkat sepanduk meminta agar pengetua di sekolah itu dipindahkan kerana mendakwa tidak tahan lagi menjadi mangsa tekanan kerja.

Ia sekali gus menimbulkan pertikaian kredibiliti pengetua berkenaan dalam menjalankan tugas dengan efisyen.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pengetua atau guru besar sebagai inspirasi perubahan perlu mempunyai ilmu, watak dan adab untuk memberi inspirasi kepada warga sekolah ke arah mencapai wawasan yang digariskan.

“Jawatan pengetua atau guru besar menuntut mereka untuk sentiasa mempertingkatkan tahap kepimpinan agar segala tindakan yang dilakukan dapat memenuhi hasrat falsafah pendidikan kebangsaan.

“Tidak mungkin organisasi seperti sekolah mencapai visi dan misinya sekiranya organisasi dipimpin oleh ketua yang pasif meskipun guru kanan atau guru biasa mampu menggerakkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pendekatan strategik

Justeru, Mohamad Ali mencadangkan supaya JPN menitikberatkan latihan kepimpinan terhadap pengetua atau guru besar yang bermasalah bukannya sekadar memindahkan ke sekolah baharu.

“Sekiranya JPN memindahkan pengetua atau guru besar yang bermasalah ini ke sekolah yang baharu mereka akan tetap membawa perangai lama dan ia tidak akan menyelesaikan masalah.

“Mereka ini perlu diberi latihan kepimpinan bagi meningkatkan lagi potensi diri yang dimiliki seterusnya mampu mentadbir sekolah dengan cemerlang,” ujarnya.

Jelas Mohamad Ali, modul latihan berkenaan perlu memastikan perubahan diri pengetua atau guru besar bermasalah untuk berubah menjadi lebih baik sebelum dipindahkan ke sekolah baharu.

“Mereka perlu diberi kesedaran moral supaya tidak mengulangi perbuatan sama di sekolah baharu. Sesi kaunseling atau motivasi sekali dua tidak akan memberi sebarang kesan.

“Malah, mereka juga perlu diberi pendedahan aspek kepimpinan dengan lebih efektif supaya mampu menangani segala cabaran di sekolah dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, seseorang pengetua atau guru besar yang mengamalkan kepimpinan autokratik boleh membantutkan persekitaran kerja yang positif.

“Kalau wujudnya kepimpinan yang autokratik ia tidak membantu menyuburkan persekitaran dan iklim sosio-emosi yang positif dan sihat.

“Tahap profesionalisme juga tidak berkembang di tahap yang optimum kerana segala ukuran dan piawaian adalah mengikut kehendaknya,” katanya.

Justeru, Kamarozaman berkata, JPN perlu mewajibkan kursus pengukuhan pasukan kepada pengetua atau guru besar bermasalah dalam usaha membimbing mereka untuk menjadi pemimpin yang cemerlang.

“Kursus pengukuhan pasukan ini akan membantu meningkatkan nilai kemanusiaan yang amat penting dalam pengurusan sesebuah organisasi.

“Kursus berkenaan akan membantu meningkatkan nilai bertimbang rasa, tolak ansur, kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan kesabaran yang memandu kepada kejayaan sesebuah institusi,” katanya lagi.

Begitu pun, Kamarozaman berkata, hanya pengetua atau guru besar yang bermasalah sahaja perlu menjalani kursus tersebut yang sepenuhnya dikelolakan oleh JPN masing-masing.