Wanita berusia 27 tahun itu disahkan mengandung tiga bulan dan dia mengupah suami palsu untuk duduk bersamanya di atas pelamin bagi mengelakkan stigma masyarakat.

Kha memecah tradisi masyarakat Vietnam yang konservatif dengan menawarkan bayaran yang tinggi untuk perkhidmatan itu.

“Ibu bapa saya akan menjadi orang pertama yang mendapat malu jika orang ramai mengetahui bahawa anak dalam kandungan ini adalah hasil daripada hubungan luar nikah,” tuturnya.

Sebulan selepas perkahwinan palsu itu, ayah kepada anak dalam kandungan Kha telah membayar lelaki tersebut sebanyak AS$1,500 (RM5,900).

Perniagaan perkahwinan palsu semakin berkembang di Vietnam yang masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pasangan muda juga membayar beribu-ribu ringgit untuk mengupah ibu bapa, pak cik, mak cik, datuk dan kawan-kawan bagi menjayakan perkahwinan itu.

Kha dan suami palsunya tidak berkahwin secara sah tetapi dia bersyukur kerana lelaki itu memainkan peranan dengan baik di hadapan rakan-rakan dan saudara-maranya.

“Saya berasa seperti dalam keadaan lemas tetapi berjaya mencapai jaket keselamatan,” terang Kha sambil mengukirkan senyuman.

Dia merancang untuk memberitahu ahli keluarga bahawa suaminya telah meninggalkannya.

Kha lebih rela memegang status janda daripada hidup bersendirian bersama bayi di luar nikah.

Norma kehidupan golongan belia di Vietnam telah berubah dan separuh daripada 93 juta penduduk di negara itu berada di bawah usia 30 tahun.

Ramai pasangan memilih untuk bersekedudukan bersama pasangan masing-masing sebelum bernikah atau tinggal berasingan daripada keluarga.

Pengguguran kandungan juga direkodkan meningkat sehingga 300,000 pada tahun lalu tetapi stigma masyarakat berada pada tahap yang sama.

Namun, ramai anak muda berasakan bahawa mereka masih terikat dengan tradisi perkahwinan.

Rasa simpati

Menurut seorang penyelidik psikologi, Nguyen Duy Cuong, orang ramai tidak mempunyai keberanian untuk hidup seperti yang mereka inginkan kerana terikat dengan tradisi, tabiat dan kebudayaan serta pandangan.

“Kita perlu meletakkan diri sendiri di dalam situasi individu tersebut,” jelasnya yang melahirkan rasa simpati kepada mereka yang membayar ‘pelakon’ itu bagi mengelakkan diri daripada dimusuhi keluarga sendiri.

Sementara itu, Huong dan teman lelakinya, Quan melakukan upacara perkahwinan palsu kerana dihalang oleh keluarga.

Huong yang berasal dari wilayah miskin ditolak untuk menjadi isteri kepada Quan.

Wanita itu harus melakukan sesuatu kerana keluarganya telah menegaskan bahawa dia perlu berkahwin pada tahun ayam jantan atas nasihat penilik nasib.

Sehubungan itu, pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan palsu di wilayah Nghe An.

Mereka mengupah ibu, ayah, pak cik, mak cik dan kawan-kawan palsu.

Namun, Quan menyatakan bahawa komitmen mereka adalah tulen.

Quan berasa lega apabila majlis itu telah selesai walaupun dia menyimpan rahsia perkahwinan daripada ibu bapanya yang sebenar.

Mereka adalah antara ratusan pasangan yang mengupah tetamu perkahwinan daripada Vinamost iaitu salah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan sedemikian di Hanoi dengan harga kira-kira AS$4,400 (RM17, 2942) bagi satu pakej lengkap.

Pengasas syarikat itu, Nguyen Xuan Thien berkata, mereka telah mengadakan beribu-ribu majlis perkahwinan walaupun tidak ada statistik tentang jumlah sebenar perkahwinan palsu yang dianjurkan di Vietnam dalam tempoh setahun.

Thien berkata, perniagaan itu berkembang maju, 400 tetamu telah diupah dalam sehari berbanding sedosen sedekad yang lalu.

Bagaimanapun, perasaannya bercampur-baur apabila ada tekanan sosial terhadap perusahaan yang dijalankan itu.

“Mesej kepada masyarakat itu membuatkan kami risau. Seperti hospital yang merawat penyakit, kami menolong pengantin dan keluarga mereka tetapi kami tidak mahu perkara ini berkembang.

“Kerja yang saya lakukan ini adalah perkhidmatan kepada masyarakat dan bukannya membuat keuntungan,” jelasnya.

Kha yang bakal menimang cahaya mata pada April ini memberitahu, perkahwinan palsu itu akhirnya membebaskannya daripada pembohongan.

Menyembunyikan kandungan sangat memenatkan tetapi dia berasa lebih yakin untuk menghadapi masa hadapannya. 
– AFP