Mendapat julukan Soviet Christian Dior sekitar tahun 1960-an oleh media Perancis, pereka itu menempa nama pada peringkat global melalui rekaan dres berwarna garang bercorak bunga yang lazimnya terdapat pada selendang tradisional Rusia.

Nama Zaitsev begitu mashyur di pentas-pentas peragaan fesyen di kota-kota besar seperti Paris, New York serta Tokyo di Jepun. Beliau menjalani zaman kanak-kanak sederhana di Ivanovo, Moscow.

Ia merupakan sebuah bandar yang mempunyai populasi 400,000 penduduk terletak di timur laut ibu negara Rusia itu.

“Ketika kecil, ibu mengajar saya menyulam jadi saya tidak berpeleseran di jalanan tanpa tujuan. Pada waktu petang, saya biasanya akan memilih bunga dengan gadis-gadis lain di sekitar Lenin Avenue yang terletak tidak jauh dari rumah dan mengolahnya untuk idea sulaman.

“Itulah permulaan saya dalam seni rekaan ini,” ujarnya yang tampil dalam persalinan sut hitam yang ringkas dalam temu bual kali ini.

Zaitsev lahir dalam keluarga miskin dengan ibunya bekerja sebagai tukang cuci. Beliau pernah dihalang daripada masuk universiti terbaik di Rusia kerana bapanya merupakan bekas tawanan tentera Nazi semasa Perang Dunia II.

Seperti bekas tahanan perang lain, bapanya dilabel sebagai musuh negara dan dikenakan hukuman bekerja di kem buruh selama sedekad.

Lantaran itu, Zaitsev belajar di sebuah kolej vokasional sehingga umurnya 18 tahun dan kemudian menuntut di Institut Tekstil Moscow yang tidak begitu glamor kerana tidak menjadi pilihan ramai sebagai tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Perhatian

“Ketika belajar, saya menumpang sebuah keluarga dan menjaga anak-anak mereka. Pangsapuri tempat kami tinggal sangat sempit dan saya hanya tidur di atas lantai di bawah meja,” imbaunya.

Pada tahun 1962, koleksi pertama Zaitsev berupa pakaian seragam pekerja wanita yang mengetengahkan skirt bercorak bunga yang lazimnya disulam pada selendang tradisional Rusia dengan padanan kasut berwarna garang ditolak mentah-mentah pihak berkuasa Soviet.

“Warna-warna itu terlalu terang dan bertentangan dengan kelangsungan kehidupan sehari-hari masyarakat Soviet iaitu seseorang tidak sepatutnya berbeza daripada orang lain,” katanya.

Ironinya, koleksi itu menarik perhatian antarabangsa. Pada tahun 1963, majalah Paris Match muncul sebagai saluran media Barat pertama menggambarkan Zaitsev sebagai perintis fesyen Soviet. Begitupun, hanya koleksinya sahaja menjelajah ke luar negara tanpa kehadirannya. Ketika itu, beliau diawasi agensi keselamatan negaranya yang dikenali sebagai KGB ekoran hubungannya dengan pereka Barat selain perwatakannya yang ranggi dilihat terkeluar daripada garis kelaziman Kesatuan Soviet yang menganut fahaman Komunis pada era tersebut.

“Saya tidak faham, apakah jenis rahsia negara yang boleh saya bocorkan kepada rakan sekerja asing saya. Syukurlah ia sudah lama berlalu.

“Kali pertama saya melawat kota di luar negara saya melihat segala-galanya berbeza. Termasuk cara orang berpakaian tidak ada warna kelabu, tidak ada warna suram tidak ada klise,” tuturnya.

Beliau mengakui mendapat kebahagiaan bekerja setiap hari dalam membuat rekaan pakaian untuk disarungkan kepada pelanggan sebagai pakaian harian dan bukan setakat digayakan oleh model.

Sekitar tahun 2007 hingga 2009 beliau mengelolakan rancangan televisyen popular, The Verdict of Fashion yang menampilkan para penari berpakaian jalanan dengan suntikan fesyen terkini.

Nasihat

Kini, bintang filem Rusia, penyanyi dan bekas isteri Presiden Vladimir Putin, Lyudmila, merupakan antara pelanggannya. Beliau turut mendedahkan hanya tidur lima jam setiap malam dan menggunakan perisian komputer untuk mencipta rekaan corak baharu.

Pada November tahun lalu, beliau mengeluarkan koleksi musim panas 2018 di Moscow menggunakan teknologi tekstil termoden dalam menghasilkan koleksi yang diilhamkan oleh selendang Pavlovsky Posad, sebuah bandar kecil di timur Moscow.

Bahagian kedua koleksinya memberi penghormatan kepada Christian Dior 1940-an dengan reka bentuk fesyen retro yang begitu terserlah dalam fabrik baldu dan sutera. Sepanjang kariernya, Zaitsev telah menghasilkan lebih daripada 1,000 rekaan. Apakah nasihat fesyen beliau kepada wanita moden? “Mereka seharusnya membuang jean di dalam tong sampah sebaliknya memakai skirt dan kasut tumit tinggi,” kata Zaitsev. – AFP