“Kejadian itu berlaku di sebuah studio rakaman pada waktu malam dan ia berulang beberapa kali selepas itu.

“Saya takut jika saya menentang atau melaporkannya kepada pihak berkuasa, kerjaya saya akan berakhir,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Di Jepun, sudah menjadi budaya bagi masyarakatnya yang tidak mengendahkan mangsa rogol. Mangsa perlu berdiam diri apabila diganggu atau diserang secara seksual.

“Ia hampir mustahil untuk menceritakan perihal itu di Jepun. Ada satu stigma yang dahsyat tentang rogol, masyarakat lebih suka anda menyimpannya sendiri,” jelasnya yang berhenti daripada dunia muzik selepas tiga tahun berdepan dengan penderaan seksual.

Seorang wartawan yang juga mangsa rogol, Shiori Ito, enggan berdiam diri justeru melaporkan jenayah itu kepada pihak berkuasa.

Dia telah menjadi mangsa kepada lelaki berusia 28 tahun yang juga salah seorang wartawan berita televisyen. Dia telah dirogol selepas lelaki itu mengundangnya untuk majlis makan malam bagi membincangkan peluang pekerjaan pada tahun 2015.

Namun, tindakan Ito telah dikecam masyarakat sehingga menerima ancaman bunuh.

“Perkara terakhir yang saya ingat adalah apabila saya pergi ke bilik air di restoran sushi, Noriyuki Yamaguchi turut mengekori saya.

“Apabila saya tersedar dalam kesakitan yang teruk, saya berada di bilik hotel dan dia berada di atas saya, saya tahu apa yang telah berlaku tetapi saya tidak dapat mengingatinya,” kata Ito.

Kes Ito telah disoal siasat oleh seorang pegawai lelaki. Dia diminta melakonkan semula kejadian itu dengan menggunakan sebuah patung bersaiz manusia sebenar.

Dia terpaksa berbaring di lantai dan pegawai polis meletakkan anak patung tersebut di atasnya.

“Mereka bertanya adakah kejadian berkenaan berlaku seperti ini dan mereka juga mengambil gambar. Lakonan semula itu seperti merogol saya buat kali kedua,” jelas Ito dengan kecewa.

Pihak berkuasa memaklumkan mereka mengambil masa beberapa minggu untuk membuka kes siasatan jenayah dan memberitahu akan menangkap Yamaguchi sebelum pihak polis tiba-tiba menggugurkan kes berkenaan.

Sejak itu, Ito telah memfailkan saman sivil terhadap Yamaguchi yang menafikan sebarang kesalahan.

“Saya menerima e-mel dan mesej yang mengatakan saya seorang pelacur. Malah terdapat juga ancaman pada keluarga sehingga membuatkan kami semua takut untuk keluar,” ujarnya yang mengeluarkan buku mengenai pengalamannya baru-baru ini.

Undang-undang

Di negara itu, hanya empat peratus mangsa rogol tampil membuat laporan kepada pihak, selebihnya hanya berdiam diri.

Pengasas rumah mangsa penindasan Resilience, Sachi Nakajima menyalahkan undang-undang jenayah seks abad ke-19 kerana tidak memperluaskan definisi rogol dan meningkatkan hukuman penjara.

Nakajima percaya wanita Jepun perlu diberi kuasa supaya jenayah terhadap seks berubah kerana ramai lelaki menganggap mereka berhak sepenuhnya terhadap wanita.

Jepun mempunyai rekod terburuk di dunia dari segi perwakilan politik wanita. Wanita memegang hanya 10 peratus daripada kerusi di rumah Parlimen.

“Kita perlu melihat kedudukan wanita dalam masyarakat kerana ini menjelaskan banyak masalah,” katanya.

Sementara itu, pemandu teksi, Kazuyo Saito terpaksa berhenti kerja pada waktu malam kerana bimbang risiko serangan seksual.

“Penumpang lelaki yang baru saja keluar dari bar kadang-kadang cuba untuk melakukan perbuatan tidak senonoh kepada saya.

“Saya akan berkata dengan tegas yang saya sedang bekerja, jangan ganggu saya,” katanya yang berusia 42 tahun. – AFP