Gusar hal itu berlarutan, sejak awal tahun lalu wanita itu menggenggam azam yang kuat untuk menurunkan berat badannya. Berkat kesungguhan, dia yang pada awalnya mempunyai berat sebanyak 79 kilogram (kg) berjaya menurunkannya sebanyak 30kg sebelum hujung tahun lalu.

Kini, berberat badan 49kg, Fansurina adalah salah satu contoh individu yang berjaya menunaikan azam baharunya pada tahun 2018 yang ditanam sejak Januari tahun lalu.

“Perjalanan ini bukan mudah untuk saya tempuh tetapi saya tidak berputus asa. Azam itu saya pertingkatkan pada bulan April sehingga mendapatkan berat badan sekarang pada Oktober lalu,” ceritanya kepada K2 ketika dihubungi baru-baru ini.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, bagi meningkatkan motivasi diri untuk merealisasikan azamnya itu dia menggantung pakaian lama sewaktu bertubuh kurus di tepi almari dan setiap hari akan melihatnya.

Akui wanita berketinggian 164 sentimeter itu, sebelum ini, dia tidaklah terlalu gemuk namun ia naik mendadak selepas mengambil produk makanan tambahan kesihatan pada tahun 2015.

Sejak itu dia berusaha menurunkan berat badan dan akhirnya pada tahun 2018 yang merupakan tahun ketiga berbekalkan keazaman yang lebih kuat barulah berjaya membuahkan hasil.

Fansurina berkata, untuk menurunkan berat badan dia berdisiplin dalam mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan senaman. Fansurina mengambil makanan yang sihat seperti kurang gula, garam dan minyak. Dia juga lebih gemar mengambil makanan yang dikukus, bakar dan rebus di samping mengamalkan rutin senaman ringan sebanyak tiga kali seminggu.

Puasa

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga, mengamalkan puasa seminggu dua kali iaitu pada hari Isnin dan Khamis.

“Saya rasa seronok sangat apabila berjaya menurunkan berat badan kerana azam pada tahun 2018 telah tercapai.

“Kesihatan saya juga bertambah baik. Badan berasa ringan manakala sakit kepala, kaki dan lutut sudah berkurangan,” ujarnya.

Menurut kajian antarabangsa yang dilakukan oleh pengkaji Barat, Norcross, Mrykalo dan Blagys pada tahun 2002 mendapati, antara azam yang paling popular ialah untuk menguruskan badan iaitu 31 peratus diikuti menjaga kesihatan (15 peratus) dan berhenti merokok (12 peratus).

Perkara itu turut disokong oleh kajian global daripada Nielsen pada tahun 2015 yang mendapati menurunkan berat badan dan meraih bentuk badan yang cantik merupakan azam paling popular sehingga menyebabkan orang ramai ke gimnasium atau mengikuti kelas kecergasan serta kesihatan.

Sementara itu, pakar pemakanan iaitu Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Mohd. Hairil Nizam Abd. Hamid berkata, kita tidak boleh lari daripada konsep asas pemakanan sihat yang menjadi kunci utama bagi menurunkan berat badan.

Ujarnya, perkara pertama yang perlu ditekankan dalam pemakanan sihat untuk menurunkan berat badan ialah dengan mengira keperluan kalori.

“Defisit 500 kilokalori dalam sehari akan membantu anda mengurangkan 0.5kg berat badan dalam masa seminggu.

“Anda juga perlu mengawal saiz hidangan makanan yang diambil kerana tidak semestinya apabila ia digelar makanan sihat maka, boleh makan berlebihan,” terangnya.

Ia kerana, buah-buahan juga mengandungi kalori. Sebagai contoh, epal satu biji mengandungi 60 kilokalori dan jika seseorang itu mengambil 10 biji epal sehari maka, akan menyumbang kepada 600 kilokalori.

Kalori

Jelasnya, secara umum, lelaki memerlukan 2,000 kilokalori manakala perempuan pula sebanyak 1,800 kilokalori setiap hari.

Namun, jumlah kalori itu berubah mengikut usia,sebagai contoh apabila usia meningkat maka, keperluan kepada kalori semakin berkurang.

“Oleh itu, kita perlu kurangkan 500 kilokalori sehari bagi menurunkan berat badan sebanyak 0.5kg berat badan dalam seminggu

“Namun, pemakanan seimbang perlu amalkan bagi mendapatkan nutrien yang mencukupi,” katanya.

Tambah Mohd. Hairil Nizam, bilangan kekerapan individu itu makan tidak akan mempengaruhi berat badan selagi mereka mengambil makanan mengikut keperluan kalori harian.

“Tetapi tempoh tidak makan yang lama akan menyebabkan tahap kelaparan meningkat secara mendadak dan akhirnya mendorong individu mengambil makanan secara berlebihan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan setiap individu sekurang-kurangnya mengambil tiga waktu makanan utama iaitu sarapan pagi, tengah hari dan makan malam untuk memastikan selera makan dapat dikawal.

“Terdapat juga makanan yang boleh meningkatkan metabolisme badan iaitu mempunyai tinggi protein seperti produk tenusu, ayam, telur, daging dan produk kekacang.

“Jadi, jika anda ingin menurunkan berat badan, pengambilan protein yang cukup pada waktu pagi seperti satu biji telur dan segelas susu boleh membantu meningkatkan metabolisme,” tuturnya lagi.

Ulas Mohd. Hairil Nizam, pengambilan makanan yang tinggi kandungan fiber atau serat juga penting bagi membantu berasa kenyang lebih lama, begitu juga makanan yang tinggi protein.

Justeru, penting untuk menambah makanan yang tinggi kandungan fiber seperti pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian.Beras perang, roti wholemeal dan roti wholegrain adalah juga contoh makanan berserat tinggi.

Dalam pada itu, jurulatih kecergasan, Natasha Zainal menegaskan, menurunkan berat badan merupakan satu perjalanan yang panjang maka, senaman juga perlu dilakukan berfasa seperti dimulakan dengan yang ringan, sederhana dan berat supaya badan tidak terkejut selain mengelakkan kecederaan.

“Pada peringkat awal boleh dimulakan dengan jogging perlahan, berenang dan berbasikal selama 30 minit tetapi pastikan anda melakukan pemanasan sebelum membuat aktiviti kecergasan dan penyejukan sesudahnya. Ia juga bagi menormalkan kembali badan selain mengelakkan sebarang kecederaan.

“Aktiviti itu boleh dilakukan setiap hari kecuali senaman berintensiti tinggi kerana ia mengerah otot bekerja dengan lebih kuat,” ujarnya yang merupakan jurulatih kecergasan terlatih sejak empat tahun lalu.

Motivasi

Tambahnya, senaman yang membakar banyak kalori ialah senaman berintensiti tinggi. Sebagai contoh, lakukan senaman tahap itu selama 20 saat kemudian berehat selama 10 saat dan buat ulangan set.

Senaman berintensiti tinggi boleh dilakukan sebanyak empat set dan setiap satu set memakan masa selama empat minit.

“Anda juga perlu kenal pasti jenis senaman yang sesuai dengan badan dan mencari kawan yang mempunyai matlamat sama untuk meningkatkan motivasi diri,” tuturnya yang merupakan jurulatih kecergasan TasVengers.

Kongsinya lagi, untuk kurus terdapat tiga aspek penting iaitu 70 peratus pemakanan, 20 peratus senaman dan 10 peratus adalah gaya hidup.

“Sepanjang menjalani rutin penurunan berat badan itu, ia perlu dilalui dengan gembira dan jangan sesekali rasa tertekan kerana akan membantutkan proses tersebut.

“Badan yang stres dan tidak gembira akan merembeskan hormon kortisol, ia bertindak memerangkap lemak sehingga menyukarkan proses pembakaran lemak,” tuturnya.

Menurunkan berat badan bukan sahaja berkaitan aspek memperbaiki penampilan bahkan kesihatan, lantas ia menjadi antara azam tahun baharu yang popular dalam kalangan masyarakat.