Menerusi perkongsian yang dimuat naik akaun Twitter, Twt_Muzik bertarikh 28 Julai tersebut, banyak respons ditinggalkan khalayak, terutama peminat muzik Malaysia.

Rata-rata melahirkan rasa kurang percaya apabila melihat senarai lagu yang diharamkan penyiarannya pada waktu tersebut.

Masing-masing menyifatkan, lagu-lagu tersebut tidak menggambarkan sebarang kandungan lirik lucah sehingga dirasakan kurang sesuai untuk tidak dimainkan.

Bagaimanapun, pengharaman sesebuah lagu tidak hanya tertakluk pada kandungan lirik. Menerusi artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 April 1989, selain lirik kurang sesuai, RTM juga berhak mengharamkan sesebuah lagu jika penulisannya kedengaran sumbang atau melodi tidak sedap untuk didengar.

Selain itu, lagu-lagu saduran dan karya yang tidak mempunyai keaslian gubahan juga turut tidak boleh diputarkan. Dalam erti kata lain, RTM begitu menitikberatkan soal kualiti dalam penerbitan lagu.

Situasi berkenaan bagaimanapun merupakan cerita puluhan tahun lalu iaitu ketika khalayak masih bergantung penuh terhadap RTM untuk mendapatkan kandungan hiburan.

Kini, dengan adanya pelbagai stesen radio dan televisyen swasta serta platform digital seperti YouTube, Spotify dan Apple Music, kekangan seperti apa yang diaplikasikan RTM sebelum ini seperti tidak boleh diterima pakai.

Subjektif

Menurut penyanyi dan komposer Hael Husaini, pengharaman yang dikuatkuasakan RTM sekitar tiga dekad lalu dilihat sebagai satu inisiatif untuk menjaga bahasa dan budaya Melayu yang ada di Malaysia.

Namun, peraturan tersebut sepatutnya tidak relevan pada masa kini memandangkan gaya penerbitan muzik juga sudah jauh berubah.

“Apa yang RTM lakukan suatu ketika dahulu adalah untuk menjaga budaya dan bahasa. Namun, apa yang dilakukan dahulu seperti tidak boleh digunakan untuk hari ini. Maklumlah, dengan keupayaan untuk mencapai kandungan hiburan di hujung jari, khalayak bebas untuk memilih kandungan hiburan masing-masing,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengharaman lagu berdasarkan faktor tidak sedap untuk didengar, Hael berkata, perkara tersebut merupakan satu hal yang sangat subjektif untuk dibincangkan.

“Menentukan sesebuah lagu sebagai sedap atau tidak, bukanlah satu perkara yang mudah. Menentukan sesebuah lagu berkualiti juga bukan satu hal yang pasti.

“Alasannya, setiap orang mempunyai cita rasa berbeza. Mungkin bagi sesetengah orang, lagu yang mempunyai 1,000 instrumen dianggap bagus, manakala untuk kelompok pendengar lain, lagu dengan satu instrumen sudah memadai,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32 dan 33 itu turut menjelaskan, kualiti pada sesebuah lagu hanya boleh dijurikan oleh pendengar yang menikmati muzik berkenaan.

“Akhirnya, keputusan terletak pada tangan pendengar. Jika mereka suka muzik yang didengar, mereka akan menganggap lagu tersebut sebagai berkualiti,” katanya lagi.

Kreatif

Bersetuju dengan apa yang diutarakan Hael Husaini, Faizal Tahir yang turut bergelar penyanyi dan komposer beranggapan bahawa tidak ada lagu yang layak dilabel sebagai kurang sedap atau tidak berkualiti.

Ujar penyanyi lagu Dirgahayu itu, setiap lagu yang diterbitkan merupakan hasil penat lelah seseorang penyanyi atau komposer di studio rakaman.

“Tidak dinafikan, kualiti dalam sesebuah lagu sebenarnya penting, tetapi saya bukanlah berada di kedudukan tepat untuk meletak label karya orang lain.

“Namun, apa yang saya amalkan sebelum menerbitkan sesebuah lagu atau memberikan karya kepada penyanyi lain adalah memastikan material tersebut dalam keadaan elok dan cantik,” katanya.

Bercakap tentang proses kreatif penghasilan lagu, Faizal tidak mempunyai sebarang susur masa untuk menggarap sebarang karya.

“Saya tidak mempunyai formula khusus untuk menerbitkan lagu. Muzik bukan matematik.

“Ada lagu mengambil masa seminggu untuk disiapkan, manakala lagu lain pula mengambil masa selama empat tahun sebelum diterbitkan,” katanya.

Demo

Tidak seperti Hael dan Faizal yang meletakkan nilai kualiti pada sesebuah lagu sebagai suatu hal yang tidak boleh dinilai, lain pula pendapat diutarakan penerbit, penggubah dan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

Menurut Aubrey, sesebuah lagu boleh dikategorikan sebagai tiada kualiti berdasarkan susunan muzik dan gaya penerbitan yang mentah.

“Lagu yang kurang berkualiti selalunya kedengaran mentah. Kadangkala, lagu yang dimainkan radio kedengaran persis sebuah demo sahaja.

“Saya tidak boleh menyalahkan penyanyi semata-mata. Penggubah yang menerbitkan lagu tersebut perlu bertanggungjawab ke atas karyanya sebelum dinyanyikan si penyanyi.

“Jika lagu kedengaran kurang berkualiti, nama komposer juga akan tercemar,” ujar Aubrey.

Menurut pengarah muzik bagi kebanyakan konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, komposer seharusnya memainkan peranan penting dalam penerbitan sesebuah lagu dan tidak seharusnya menawarkan pakej bayaran berbeza mengikut bajet artis.

“Jika tidak boleh menerbitkan lagu dengan bajet yang dicadangkan oleh penyanyi atau syarikat rakaman, lebih baik jangan terima tawaran berkenaan.

“Jangan beri pilihan pakej bayaran murah kepada syarikat rakaman dan hasil akhirnya kelak mencemarkan kredibiliti komposer itu sendiri,” ujar Aubrey menutup bicara.

Kualiti sesebuah lagu bersifat subjektif dan selalunya dinilai mengikut cita rasa dan selera muzik berbeza.