Setibanya di sana, pengembara tersebut telah disambut oleh penduduk tempatan dan diberikan kalungan berupa beberapa kulit siput darat yang cantik dan berwarna-warni.

Menurut laporan National Geographic, pada waktu itu, kepulauan Hawaii dihuni oleh berpuluh-puluh ribu ekor siput darat. Dikatakan bahawa, untuk mengumpul 10,000 ekor siput pokok dalam masa satu hari cukup mudah kerana ia boleh di dapati di mana-mana sahaja.

Selain itu, pulau yang terletak di tengah-tengah Lautan Pasifik itu dikatakan tidak mempunyai cacing tanah asli. Maka, siput darat telah menjadi agen untuk mengurai bahan organik di sebahagian besar kawasan di Hawaii.

Selepas beberapa dekad, bilangan siput darat daripada spesies Achatinella apexfulva itu semakin berkurangan, malah kian diancam kepupusan.

Bilangan siput tropika yang hanya boleh ditemui di Hawaii itu semakin merosot disebabkan oleh faktor serangan pemangsa seperti tikus dan bengkarung Jackson yang dibawa masuk oleh orang asli Kenya ke pulau tersebut untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila sejenis siput kanibal dikenali sebagai rosy wolfsnail daripada keluarga Spiraxidae telah dibawa masuk dari Florida, Amerika Syarikat ke Hawaii pada sekitar tahun 1950-an untuk mengawal populasi serangga perosak yang memakan tanaman penduduk.

Sedar dengan apa yang berlaku, seorang ahli biologi invertebrata mula melahirkan kebimbangan selepas melihat spesies siput istimewa itu semakin jarang ditemui.

Bagi mengelak spesies siput darat itu daripada lenyap di muka bumi, para saintis yang diketuai oleh ahli biologi hidupan liar tempatan, David Sischo telah membawa 10 ekor siput Achatinella apexfulva itu ke sebuah makmal di Universiti Hawaii dalam cubaan untuk membiakkannya ada tahun 1997.

Bagaimanapun, usaha untuk memulihara siput tersebut gagal apabila kesemua induk dan anak siput itu mati beberapa tahun kemudian kecuali seekor sahaja siput yang diberi nama George.

Kehidupan sunyi

Kematian misteri itu hanyalah permulaan dalam membicarakan tentang tanggungjawab manusia terhadap memulihara alam sekitar yang telah memberi kesan terhadap kehancuran populasi siput di Hawaii.

Sebagai satu-satunya spesies siput Achatinella apexfulva tunggal yang masih bertahan, George dianggap cukup istimewa. Spesies terakhir siput Achatinella apexfulva yang menetas sekitar tahun 2000 itu bagaimanapun terpaksa menjalani kehidupan yang sangat sunyi.

“George hidup bersendirian di dalam sebuah kurungan di makmal siput di Kailua, Hawaii bersama 30 spesies siput hampir pupus lain,” ujar Sischo.

Namun, segala-galanya kini telah berakhir. Satu-satunya spesies siput darat yang hanya boleh ditemui di Hawaii itu akhirnya mati, selepas 14 tahun menjalani kehidupan sunyi di dalam makmal.

George dilaporkan mati semasa sambutan tahun baru lalu pada usia 14 tahun kerana telah dianggap terlalu tua bagi meneruskan kehidupan bagi jangka hayat siput. Kematian George telah disahkan Jabatan Tanah dan Sumber Alam Semula Jadi Hawaii.

Menurut Sischo, sepanjang hayat siput itu di dalam kurungan, George lebih gemar bersendirian dan sangat jarang dilihat keluar daripada cangkerangnya.

Sama seperti George, siput merupakan sejenis haiwan yang bersifat hermafrodit iaitu mempunyai kedua-dua organ pembiakan jantan dan betina.

“Bagaimanapun, siput daripada spesies Achatinella apexfulva seperti George tidak dapat mempamerkan jantinanya tanpa pasangan.

“Oleh sebab itu, George tidak dapat mengawan dan membiak kerana ia satu-satunya siput Achatinella apexfulva yang tinggal, sekali gus menyebabkan spesiesnya pupus,” ujarnya.

Kura-kura terakhir

Berdasarkan kajian yang dijalankan penyelidik, siput Achatinella apexfulva mempunyai tempoh usia ‘remaja’ yang agak panjang dan hanya akan mengawan beberapa kali setahun pada usia empat atau lima tahun.

Menariknya, siput Achatinella apexfulva berbeza dengan spesies siput lain yang selalu digambarkan sebagai haiwan perosak tanaman.

Sebaliknya siput spesies tersebut banyak membantu dalam proses penanaman pokok dengan memakan kulat pada daun, sekali gus melindungi pokok daripada penyakit.

“Bagaimanapun, penduduk Hawaii pada waktu itu tidak menyedari kepentingan siput Achatinella apexfulva, malah tidak kisah sekali pun kepupusan siput tersebut dari hari ke hari,” ujar Michael Hadfield, seorang ahli biologi invertebrata yang pernah menjalankan program siput Achatinella apexfulva bersama produksi dokumentari, National Geographic.

Hadfield yang mula menjalankan kajian terhadap siput pada tahun 1970-an mendakwa, populasi siput di Hawaii mula diancam kepupusan sekitar awal tahun 1980-an.

Namun, pada waktu itu, tiada langkah proaktif diambil oleh para saintis kerana merasakan siput darat tidak mungkin akan pupus dan akan membiak sendiri secara semula jadi.

Sehinggalah populasi siput Achatinella apexfulva semakin hancur, saintis mula memelihara siput tersebut dengan membawanya ke makmal untuk pembiakan, namun tidak berjaya.

Panggilan George telah diberikan pada siput tunggal itu, menyamai dengan nama seekor kura-kura terakhir yang hidup di Pulau Galapagos, di Ecuador. Kura-kura tersebut yang diberi nama Lonesome George bagaimanapun mati pada tahun 2012 sewaktu berusia 102 tahun.

Lambang budaya

Kematian George, seekor siput darat asli yang mendiami Pulau Hawaii ternyata telah memberi tamparan hebat buat penyelidik, khusus ahli biologi kerana telah kehilangan khazanah asli yang tidak mungkin boleh ditemui lagi di dunia.

Berdasarkan cerita rakyat masyarakat asli Hawaii iaitu kaum Kanaka Maoli, mereka percaya bahawa siput sangat penting dan menjadi salah satu lambang dalam kebudayaan mereka.

“Kaum Kanaka Maoli percaya bahawa siput digambarkan sebagai haiwan yang boleh menyanyi,” dakwa Hadfield.

Jika dahulu, siput Achatinella apexfulva mudah dikutip dengan hanya menggoncangkan pokok dan dikumpul di dalam bakul, kini penempatan siput darat itu ibarat seperti ‘bandar hantu’ apabila spesies tersebut tidak lagi ditemui.

Kepupusan spesies siput darat Hawaii itu secara amnya terjadi akibat tekanan yang dibawa dari luar dan juga pembangunan pesat yang terjadi di pulau yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna itu.

Menurut Hadfield, banyak hidupan yang terdapat di pulau itu tidak mempunyai ketahanan semula jadi untuk melawan pemangsa mamalia lain selain serangan penyakit yang dibawa dari tanah besar ke pulau tersebut.

Kematian George yang merupakan seekor siput mungkin dianggap sebagai kematian siput biasa. Namun sejarahnya, siput Achatinella apexfulva adalah siput pertama di Hawaii yang ditulis oleh pengkaji sains dari Barat.

Seekor siput darat Hawaii spesies Achatinella apexfulva akhirnya pupus selepas
satu-satunya haiwan bercangkerang tunggal bernama George mati pada usia 14 tahun.