Pertemuan kami bermula di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, bukan di dalam pejabat berhawa dingin, sebaliknya di sebuah bangku putih di kawasan luar salah satu fakulti di universiti tersebut. Dari perbualan di situ, kami beralih ke rumahnya yang dipanggil teratak di Petaling Jaya. Jarang sebenarnya seseorang itu sanggup melayani wartawan dari tempat kerja sehingga ke kediaman.

Di dalam rumah tokoh sejarawan, penganalisis politik dan sukan ini penuh dengan seni bina kayu. Ternyata, Kay Kim seorang yang amat menggemari elemen warisan. Begitu teruja sewaktu berbicara mengenai sejarah, penulis amat mengingati ungkapan kata individu yang pernah digelar pakar sejarah nombor satu negara itu.

“Saya bukan menghafal tetapi mengingati sejarah. Menghafal dan mengingati itu berbeza. Hafal mungkin tak faham, tetapi ingat kerana kita faham,” katanya dalam pertemuan tersebut sekitar Januari 2009 sekali gus menggambarkan bagaimana dirinya mempunyai keupayaan untuk bercakap mengenai selok-belok sejarah dengan begitu petah.

Lelaki penuh patriotisme itu juga berkobar-kobar menitip pesan agar akar persefahaman dan keharmonian di negara ini dapat terus dipertahankan.

Kini, senyum ramah dan ketokohannya hanya tinggal kenangan. Insan terkemuka yang begitu arif dan sering menjadi pakar rujuk tentang sejarah khususnya sejarah Malaysia sehingga pernah diumpamakan seperti senaskhah buku sejarah itu telah tiada.

Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam. Bapa kepada tiga cahaya mata itu meninggal dunia pada pukul 10.13 pagi.

Anak kedua mendiang, Rubin Khoo, 47, memaklumkan bapanya pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada Oktober tahun lalu dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.

Dilahirkan di Kampar, Perak, lelaki bukan Melayu itu sangat menggemari bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu. Mendiang pernah bercerita yang minatnya terhadap bahasa Melayu bukan timbul di dalam bilik darjah sebaliknya sewaktu dibawa ibu bapanya semasa kecil ke pesta hiburan yang turut menampilkan persembahan teater bangsawan.

“Di situlah saya menonton pementasan teater bangsawan dan bermacam-macam acara kesenian. Dari situlah saya mula mengenali budaya Melayu dan meminati bahasa Melayu,” kata suami kepada Puan Sri N. Rathimalar itu yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris, Anglo Chinese School, Kampar dalam temu bual sedekad lalu itu.

Rukun Negara

Minatnya dalam bahasa Melayu terbukti apabila mendiang turut mengambil jurusan Pengajian Melayu sebagai jurusan minor ketika melanjutkan pengajian di UM, Singapura dalam jurusan Sastera Inggeris sebagai major. Selain Pengajian Melayu, beliau juga mengambil jurusan Sejarah sebagai minor.

Kay Kim yang memulakan kerjaya di UM sejak 1964 sebagai tutor sebelum bergelar pensyarah juga merupakan salah seorang yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada tahun 1969.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Pemangku Ketua Jabatan Sejarah pada tahun 1973.

Sementara itu, salah seorang anak murid mendiang yang juga merupakan sejarawan terkenal, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berpendapat, Kay Kim merupakan seorang tokoh sejarah Malaysia yang unggul.

Beliau yang pernah menjadi anak murid kepada Kay Kim di UM pada tahun 1970-an berkata, gurunya itu merupakan individu yang bertanggungjawab mengasaskan subjek Sejarah Malaysia.

Ujarnya, Kay Kim juga telah mencetuskan idea supaya setiap pelajar yang mengambil subjek tunggal Sejarah Malaysia di UM supaya menyiapkan tesis mini atau latihan ilmiah.

“Menerusi tesis mini ini, banyak kajian telah dilakukan mengenai masyarakat tempatan sama ada budaya, ekonomi, pendidikan, makanan dan aktiviti.

“Kajian-kajian ini sangat penting kepada Jabatan Sejarah UM khususnya dan negara secara amnya sebagai satu rekod,” katanya ketika dihubungi K2 semalam.

Telus

Menurut Ramlah, selama empat dekad mengenali Kay Kim, mendiang merupakan seorang tokoh dan rakan yang sangat profesional dalam menjalankan tugas.

Ujarnya, mendiang banyak memberi komen dan pendapat di dalam media atau forum secara profesional dengan bidang kajian dan kepakarannya.

“Mendiang seorang yang suka membuat kajian dan mengadakan perbincangan dalam menyelesaikan sesuatu isu berbangkit mengenai sejarah di negara ini.

“Beliau memberi komen dan pendapat mengenai sejarah secara telus tanpa mengikut emosi atau perasaan rasis,” terangnya sambil memaklumkan mendiang juga merupakan individu yang memperkenalkan konsep masyarakat majmuk.

Mengenali Kay Kim secara peribadi, Ramlah berpendapat, mendiang merupakan seorang yang tenang dan cool ketika di dalam kuliah.

Cerita beliau, sewaktu dalam bilik kuliah, mendiang gemar bercerita mengenai kisah-kisah masyarakat dan isu-isu semasa berkaitan bola sepak.

Katanya, ini secara tidak langsung membuatkan para pelajarnya menjadi tertarik dengan pendapat dan cerita-cerita yang ditampilkan oleh Kay Kim.

“Di dalam kelas, mendiang tidak akan beri apa-apa nota kepada pelajar. Sebaliknya, beliau meminta pelajarnya pergi ke perpustakaan.

“Mendiang ingin melatih para pelajarnya supaya berdikari dan banyak membaca buku-buku sejarah,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim menyatakan mendiang kekal berkhidmat sebagai profesor di jabatan hingga kini.

“Seluruh warga UM merakamkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau. Kami sesungguhnya turut merasai kehilangan seorang lagenda dalam dunia akademik dan sejarah, bukan sahaja di peringkat universiti tetapi juga di peringkat negara,

“Jasa, sumbangan dan pengorbanan beliau yang tidak ternilai akan sentiasa dikenang dan tetap utuh di minda dan hati warga UM serta lipatan sejarahnya sampai bila-bila,” katanya.