TANGGAL 11 Julai 1995 tidak pernah dilupakan Hatidza Mehmedovic.

Perasaan galau menyelubungi hatinya tatkala tentera Serbia Bosnia beragama Kristian secara tiba-tiba masuk menyerang gudang kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Srebrenica, Utara Bosnia-Herzegovina (Bosnia).

Gudang yang sepatutnya menjadi tempat berlindung paling selamat buat penduduk Islam wilayah Srebrenica berubah kacau-bilau dengan kesemua penduduk dipaksa beratur mengikut jantina.

Konflik Perang Bosnia antara etnik Serbia Bosnia dengan Muslim Bosnia itu yang sebelum ini hidup di bawah jajahan Yugoslavia bukan baharu.

Ia tercetus bermula 6 April 1992 apabila etnik Serbia Bosnia tidak mahu menyokong kemerdekaan diberikan Bosnia.

Serbia mahu membuat pengisytiharan negara mereka sendiri di bawah nama Republik Srpska.

Mereka juga mahu menguasai Bosnia yang majoritinya dihuni penduduk Islam. Disebabkan itu, mereka mahu menghapuskan etnik Muslim Bosnia.

Diketuai oleh komander tentera Serbia Bosnia, Ratko Mladic, beberapa kawasan di Bosnia termasuk ibu negara, Sarajevo dikepung termasuk Srebrenica.

Tidak memikirkan keselamatan diri, seluruh jiwa dan raganya menggeletar saat rangkulan kejap tangan pada lengan suami tercinta, Abdullah direntap kasar oleh kumpulan tentera tanpa sedikit pun simpati.

Kumpulan tahanan lelaki termasuk Abdullah, dua cahaya mata mereka, Almir dan Azmir, dua abang kandung Hatidza, Edhem dan Hamed kemudian disuruh berjalan secara berbaris melalui pinggir hutan.

Dibunuh

Sementelah wanita dibawa menaiki bas ke bandar Kladanj, sebuah bandar berdekatan.

“Saya sempat memegang tangan Lalo (panggilan manja Almir), dan menariknya rapat ke dada. Namun, pelukan itu tidak lama. Kumpulan tentera segera menarik Lalo penuh kekasaran meleraikan genggaman tangan seorang ibu kepada anak bongsunya.

“Suami sempat meyakinkan saya bahawa, kami akan bertemu dalam dua atau tiga hari lagi. Namun, mereka kemudian dikhabarkan hilang. Saya tahu, mereka sudah dibunuh,” kongsinya dalam satu temu bual bersama akhbar New York Times pada tahun 2009.

Benar telahannya, kesemua ahli keluarga lelakinya itu pergi tidak kembali lagi.

Keluarganya menjadi antara 8,372 orang Islam Srebrenica yang majoritinya pemuda dan kanak-kanak lelaki dibunuh sama ada ditanam hidup-hidup, ditembak mahupun dikerat anggota badan dalam tragedi genosid ataupun pembunuhan beramai-ramai terbesar di Eropah itu.

Bukan hanya kerana ribuan nyawa tidak berdosa melayang pada serangan tersebut, namun, kerana ianya bagaikan jelmaan peristiwa cubaan penghapusan etnik Yahudi oleh tentera Nazi di Polandia, Jerman pada tahun 1939 dahulu dalam era lebih moden.

Lebih parah, tindakan kejam itu juga bagaikan ‘direstui’ oleh badan dunia termasuk PBB dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Keadilan

Tidak menghalang apatah lagi menghukum mereka yang bertanggungjawab, pihak berkuasa berlagak seolah-olah tidak terdaya untuk melakukan sebarang tindakan sedangkan etnik Serbia ketika itu tidak dilengkapi peralatan canggih waima mempunyai bilangan tentera yang ramai.

Itu sedikit sebanyak gambaran peristiwa pembunuhan kejam yang menyentak nilai kemanusiaan seperti yang diceritakan oleh Hatidza, nama yang tidak asing lagi dengan perkara berkaitan keadilan untuk mangsa dan keluarga pembunuhan di Srebrenica.

Tidak klise seperti kebanyakan cerita sedih yang berlaku di seluruh dunia, kehilangan insan tercinta telah membawa perubahan kepada wanita berasal dari Sarajevo itu.

Menurut seorang wakil badan berkecuali, Persatuan Orang Teraniaya (STP) Eropah, Jasna Causevic, Hatidza memulakan langkah perjuangannya dengan cukup teliti dan strategik iaitu dengan mendapatkan bantuan dan nasihat untuk menubuhkan sebuah persatuan mewakili mangsa di Srebrenica.

“Pada tahun 2002, Hatidza yang ketika itu dibawa menetap di daerah Sarajevo oleh PBB meluahkan hasratnya untuk mendapatkan sokongan kami untuk menubuhkan sebuah persatuan dianggotai ibu-ibu yang kehilangan keluarga lelaki di Srebrenica.

“Kami cukup kagum dengannya kerana hala tuju perjuangan persatuan yang mahu diwujudkan cukup jelas. Beliau bukan mahu membalas dendam. Sebaliknya, matlamatnya adalah untuk memberi kesedaran kepada seluruh dunia tentang pentingnya nilai keamanan dan perpaduan,” ceritanya.

Bertitik tolak daripada itu, Hatidza pulang ke kampung halamannya di Srebrenica dan mula melancarkan kempen mengajak mangsa terselamat untuk menyertai persatuannya diberi nama Ibu-Ibu Srebrenica meskipun tindakannya dicerca penduduk Serbia yang menetap di situ.

Kubur besar

Luhur kasihnya berjaya menambat hati ramai wanita seterusnya menjadi ahli. Antaranya ialah Munira Subasic yang berada di barisan hadapan persatuan itu sejak dari awal penubuhannya lagi.

Antara usaha dilakukan persatuan tersebut termasuklah menggesa penglibatan penyiasat antarabangsa untuk mencari semula mayat mangsa pembunuhan di lebih 100 buah kubur besar yang digali pihak tentera Serbia terdahulu untuk menyembunyikan jenayah mereka.

Beliau juga berhasil memohon kawasan perkuburan bagi menempatkan kesemua mayat yang ditemui hampir setiap tahun bermula sekitar tahun 2007.

Hatidza sendiri akhirnya bertemu jasad tidak sempurna suami dan anaknya pada tahun 2010 yang diklasifikasikan pakar forensik sebagai dipotong kepada beberapa bahagian sebelum ditanam.

Konsistensi perjuangannya melalui piket dan kempen tanpa henti sejak tahun 2002, menyebabkan Karadzic menerima hukuman penjara selama 40 tahun oleh Mahkamah PBB pada tahun 2016.

Sementelah Mladic yang digelar Penyembelih Bosnia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada November tahun lalu.

Dikenali dalam kalangan Muslim Eropah dan aktivis kemanusiaan seluruh dunia, kisah pahit di sebalik perjuangan Hatidza atau lebih dikenali sebagai Ibu Srebrenica kini kembali menghiasi dada akhbar di seluruh dunia.

Menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun di Hospital Sarajevo angkara menderita sakit barah payudara pada 22 Julai lalu, pemergian Hatidza disifatkan sebagai kehilangan yang cukup besar dalam arena perjuangan keamanan dunia.

Majlis pengebumiannya yang berlangsung di pinggir sebuah bandar di Srebrenica dihadiri ribuan orang dalam keadaan suram.