AHAD lalu, suasana suram menyelubungi bandar raya Lahore, Pakistan apabila Munizae Jahangir me­ngumumkan kematian ibunya, Asma Jahangir akibat serangan jantung.

Asma yang merupakan seorang pejuang hak asasi manusia paling dihormati di Pakistan menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga pada usia 66 tahun.

Pemergian Asma ditangisi seluruh rakyat Pakistan, khususnya golongan wanita yang melihat sendiri bagaimana ibu kepada tiga orang anak itu memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan membabitkan golongan wanita.

Seorang lagi aktivis popular Pakistan, Malala Yousofzai melahirkan rasa sedih atas pemergian Jahangir menerusi laman Twitternya, @malala.

“Saya cukup sedih kerana kita kehilangan Asma Jahangir, pejuang demokrasi yang cukup dihormati.

“Saya baru bertemu dengan ­Allahyarham pada minggu lalu di Oxford, United Kingdom. Sukar untuk saya percaya bahawa beliau sudah meninggalkan kita,” tulisnya.

Lantang mengkritik

Malala turut memuat naik dua keping gambarnya bersama Asma dalam satu persidangan yang dihadiri mereka dan ia dikongsi lebih 17,000 kali oleh pengguna Twitter.

Semasa hayatnya, Asma se­ring mempertahankan serta memperjuangkan hak kaum wanita di Pakistan. Antaranya termasuklah menubuhkan sebuah firma guaman wanita pertama di negara itu pada tahun 1980.

Selain itu, Asma juga me­nubuhkan Forum Tindakan Wanita (WAF) yang merupakan sebuah kempen menentang diskriminasi terhadap kaum wanita.

Asma dalam satu kenyataan pada tahun 1982 berkata, golongan wanita di Pakistan tidak seharus­nya disisihkan.

“Undang-undang di Pakistan seharusnya diubah kerana golongan wanita mendapat hak yang cukup sedikit berbanding lelaki.

“Wanita di Pakis­tan tidak boleh terus tersisih sementara wanita-wanita di negara lain terus maju,” ujarnya.

Kelantangannya dalam mengutarakan pendapat serta mengkritik peme­rintahan tentera Pakistan menjadikan Asma cukup dihormati oleh rakyat negara itu.

Warisi keberanian

Dilahirkan pada 27 Januari 1952 dalam sebuah keluarga berada, Asma sudah didedahkan dengan dunia politik ketika di bangku sekolah menengah.

Bapanya, Malik Ghulam Jilani merupakan seorang pegawai kerajaan dan ahli politik yang sering dipenjara kerana melawan peme­rintahan diktator tentera Pakistan.

Wanita berkaca mata yang juga merupakan seorang peguam itu dipercayai mewarisi keberanian serta kelantangan bapanya.

Sebaik tamat persekolahan, Asma kemudian melanjutkan pe­ngajian dalam bidang undang-undang di Universiti Punjab, Lahore.

Pembabitan pertamanya dalam dunia politik adalah pada tahun 1969. Ketika itu, Asma menyertai satu perarakan bersama sekumpulan wanita lain menuju ke kediaman Gabenor Punjab.

Pada tahun 1983 pula, Asma pernah ditahan di dalam rumahnya sendiri selepas berkempen untuk hak asasi manusia dan demokrasi di bawah pemerintahan Jeneral Muhammad Zia-ul-Haq.

Biarpun cukup disegani dan dihormati oleh rakyat Pakistan, Asma terpaksa menghadapi tindakan keras daripada pihak tentera Pakistan terhadapnya.

“Saya pernah diserang kerana menginginkan perdamaian antara Pakistan dengan India.

“Ada yang menuduh saya sebagai duri dalam daging dan menggelar saya sebagai perisik India,” ujarnya seperti dipetik portal New York Times.

Asma juga dianggap sebagai ikon kepada golongan yang ditindas.

Maryam Nawaz Sharif yang merupakan anak bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif cukup menyanjungi beliau atas perjuangannya.

“Dia merupakan ikon suara kepada golongan yang ditindas di Pakistan dan oleh kerana itulah dia selayaknya disanjungi,” ujar Maryam.

Semasa hayatnya, Asma pernah disenaraikan oleh majalah Time sebagai antara 100 tokoh paling berpengaruh dunia.