Pada sebelah malamnya, dia menyalurkan rahsia kepada ketua tentera Komunis Hanoi yang ketika itu bersedia untuk melancarkan serangan.

Thi Hoa merupakan salah seorang daripada skuad Perfume River iaitu sebuah unit tempur wanita yang ditubuhkan oleh Komunis Hanoi pada tahun 1967.

Skuad berkenaan sentiasa melaungkan slogan propaganda komunis: “Apabila musuh datang ke rumah anda, wanita juga perlu berjuang.”

Bertugas dalam wilayah musuh, unit itu memainkan peranan penting ketika Serens Tet pada 1968 dan kebanyakan ahlinya terdiri daripada golongan remaja.

Pada 31 Januari lalu, sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan unit tersebut telah diadakan di bandar Ho Chi Minh.

Pemilihan tempat tersebut sebagai memperingati kegagalan tentera Amerika Syarikat (AS) menguasai bandar tersebut.

Perjuangan unit tersebut juga membawa kepada penarikan balik tentera AS di Vietnam.

Kebanyakan anggota dalam unit tersebut memainkan peranan sebagai mata-mata, pemandu, tukang masak, penghantar surat dan jururawat.

Menyamar sebagai peniaga jalanan, Thi Hoa mengumpul maklumat berkaitan pergerakan musuh di bandar Hue kepada komandan komunis di kawasan utara.

“Saya ingin membebaskan diri, memerdekakan tanah air dan kaum wanita. Saya tidak ada jalan lain kecuali menyertai revolusi ini,” kenangnya.

Dua tahun kemudian, Thi Hoa menyertai unit Perfume River yang dinamakan sempena sungai yang menghubungkan bandar Hue.

Peranannya sangat berisiko sehingga dia tidak memberitahu keluarganya.

Hue yang merupakan bandar ketiga terbesar di Vietnam itu mula terjerumus dalam kancah peperangan pada 31 Januari 1968.

Peperangan yang bermula di Saigon itu telah mengejutkan tentera AS dan sekutunya, Vietnam Selatan.

Peperangan tersebut telah mengorbankan lebih 58,000 orang di utara negara Asia Tenggara itu.

Serang itu juga telah menyebabkan bandar Hue jatuh ke tangan Komunis Hanoi selama beberapa hari.

Bagaimanapun, tentera AS bersama sekutunya telah menyerang Hue bagi merampas kembali bandar tersebut.

Tugasan

AS mengambil masa selama 26 hari untuk menewaskan Komunis Hanoi sekali gus menjadikannya sebagai pertempuran paling lama dan dahsyat di Vietnam.

Ketika peperangan tersebut, unit Perfume River dipanggil untuk mengangkat pejuang yang cedera.

Bukan itu sahaja, para wanita unit tersebut turut menggali kubur besar di sekitar pasar dan stadium untuk tentera yang terkorban.

Menurut Thi Hoa, unit berkenaan juga terpaksa menggunakan bom dan senjata AK-47 dalam pertempuran bagi meneruskan hidup.

“Kami hanya menembak. Jika kami tidak menembak, musuh akan tembak kami,” ujar Thi Hoa.

Pengarang buku Hue 1968, Mark Bowden berkata, penggunaan pejuang wanita menunjukkan betapa terdesaknya Komunis Hanoi.

“Semua orang terlibat dalam pertempuran pada masa itu termasuk wanita muda,” ujarnya.

Usaha kaum Hawa Vietnam itu telah diiktiraf menerusi puisi yang disampaikan oleh pemimpin revolusi Hanoi, Ho Chi Minh.

Beliau memuji tindakan unit Perfume River dalam menghancurkan tulang belakang tentera AS.

“Ketika kami mendapat surat itu, semua orang menangis. Kami terharu kerana sumbangan unit ini sangat kecil dan ramai yang terkorban,” ujar salah seorang Unit Perfume River, Hoang Thi No, 68.

Thi No dan Thi Hoa kerap melawat perkuburan beberapa rakan mereka yang telah terkorban di bandar Hue yang kini merupakan sebuah kawasan pelancongan terkenal.

Walaupun mereka berdua bukan unit wanita yang mengangkat senjata dalam Perang Vietnam, reputasi sebagai pejuang sangat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Unit Perfume River adalah sumber motivasi kepada tentera pembebasan dan wanita lain untuk menyertai perang,” ujar Pengarah Muzium Revolusi Hue, Cao Huy Hung.