Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor itu nekad menjual kedua-dua butiknya yang terletak di Bukit Bintang dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur kerana percaya setiap kejayaan itu bermula dengan sebuah pengorbanan.

Nama Amir Kadir sebelum ini gah berdiri sebaris dengan pereka fesyen terkenal tempatan sezaman ketika itu seperti Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Radzuan Radziwill, Salikin Sidek dan Bon Zainal.

Namun, anak bongsu daripada enam adik-beradik itu mengorak langkah ke luar negara kerana percaya dirinya mampu menggapai impian yang lebih besar.

Segalanya bermula sebaik selesai sahaja pertunjukan fesyen sekitar Kuala Lumpur pada penghujung tahun 2000.

Amir didatangi oleh individu berketurunan Arab dan ditawarkan untuk memulakan perniagaan di Kuwait sebagai seorang pengusaha butik.

“Saya ambil keputusan untuk berhijrah ke Kuwait kerana mahu mengembangkan bakat dalam bidang ini dan menimba pengalaman baharu.

“Ketika itu, saya rasa sudah tiba masa untuk keluar dan mencapai wawasan saya, bukan sebab sudah bosan dengan pasaran fesyen di sini.

“Penghijrahan saya ke Kuwait bukanlah mahu meraih nama semata-mata, tetapi mahu menjadi insan yang lebih berjaya,” tuturnya halus ketika ditemui Kosmo! di Seksyen 9, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Setibanya di Kuwait, terasa bagai ada suatu yang tidak kena. Impian bergelar rakan kongsi punah sejurus Amir mendapati dirinya ditipu oleh ‘Pak Arab’ berkenaan malah, Amir hanya dijadikan pekerja di butik milik lelaki tersebut.

Amir tiada pilihan lain selain dipaksa bekerja di sana kerana pasport dan visanya dipegang oleh individu tersebut.Lebih menyedihkan, hampir tiga bulan juga dia tidak diberi sebarang gaji malah terpaksa bergantung kepada duit hasil jualan butik di Malaysia untuk menyara diri.

Tidak tahan dengan penindasan tersebut, Amir nekad melarikan diri ke pejabat kedutaan Malaysia di Kuwait untuk membuat laporan.

Pengusaha butik tersebut akhirnya diarah untuk membayar kesemua tunggakan gaji serta menyerahkan semula pasport dan visanya.

Reda dengan ketentuan-Nya, Amir terus mencari pekerjaan sama di butik-butik di sekitar Kuwait.

Sehinggalah dia ditemukan dengan pemilik butik Yousef Al-Jasmi dan diberi kepercayaan bekerja sebagai perunding fesyen di Al Jasmi Bride.

Namanya mula melonjak naik semasa dia yang mewakili butik tersebut diberikan peluang memperaga beberapa rekaan terbaiknya dalam satu pertunjukan fesyen di Lebanon.

Sebaik selesai pertunjukan itu, wakil pihak pengurusan selebriti antarabangsa, Jennifer Lopez memaklumkan bahawa penyanyi itu berminat dengan rekaannya.

Kongsi Amir, pihak tersebut memintanya menghasilkan busana untuk dipakai bintang tersebut ke sebuah acara anugerah berprestij.

Gementar

Ketika itu, perasaannya sangat gementar bercampur takut kerana buat pertama kali diberi kepercayaan menghasilkan baju ikonik untuk ikon dunia.

“Saya hanya berurusan dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan saiz badan dan tidak berkesempatan berjumpa dengan dia.

“Itulah pertama kali saya mendapat ukuran saiz yang sangat teliti pada setiap bahagian badan malah, kami perlu membuat model patung bersaiz sebenar untuk melihat hasil busana itu.

“Hampir seminggu juga tidak tidur malam untuk menyiapkannya kerana ia sarat dipenuhi manik dan batu kristal. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar,” kongsinya.

Rentetan itu, Amir terus menghasilkan busana untuk penyanyi terkemuka Hollywood lain seperti Beyonce, Britney Spears, Mariah Carey, Paris Hilton, Taylor Swift dan Jessie J.

Bahkan, rekaan busananya juga menjadi pilihan golongan kerabat diraja Kuwait, Qatar, Bahrain termasuk Arab Saudi.

Bermula dari situlah nama Amir Kadir mula terus menyinar. Dia menjadi satu-satunya pereka berbangsa Melayu dari Malaysia yang berjaya dalam bidang fesyen di Asia Barat.

Jelas graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Rekaan Fesyen dari Paris American Academy di Paris, Perancis itu, bukan mudah untuk mencipta nama di sana.

Cabaran utama yang perlu dihadapi ialah penggunaan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi utama. “Hampir setahun juga saya ambil masa untuk belajar bercakap dengan pelanggan termasuk urusan tawar-menawar.

Mencabar

“Orang Arab ini perangainya akan tawar habis-habisan sesebuah rekaan baju itu sehingga harganya turun tidak masuk akal.

“Oleh itu, kita kena tahu kemahiran untuk mencapai persetujuan itu walaupun adakalanya ia berlarutan sehingga lebih lima jam,” jelasnya.

Meskipun begitu, ia sedikit pun tidak menjejaskan keindahan senario fesyen di Asia Barat. Amir menyifatkan industri fesyen di Kuwait adalah sangat menyeronokkan kerana ia lebih mencabar malah, jauh ke hadapan dalam konteks fesyen menjangkaui Paris dan Milan.

Setiap rekaan busana mewah di Kuwait akan menampilkan elemen moden dan glamor namun masih mengekalkan ciri-ciri sopan.

Lebih manis lagi apabila setiap rekaan busana mewah itu sanggup dibeli pada harga tinggi kerana nilai apresiasi yang menggunung terhadap produk fesyen itu.

“Kuasa beli masyarakat Asia Barat ini tinggi disebabkan mata wang yang besar, maka tiada masalah bagi mereka membeli busana pada harga melebihi Dinar Kuwait 25,000 (RM3.4 juta).

“Busana pada harga paling tinggi yang pernah saya hasilkan ialah 1.5 juta Dinar Kuwait (RM20.41 juta).

“Sebagai pereka, kita dapat rasakan hasil rekaan busana itu tinggi nilainya dan pada masa sama berbaloi atas segala penat lelah yang dilalui selama ini,” katanya.

Meskipun begitu, Amir terpaksa melepaskan segala kemewahan yang dikecapi dan pulang ke tanah air atas faktor kesihatan. Pada penghujung tahun 2015, dia terlantar di hospital selama tiga bulan di Kuwait disebabkan sakit tulang belakang disyaki akibat jangkitan kuman.

Justeru, Amir dinasihatkan oleh doktor pakar supaya memperlahankan sedikit kariernya bagi memberi ruang untuk pulih seperti sediakala.

Kepulangannya ke tanah air itu disifatkan sebagai membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Amir tekad untuk bangun semula dan berbakti dalam industri fesyen tanah air.

Sebagai mengukuhkan jenamanya di Malaysia, Amir telah membuka butiknya sendiri setinggi tiga tingkat yang terletak di Seksyen 9, Bangi, Selangor.

Butiknya itu bukan sahaja menawarkan busana pengantin tetapi menyediakan baju pengantin sedia pakai dan tempahan couture mengikut kepelbagaian peringkat kemampuan.

Menariknya, Amir turut menyediakan busana pada harga mampu milik supaya memberi pilihan kepada para peminat untuk menikmati busana hasil tangannya.

Amir yang mempunyai konsep rekaan tersendiri yakin masih mampu kembali ke arena fesyen tanah air.

Malah, kebanjiran pereka muda dalam dunia fesyen kini sedikit sebanyak membuka peluang perniagaan yang luas.

“Melihat lahirnya ramai pereka muda di Malaysia kini merupakan satu perkara yang baik untuk industri fesyen.

Kelas rekaan

“Saya tidak bersaing dengan sesiapa kerana kembalinya Amir Kadir ke Malaysia adalah untuk mewarnai industri fesyen negara. Jika pelangi itu ada tujuh warna, kita tambahkan warna kelapan.

“Selain itu, pereka-pereka fesyen muda juga dapat berkongsi ilmu daripada pereka berkredibiliti dan menggerakkan industri ini pada masa depan,” tuntasnya.

Amir berhasrat untuk mencari pelapis baharu menerusi kelas rekaan fesyen bermula awal 2018 nanti.

Katanya, pencarian aprentis tersebut akan dibuka kepada umum sambil memberi keutamaan kepada graduan dalam bidang rekaan fesyen.

Hal ini kerana Amir mahu menggunakan sebaiknya sumber tersebut dan membimbing mereka sehingga melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Rugi kalau bakat dan minat itu tidak dimanfaatkan.

“Lihat sahaja berapa ramai graduan bidang fesyen yang akhirnya bekerja dalam bidang sebaliknya. Pelapis baharu ini bukan demi saya, tetapi untuk kepentingan Malaysia,” ujarnya menutup bicara.

Kepulangan Amir Kadir ke tanah air membuka lembaran baharu dalam hidupnya sekali gus menambah rencah dalam industri fesyen tanah air berbekalkan 16 tahun pengalaman 
di Kuwait.