Pengarah Urusan Pusat Perubatan Qalam Laduni, Ustaz Mohamed Zaki Itam berpendapat, pengamal perubatan tradisional sepatutnya mendapatkan bantuan pihak hospital atau polis jika mereka tidak dapat mengendalikan pesakit yang mungkin berada dalam keadaan kritikal atau bertindak agresif.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! pada 28 April lalu berhubung kematian seorang lelaki selepas menjalani rawatan membuang saka di Puchong, Selangor dengan cara ditumbuk, ditendang dan dipijak oleh sekumpulan bomoh termasuk sepasang suami isteri.

Mangsa menerima rawatan tersebut di rumahnya bermula Selasa minggu lalu selama tiga hari. Dalam tempoh tersebut mangsa dikatakan diperlakukan sedemikian kononnya untuk membuang saka.

Insiden itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada Hospital Serdang yang memaklumkan mangsa dihantar ke hospital dengan kesan dibelasah di seluruh bahagian badan termasuk di bahagian perut.

Mohamed Zaki, 72, yang juga Timbalan Presiden Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia mendedahkan, beliau sendiri kerap menerima kedatangan individu yang mendakwa mempunyai saka.

“Setelah diperiksa tanda vital oleh jururawat terlatih yang bertugas di Qalam Laduni, kami dapati pesakit itu mengalami kemurungan atau menghadapi isu kesihatan lain seperti tekanan darah tidak stabil, degupan jantung pantas, insomnia, stres atau bacaan gula tinggi.

“Saya berpendapat, pengamal perubatan tradisional perlu melihat situasi yang dialami pesakit secara fizikal, mental, emosi dan spiritual,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bangi baru-baru ini.

Sangkal

Beliau yang secara peribadi menyangkal kewujudan saka selama penglibatannya dalam perubatan tradisional selama 40 tahun turut meluahkan rasa kesal dan berpendapat kepercayaan terhadap saka boleh membawa kepada perpecahan keluarga.

Menurutnya, jiwa kosong, faktor tekanan, gaya hidup tidak sihat, makan dari sumber yang mempunyai unsur syubhah serta tidak suci, tidak mendekatkan diri kepada Maha Pencipta menjadi antara sebab seseorang itu mengalami masalah kemurungan namun mengaitkan dengan saka tanpa usul periksa.

“Saya melihat sendiri anak meninggalkan ibu bapa atau cucu membuang datuk atau nenek mereka kerana masalah saka ini. Mereka jadi takut kepada darah daging sendiri kerana saka. Mereka sepatutnya dibantu bukan diabaikan,” tegasnya.

Beliau turut berpendapat, di samping berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif pesakit sewajarnya tidak meninggalkan kaedah rawatan moden seperti penggunaan ubat-ubatan yang dianjurkan doktor bertauliah.

“Diagnosis serta rawatan yang betul menggabungkan rawatan komplementari dapat membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih sejahtera,” tuturnya.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, amalan berjumpa dengan bomoh atau pakar perubatan Islam adalah tidak salah sekiranya ia berlandaskan prinsip Islam.

Namun, menurutnya ada bomoh hanya mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan cara yang tidak bertanggungjawab.

“Terdapat sesetengah bomoh yang mengaku dirinya boleh meramal atau mengubati pesakit menggunakan jampi serapah dan mengandungi unsur syirik dan khurafat.

“Jika seseorang itu berjumpa dengan ahli perubatan Islam yang sememangnya diketahui pakar dalam bidangnya berlandaskan al-Quran dan ajaran Islam ia merupakan salah satu ikhtiar untuk menyelesaikan masalah,” ujarnya.