Semasa menikmati makanan di kantin, para pelajar sekolah itu dilihat makan dalam keadaan berdiri di tepi meja makan yang disediakan tanpa kerusi.

Pihak sekolah itu sebenar­nya se­­nga­ja tidak meletakkan kerusi di kantin tersebut dengan mem­­biarkan pelajar makan sambil berdiri supaya mereka makan dengan cepat dan tidak membuang masa di kantin untuk berbual.

Tindakan yang dilakukan oleh sekolah itu bagaimanapun telah mendapat kritikan oleh segelintir pengguna di internet apabila tular beberapa gambar yang menunjukkan pelajar sekolah berkenaan makan dalam keadaan berdiri.

Peraturan baharu itu dikuatkuasakan sejurus sesi persekolahan dibuka selepas cuti musim panas. Rata-rata pelajar yang kembali ke sekolah pada waktu itu terkejut apabila mendapati kerusi-kerusi yang diletakkan di kantin telah dialihkan oleh pihak sekolah.

“Pihak sekolah hanya menyediakan meja makan tanpa kerusi dan para pelajar perlu makan sambil berdiri dengan alasan supaya kami tidak membuang masa dan segera kembali ke kelas untuk belajar,” kata seorang pelajar di sekolah tersebut.

Seorang jurucakap mewakili Sekolah Menengah Shangqiu membe­ritahu wartawan, pihak pengurusan sekolah juga telah menempatkan beberapa buah meja makan di kawasan tertentu selain kantin bagi membolehkan para pelajar makan.

Cenderung berbual

Katanya, tindakan tersebut dibuat kerana mendapati pelajar-pelajar yang makan sambil duduk akan cenderung membuang masa dengan berbual dan menyebabkan mereka makan dengan lambat.

“Pelajar-pelajar hanya memerlukan waktu selama 10 minit untuk makan dan ia sudah cukup memadai,” kata jurucakap tersebut melalui satu rakaman video yang tular dalam laman sosial.

Tindakan kontroversi itu dipercayai tercetus daripada ilham beberapa sekolah menengah terkenal di China yang menggunakan teknik pembelajaran ala ketenteraan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar berdepan dengan Peperiksaan Pendidikan Tinggi Kebangsaan dikenali sebagai Gaokao.

Gaokao merupakan peperiksaan paling sukar yang perlu diduduki oleh pelajar untuk menempatkan diri memasuki universiti-universiti terkemuka di China.

Salah seorang pengguna laman sosial menerusi komen yang ditulis memberitahu, pihak pengurusan sekolah sepatutnya menutup terus kantin tersebut dan membiarkan pelajar-pelajar makan di dalam kelas masing-masing semasa waktu rehat.

“Pelajar-pelajar tidak perlu membuang masa berjalan menuju ke kantin dan hanya makan di dalam kelas masing-masing sambil mengulang kaji pelajaran,” ujarnya.

Peraturan ketat

Salah seorang pengguna lain berpendapat, tindakan yang dilaksanakan ke atas pelajar terbabit dilihat agak zalim kerana mendakwa banduan di penjara sekali pun tidak di suruh makan sambil berdiri.

Teknik yang digunakan oleh sekolah tersebut merupakan salah satu kaedah aneh yang dilakukan oleh pentadbiran sekolah di China.

Pada Mei lalu, sebuah sekolah di Hangzhou telah menggunakan teknologi pengesan ekspresi wajah bagi membaca perasaan pelajar-pelajar di dalam kelas dengan memasang kamera pengimbas di dalam kelas.

Alat pengimbas tersebut akan menilai pelajar melalui raut wajah mereka setiap 30 saat di dalam kelas bagi mengetahui perasaan mereka sama ada gembira, marah, sedih, keliru atau takut.

Sistem tersebut juga merekod setiap tindakan pelajar di dalam kelas sama ada mereka sedang tidur dan akan diketahui oleh pihak sekolah untuk diambil tindakan.

Beberapa buah sekolah di China sememangnya mempunyai peraturan yang sangat ketat ke atas pelajar mereka bagi melahirkan pelajar-pelajar cemerlang, bahkan ada di antara sekolah menetapkan sesi pembelajaran bermula seawal pukul 5.30 pagi setiap hari.