Senario yang berlaku itu sudah pasti memberi gambaran bahawa arena bola sepak negara masih belum ‘bersih’ daripada gejala tidak bermoral tersebut.

Persoalannya, mengapa gejala rasuah dalam bola sepak negara masih lagi kedengaran tatkala liga domestik kini ke arah penswastaan sepenuhnya.

Jika diimbas kembali, negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah dalam sukan bola sepak pada tahun 1994 dan 1995. Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Akibatnya, sebahagian daripada mereka dikenakan hukuman gantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup dan ada pula yang dibuang daerah.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B. Sathianathan berkata, sikap tamak sehingga ‘dibutakan’ oleh kemewahan wang ringgit menjadi antara punca utama gejala rasuah sukar dibendung.

“Tiada isu gaji yang boleh dipersoalkan kerana rata-rata pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini memperoleh pendapatan lumayan.

“Gejala rasuah ini boleh mencemari imej Liga M. Kesannya, kita akan kehilangan pemain terbaik jika individu yang terlibat adalah antara pemain harapan negara,” katanya ketika dihubungi Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Sathianathan menegaskan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengenakan hukuman gantung seumur hidup terhadap pemain yang didapati bersalah terlibat dengan gejala rasuah.

“FAM mempunyai kuasa berdasarkan klausa tertentu bagi menjatuhkan hukuman mengikut kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh seseorang pemain.

“Mahkamah pula akan menentukan keputusan atau hukuman terhadap mana-mana pemain atau individu yang didapati bersalah hasil siasatan yang dilakukan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelasnya.

Antara modus operandi rasuah dalam bola sepak adalah bookie akan mendekati pemain atau seseorang individu dengan menawarkan ganjaran yang lumayan .

Bookie juga akan bekerjasama dengan ‘orang dalam’ untuk memudahkan urusan dalam setiap pertaruhan dalam perjudian mereka.

Mengulas lanjut, Sathianatan berkata, gejala rasuah seakan-akan sukar dibanteras disebabkan kurang pengawasan daripada pihak jurulatih dan pengurusan pasukan.

“Jurulatih dan pihak pengurusan antara yang selalu bersama pemain. Jadi mereka bertanggungjawab memantau pergerakan dan kelakuan pemain,” katanya.

Sathianatan turut menyifatkan rata-rata pemain kini tidak memikirkan masa depan mereka dalam sukan bola sepak kerana lebih lebih terpengaruh dengan kehidupan mewah.

“Apa yang saya lihat pemain muda khususnya, mereka ini kurang mendapat dorongan untuk menceburi bidang lain kerana hanya fokus pada bola sepak.

“Sepatutnya, pemain bola sepak harus berfikir ke hadapan, bagaimana nasib mereka setelah bersara kelak atau mengalami kecederaan sehingga tidak dapat bermain lagi,” jelasnya,” katanya yang juga pengendali Felda United.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah memberitahu, kewujudan kegiatan rasuah berpunca daripada beberapa sebab seperti tamak, kelemahan pihak pengurusan, penyalahgunaan kuasa dan kewujudan peluang.

“Pemain yang tamak sering kali menjadi punca permasalahan ini tetapi mungkin juga pemain terlibat berada dalam keadaan tersepit. Mereka bermain separuh mati tetapi tidak diberi gaji yang dijanjikan. Jadi mereka sanggup menerima sogokan.

“Sama ada liga bola sepak itu popular atau tidak, asalkan ada peluang mereka akan meneruskan kegiatan tidak bermoral ini,” jelasnya.

Kamarudin menegaskan, tindakan undang-undang yang setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pemain atau individu yang terlibat.

“Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menilai baik dan buruk dalam mengembangkan karier bersama pasukan masing-masing. Mereka perlu sedar bahawa rasuah akan menyebabkan karier yang dibina selama ini akan tamat begitu sahaja.

“Gejala rasuah dan skandal mengatur perlawanan ini secara tidak langsung menyebabkan penyokong bola sepak tempatan hilang keyakinan dan enggan datang untuk menyaksikan perlawanan di stadium” katanya.

Legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh pula berharap FAM menjatuhkan hukuman berat kepada mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah.

“Saya amat hairan mengapa pemain-pemain sekarang masih lagi terlibat dalam rasuah sedangkan mereka mendapat gaji yang lumayan.

“Tidak logik gaji yang diberikan itu tidak mencukupi, bukan seperti zaman 1970-an, melainkan mereka semua berberlanja melebihi pendapatan,” katanya.

Syukor berpendapat, gejala rasuah boleh menyebabkan kualiti bola sepak negara akan merudum teruk jika ia tidak dibanteras sebaik mungkin.

“Jika dibiarkan, ia akan menjadi satu lumrah kepada pemain. Soal halal dan haram tidak dihiraukan, asalkan poket berisi.

“Sekiranya situasi menghalalkan pertaruhan bola sepak menular di negara kita, pasti ia akan mencalarkan imej yang tidak sejajar dengan pendirian kerajaan, apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia,” tegasnya.