Ibu bapa pula merupakan individu yang diberikan tanggungjawab untuk mencorak anak-anak tersebut sehingga meningkat dewasa.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ironinya, tidak semua yang dilentur itu terkesan di dalam diri si kecil.

Kelmarin Kosmo! turut melaporkan, tindakan seorang remaja bersama tiga rakannya cuba mengusik kanak-kanak yang pulang daripada mengaji al-Quran dengan berpakaian menyerupai pocong.

Tindakan tersebut membawa padah apabila mereka ditahan polis.

Kejadian itu berlaku di Pekan Bukit Pinang, Kedah.

Remaja terbabit, Mohd. Imran Mohammad, 16, dan tiga rakannya iaitu Muhammad Syazani Johari, 18, Muhammad Ramadhan Fitri Shuib, 15, dan Nabil Asyraff Hussain, 14, ditahan sebelum dibebaskan setelah siasatan pihak polis mendapati ia sekadar perbuatan nakal.

Selain itu, keempat-empat mereka tidak mempunyai niat jenayah lain.

Video penahanan empat remaja terbabit dengan salah seorang daripada mereka yang menyerupai pocong tular di laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu.

Tuding jari

Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia. Prof. Madya Dr. Rosni Samah berkata, apabila berlaku bencana dan gejala buruk yang melibatkan remaja, masyarakat lebih gemar menuding jari kepada badan tertentu terutamanya pihak sekolah.

Menurutnya, ibu bapa merupakan individu yang wajib mendidik dan memastikan anak-anak berjaya pada masa depan.

“Ia bukan sahaja mencakupi dari sudut material bahkan rohani juga.

“Mereka tidak boleh menyerah sepenuhnya tanggung jawab mendidik kepada pihak kedua terutamanya sekolah atau membiarkan tanpa didikan dan kasih sayang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah beliau, segalanya bermula daripada ibu bapa sendiri dengan menunjukkan gaya hidup dan tauladan yang baik kepada anak-anak.

Selain itu, jelasnya, ibu bapa perlu bersikap dan berakhlak baik supaya anak-anak akan mengikut tauladan mereka dalam membina kehidupan.

“Anak-anak yang membesar tanpa perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa dikhuatiri menyumbang kepada berlakunya kes-kes juvana,” katanya lagi.

Rosni berkata, pada peringkat permulaan, anak-anak hanya nakal dan melakukan kesalahan kecil yang tidak membawa kepada kes jenayah.

Namun, tambahnya, jika kenakalan mereka tidak ditegur atau dibendung, anak-anak itu akan terus melakukan kesalahan sehingga melibatkan kes jenayah.

“Antara kes juvana mengejutkan yang berlaku dalam masyarakat ialah membabitkan jenayah narkotik, kekerasan, kerosakan harta benda dan trafik.

“Jangan terlalu sayangkan anak-anak dengan tidak menegur dan melarang mereka ketika melakukan kesalahan.

“Begitu juga jangan terlalu manja dan percayakan 100 peratus dengan tidak mendengar aduan yang dibuat terhadap anak seperti aduan rakan sebaya mereka atau guru-guru,” jelasnya.

Ikhlas

Sementara itu, Pendakwah Bebas dan Editor Syariah Buku Rujukan, Telaga Biru Sdn. Bhd., Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman berkata, pokok pangkal dalam pembentukan sahsiah anak-anak bermula daripada pemilihan nama lagi.

Katanya, nama yang baik itu bertindak sebagai gambaran kepada matlamat hidup anak-anak yang diimpikan oleh ibu bapa.

Selain itu, bagi ibu bapa yang sedang membesarkan anak-anak, perkara yang perlu diberi perhatian ialah faktor keikhlasan.

“Ikhlas itu ialah didik anak kerana Allah, maka anak pasti akan ikut ajaran Allah.

“Selain itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk kenalkan anak-anak kepada Allah dan Rasulullah.

“Anak-anak yang mengenali Allah dan Rasulullah pasti akan taat kepada kedua-dua ibu bapa dan meninggalkan segala larangan,” tegasnya.